Arni kahwini bekas kekasih
Selepas kira-kira tiga tahun bergelar ibu tunggal, bekas pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anwar, 31, selamat dinikahkan dengan bekas kekasihnya yang juga ahli perniagaan, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, semalam.
Pasangan itu diijabkabulkan jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang di Masjid Negeri dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM7,777.77 disaksikan ibu bapa dan keluarga terdekat pengantin serta dua anak Arni hasil perkahwinan dengan vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman (Awie), Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7.
Pihak lelaki menghantar sembilan dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.
Dengan sekali lafaz, Wan Mohd Hazrie dari Jalan Kamaruddin, di sini menjadi suami Arni kira-kira jam 3.40 petang.
Arni yang berkebaya putih menitiskan air mata kegembiraan selepas akad nikah, manakala Wan Mohd Hazrie menunaikan solat kesyukuran.
Dengan perkahwinan itu, Arni yang popular dengan lagu Antara Dua Benua mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan apabila Wan Mohd Hazrie tidak lagi membenarkannya berbuat demikian, melainkan untuk pertunjukan fesyen yang tidak bertentangan hukum syarak.
Wan Mohd Hazrie berkata, dunia hiburanlah menyebabkan dia kecewa kerana percintaan dengan Arni ketika di bangku sekolah menengah terputus apabila Arni mengahwini Awie.
Majlis persandingan kedua-dua mempelai secara ringkas diadakan di kediaman Arni di Kampung Bukit Depu.
Majlis perkahwinan di kediaman pengantin lelaki diadakan di Jalan Kamaruddin hari ini, manakala majlis untuk keluarga di luar Terengganu diadakan di Anjung Pantai, Seberang Takir, esok.
- BERITA HARIAN