Bank Islam tawar tangguh ansuran 12 bulan

Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) hari ini mengumumkan penangguhan bayaran ansuran selama 12 bulan kepada pelanggannya yang diberhentikan kerja ekoran krisis ekonomi global sekarang.

Skim tersebut layak dinikmati oleh pelanggan Bank Islam yang diberhentikan kerja berkuat kuasa 1 Julai 2008.

Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, skim yang dikenali sebagai program EHSAN itu diwujudkan bagi mengurangkan bebanan para pelanggannya yang terkena tempias ekoran krisis ekonomi ketika ini.

"Kita mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh para pelanggan Bank Islam ketika ini dan juga sedar tentang kesulitan mereka, oleh itu kita membuat sedikit perubahan kepada jadual pembayaran mereka agar beban yang ditanggung ketika ini dapat dikurangkan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Zukri, untuk melayakkan seseorang itu mendapat faedah dari penjadualan semula pembayaran ansuran rumah Bank Islam, seseorang itu perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.

Tambah beliau, kriteria itu memerlukan peminjam mengemukakan surat pemberhentian kerja daripada bekas majikan yang berkuatkuasa 1 Julai 2008.

''Selain itu status akaun pembiayaan rumah pelanggan mesti menunjukkan status pembayaran sebelumnya dan pemberhentian pembayaran ansuran akan berkuatkuasa dari tarikh kelulusan bank,'' jelasnya.

Kata Zukri, borang permohonan boleh didapati di laman web atau menghubungi cawangan Bank Islam berdekatan untuk mendapatkan penyelesaian kewangan dan nasihat.

Selain itu katanya, para pelanggan Bank Islam yang mempunyai produk kewangan lain yang menghadapi kesulitan dari krisis ekonomi yang memerlukan penjadualan dan penstrukturan bayaran dinasihatkan menghubungi cawangan bank terdekat.

"Bank Islam amat komited untuk membantu para pelanggannya mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi ketika keadaan sekarang," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url