Bintang RTM kembali
Sejak akhir-akhir ini, kita sering melihat stesen-stesen televisyen berlumba-lumba menerbitkan rancangan berbentuk realiti terutamanya dalam mencari bakat baru dalam bidang nyanyian.
Akademi Fantasia (AF), My Starz LG, Gang Starz dan One In A Million (OIAM) merupakan antara program TV realiti yang banyak menghasilkan bakat-bakat baru dalam industri seni.
Tetapi mungkin ada yang terlupa akan program Bintang RTM terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mula bersiaran sejak Ahad lalu (5 April) pukul 8.30 malam di TV2.
Walaupun namanya tak segah AF dan OIAM, namun kehebatannya dalam menghasilkan penyanyi yang bermutu memang tidak dapat dinafikan.
Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah dan Azharina merupakan antara bukti keunggulan Bintang RTM menghasilkan jaguh industri seni negara.
Bagi meneruskan tradisi kegemilangannya, Bintang RTM sekali lagi diadakan pada tahun ini sebagai medan mencungkil bakat-bakat baru dunia hiburan sekali gus melahirkan lagi bintang seni.
Berusia hampir 35 tahun tanpa jemu-jemu mengetengahkan bakat-bakat nyanyian, tahun ini Bintang RTM menyaksikan sedikit kelainan.
Antara kelainan yang cuba ditonjolkan ialah peserta yang dipilih berpeluang menjalani sesi orientasi yang melibatkan kelas vokal dan tarian bermula pada 20 hingga 22 Mac lalu.
Menerusi uji bakat Bintang RTM tahun ini yang telah diadakan bermula 10 Januari hingga 8 Februari, RTM menerima penyertaan seramai 1,436 orang di seluruh negara.
Saringan
Selepas menjalani beberapa peringkat saringan, hanya 30 orang sahaja yang layak untuk beraksi di peringkat suku akhir.
Menurut penerbit Bintang RTM, Norfadzilah Hashim, markah para peserta diadili oleh juru profesional iaitu vokal (80 peratus) dan persembahan (20 peratus).
Setiap minggu, seramai lima peserta akan bertanding mengikut tema-tema yang telah ditetapkan oleh penganjur. Daripada lima orang tersebut, seramai dua orang akan mendapat markah tertinggi daripada juri dan layak secara automatik untuk beraksi di peringkat separuh akhir.
Manakala yang tidak berjaya, salah seorang daripada mereka masih mempunyai peluang untuk merebut kejuaraan, apabila orang ramai diberi mandat untuk mengundi peserta yang layak.
Dengan itu, seramai lapan peserta akan layak beraksi pada peringkat akhir yang akan berlangsung pada 21 Jun nanti.
Orang ramai boleh mengenali lebih dekat ke semua peserta yang bertanding melalui rancangan Aura Bintang RTM yang disiarkan setiap Isnin, Selasa dan Rabu, pukul 3.00 hingga 3.30 petang di TV2.
Dalam masa yang sama juga, Muzik Aktif menerusi saluran Astro 180 juga turut terlibat dalam menyiarkan promo Bintang RTM pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, pukul 12.00 hingga 12.30 tengah hari.
- UTUSAN