Serunding babi pakai logo halal
Berikutan penemuan lima jenama 'abon' (serunding) dan daging dendeng siap makan yang dibuat daripada daging babi di pasaran, seperti yang disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, pelancong Malaysia terutama yang beragama Islam perlu lebih berhati-hati.
Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia yang melakukan ujian DNA ke atas 35 jenama serunding dan daging panggang yang dijual di pasaran di Jakarta, Jambi, Bogor, Semarang, Surabaya dan Bandung, mengesahkan kandungan daging babi dalam lima jenama.
"Sebenarnya tekstur serat babi lebih tidak kelihatan kerana banyak mengandungi lemak. Oleh itu, kita menguji di makmal dengan menggunakan alat bernama the real-time PCR (polymerase chain reaction),'' kata Ketua BPOM, Husniah Rubiana Thamrin, seperti dipetik akhbar tempatan, Republika, semalam.
Jenama-jenama itu ialah:
Dendeng/abon sapi (lembu) gurih cap Kepala Sapi 250 gram.
Abon/dendeng sapi cap Limas 100 gram (keluaran sebuah syarikat fiktif/palsu)
Abon/dendeng sapi asli cap A.C.C.
Dendeng sapi istimewa merek Beef Jerky Lezaaat (keluaran MDC Food Surabaya)
Dendeng sapi Istimewa No 1 cap 999 (keluaran S Hendropurnomo Malang).
Husniah berkata, satu daripada jenama itu didapati menggunakan tanda 'halal' yang kononnya dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) manakala pengeluar lain pula menggunakan nama syarikat milik orang lain, menggunakan alamat tidak benar atau tidak tercatat pengeluarnya.
MUI dan Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan mendapati para pengeluar itu pada mulanya mengakui menggunakan daging lembu tetapi setelah diuji didapati positif daripada babi.
Tidak dapat dipastikan sama ada produk itu telah dieksport ke Malaysia secara besar-besaran tetapi di kalangan pelancong Malaysia, serunding dan daging salai tempatan memang digemari untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
- BERNAMA