Kementerian siasat UFO di Johor
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengarahkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) segera menyiasat laporan mengenai kewujudan pesawat makhluk asing atau UFO di ruang udara Larkin, Johor, kelmarin.
Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof, berkata pihaknya memerlukan kerjasama daripada penduduk yang mendakwa melihat objek berkenaan sejak beberapa hari lalu, bagi memudahkan proses siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, kerjasama itu diperlukan kerana banyak aduan yang diterima sebelum ini tidak dilaporkan secara terus kepada kementerian atau agensi berkenaan sehingga menyukarkan kerja siasatan menyeluruh dilakukan.
Katanya, kementerian sebenarnya mempunyai peralatan mencukupi seperti teropong angkasa berteknologi tinggi di stesen Langkawi untuk menjalankan kajian serta mengenal pasti kewujudan makhluk atau objek asing berkenaan.
"Sekiranya mereka membuat aduan segera, ia sudah tentunya dapat memudahkan kami membuat siasatan kerana pemantauan terhadap ruang angkasa tempat objek itu dilaporkan kelihatan boleh dibuat serta-merta.
"Masalahnya, perkara itu sudah berlalu dan barulah dihebohkan kepada media manakala kami langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Kalau benda itu (UFO) masih ada lagi, ok lah kerana kita boleh siasat terus.
Bagaimanapun, kalau sudah tiada, susah kerana kita terpaksa menyiasat berdasarkan gambar yang didakwa dirakamkan itu sebagai bukti.
"Bagaimanapun Angkasa akan pergi siasat dan cuba berhubung dengan saksi yang melihat kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar kelmarin yang melaporkan penduduk di kawasan Larkin, Johor gempar apabila melihat beberapa objek bercahaya hijau dan putih di langit yang disifatkan seperti UFO.
Seorang pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, yang menyedari keganjilan objek yang dilihat itu berhasil merakam objek bercahaya berkenaan menggunakan kamera digital.
Fadillah berkata, kementerian tiada masalah untuk menyiasat perkara itu, dan bersedia berbuat demikian pada bila-bila masa. Namun pihaknya sedikit kesal kerana lewat dimaklumkan sehingga sukar untuk menjalankan siasatan.
"Kalau betul benda itu masih ada, memang kita akan tengok di sana, bawa peralatan sekali. Siasatan itu penting bagi mengetahui kewujudan makhluk berkenaan, dan sekiranya benar, pegawai Angkasa akan berkampung di kawasan itu," katanya.
Objek terjadi mungkin biasan cahaya matahari
Objek bercahaya yang dilaporkan muncul berlegar-legar dan didakwa sebagai UFO di Larkin, Johor sejak beberapa hari lalu mungkin hanya biasan cahaya matahari daripada benda yang ada di angkasa.
Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata di angkasa lepas, ada lebih 20,000 benda yang terapung seperti sampah di angkasa termasuk besi daripada roket yang dilancarkan selain satelit.
"Semua ini boleh membiaskan cahaya pada keadaan tertentu. Justeru, kita sebenarnya tak tahu apa sebenarnya yang dilihat di langit jika kita tiada ilmu mengenai gambaran sesuatu objek seterusnya tidak dapat mengesahkan objek itu milik makhluk asing atau tidak.
"Misalnya, kita juga menghadapi kekeliruan ketika mahu melihat anak bulan bagi menentukan bermulanya Ramadan atau Syawal terutama jika individu terbabit tidak mempunyai ilmu mengenai rupa bentuk anak bulan dan hanya melihat berdasarkan objek bercahaya," katanya.
Beliau berkata, daripada sudut pandangan Islam, perkara seumpama itu boleh juga menjadi bukti kekuasaan Allah yang mampu mencipta pelbagai makhluk selain manusia.
"Allah itu berkuasa jadi tak mustahil jika Allah juga mencipta makhluk lain di luar bumi dan sistem cakerawala. Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti saintifik mengenai kemunculan makhluk asing walaupun banyak kajian mengenai UFO dilakukan di luar negara seperti di Amerika Syarikat.
"Oleh itu, kesimpulan khusus tidak boleh dibuat sebab banyak kemungkinan yang boleh ditafsirkan melainkan kita mempunyai kelengkapan dan ilmu yang mencukupi untuk mengesahkan objek asing itu," katanya.
Objek yang didakwa UFO (dalam bulatan) dirakam seorang pelancong Australia ketika mengambil gambar permandangan Gunung Jerai di Kedah, pada 2006.
DCA teliti rakaman objek 'UFO' di Larkin
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan meneliti rakaman video pergerakan beberapa objek bercahaya hijau dan putih di ruang udara Larkin, Johor Bahru, yang didakwa penduduk sebagai pesawat makhluk asing atau Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO).
Jurucakapnya berkata, DCA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kesahihan dakwaan itu.
"Setakat ini, DCA tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai kewujudan UFO di ruang udara Larkin, Johor Bahru.
"Radar yang ditempatkan di Johor dengan keupayaan mengesan objek dalam lingkungan 80 kilometer persegi juga tidak mengesan sebarang pesawat atau objek terbang melintasi ruang udara itu pada hari UFO berkenaan dilaporkan dilihat," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau juga menafikan kemungkinan objek itu adalah pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) negara jiran yang menceroboh ruang udara negara ini.
"Saya tidak fikir ia UAV kerana radar kita mampu mengesan objek di udara yang saiznya enam meter panjang atau lebar. Kita boleh tahu jika ada pesawat negara jiran yang menceroboh ruang udara kita," katanya.
Kelmarin, seorang pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, mendakwa melihat beberapa objek bercahaya hijau dan putih itu berlegar-legar di ruang udara Larkin sejak dua bulan lalu hingga menggemparkan penduduk di situ.
Zaid berkata, pada awalnya objek itu disangka cahaya bintang, tetapi selang beberapa hari kemudian ia kembali dengan dua tompokan cahaya yang saling bergerak ke kanan dan ke kiri dalam keadaan mendatar.
Sementara itu, Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Mustafa Din Subari, berkata pihaknya sedia meninjau lokasi objek bercahaya itu dilihat tetapi setakat ini tiada kajian khusus dibuat mengenai kewujudan UFO di negara ini.
"Kita juga tidak mempunyai unit khas untuk mengkajinya. Kita cuma membuat tinjauan apabila ada laporan diterima.
"Biasanya, jika objek berkenaan mendatang kesan negatif kepada penduduk seperti radiasi, kita akan turun padang untuk menemubual saksi dan mengkaji objek terbabit," katanya.
Beliau berkata, laporan mengenai kewujudan UFO juga pernah dilaporkan di beberapa tempat di negara ini, tetapi kesahihannya tidak dapat dipastikan kerana kekurangan bukti atau saksi.
"UFO yang dilihat itu juga mungkin cahaya lampu limpah berkuasa tinggi yang dipancarkan ke langit dari kawasan hiburan atau tanglung yang dilepas ke udara," katanya.
- BERITA HARIAN
There is a video shot in penang, of a possible UFO sighting. Watch this and decide:
UFO Sighted In Penang