Analisis - Khairy tercicir, Mukhriz masuk kabinet
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan senarai 28 orang menteri dan 40 timbalan menteri dalam anggota kabinet pertamanya petang semalam.
Kecuali ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dua lagi ketua sayap utama dalam parti itu dilantik menganggotai jemaah menteri.
Pencabar Khairy dalam pemilihan pergerakan itu bulan lalu, Datuk Mukhriz Mahathir bagaimanapun tersenarai sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Naib ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim pula dilantik sebagai timbalan belia dan sukan.
Seperti dispekulasikan lebih awal, keputusan Najib hari ini mencipta sejarah tersendiri - dan berpotensi mencetuskan kontroversi - kerana selama ini ketua pergerakan Pemuda umumnya dilantik menganggotai kabinet, yang terakhir ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri pelajaran.
Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah tidak melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - kini menteri pertahanan - apabila ahli parlimen Bagan Datoh itu menang ketua Pemuda Umno pada 1996.
Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Manakala ketua baru Puteri Umno, Datuk Rosnah Rasyid Syirin dilantik sebagai timbalan menteri kesihatan.
Mukhriz, Razali dan Rosnah antara muka baru yang dilantik menganggotai kabinet kali ini.
Yang lain termasuklah ahli parlimen Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi (timbalan menteri pelajaran); ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan (timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri), pengarah Kagat Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (menteri di JPM) dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (menteri wilayah persekutuan).
Menteri yang digugurkan termasuklah Datuk Seri Syed Hamid Albar (menteri dalam negeri), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (menteri pembangunan luar bandar), Datuk Mohd Zin Mohamed (menteri kerja raya), Datuk Azalina Othman Said (menteri pelancongan) dan Datuk Ong Ka Chuan (menteri perumahan dan kerajaan tempatan).
Manakala mereka yang dibawa masuk semula menganggotai kabinet kali ini ialah Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Awang Adek Hussin.
Tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (menteri di JPM bagi undang-undang dan Parlimen), Datuk Ong Tee Keat (pengangkutan), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (pengajian tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (sains, teknologi dan inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (sumber asli dan alam sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (sumber manusia).
Barisan kabinet yang diumumkan juga menyaksikan jumlah kementerian lebih kecil apabila beberapa daripadanya digabungkan.
Kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan, dan kementerian tenaga, air dan komunikasi telah digabung dengan kementerian lain - kini dikenali sebagai kementerian penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan, dan kementerian tenaga, teknologi hijau dan air.
Manakala jumlah menteri turut berkurangan daripada 32 kepada 28 orang. Bagaimanapun jumlah timbalan menteri bertambah daripada 38 kepada 40 orang.
Muka baru
Barisan baru kabinet hari ini hanya membariskan enam menteri baru, termasuk dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat.
Jumlah itu merupakan kira-kira 20 peratus daripada anggota kabinet baru.
Sabah mendapat tambahan satu kerusi menteri - daripada tiga kepada empat kerusi kali ini.
Manakala Gerakan dan MCA juga masing-masing mendapat tambahan wakil dalam barisan kabinet.
MCA kini mempunyai empat menteri dan tujuh timbalan mengeri (bertambah satu lagi), manakala Gerakan mempunyai seorang menteri dan dua timbalan menteri (parti itu kehilangan jawatan menteri selepas kalah dalam pilihanraya umum 2008).
Najib membuat pengumuman dengan diapit oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai timbalan perdana menteri baru dan juga menteri pelajaran.
Selain menggabungkan dua kementerian, satu portfolio baru diwujudkan bagi memantau perpaduan nasional dan prestasi jabatan kerajaan di bawah JPM.
Najib juga menyatakan komitmen untuk menilai prestasi para menteri setiap enam bulan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, para menteri dan timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di Istana Negara.
Upacara bersejarah tersebut akan diadakan pada jam 9.30 pagi dan disiarkan secara langsung oleh RTM.
- MALAYSIAKINI
PEMILIHAN YG TEPAT..