Komentar - Sistem pendidikan Malaysia perlu kembali kepada amalan asas

Ketika penulis belajar di sekolah rendah dahulu, guru-guru sering menyuruh muridmurid membaca petikan atau karangan bahasa Malaysia di depan kelas. Seorang demi seorang.

Begitu juga dengan mata pelajaran lain seperti menyelesaikan masalah Matematik dan membaca hafalan ayat-ayat al-Quran. Semuanya dibuat di depan kelas.

Bagaimanapun, pada masa ini amalan seperti itu tidak lagi berlaku dan alasannya mudah. Terlalu ramai murid di dalam sesebuah kelas dan jika itu diamalkan, sudah pasti ia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesuatu topik.

Jika gagal menghabiskan semua topik sebelum peperiksaan, ia akan memberi kesan kepada persiapan pelajar dan sekali gus keputusan peperiksaan juga merosot.

Begitulah terkongkongnya pelajar kita di Malaysia dengan sistem pendidikan yang berasaskan peperiksaan sehingga setiap program yang dilakukan oleh sekolah hanya bertitik tolak soal peperiksaan. Ia membuatkan usaha membentuk sahsiah pelajar terpinggir.

Bagaimanapun penulis terkejut apabila kaedah seperti itu masih dipraktikkan di Indonesia.

Anak-anak penulis yang belajar di sebuah sekolah agama persendirian di Jakarta, setiap hari membuat persiapan untuk membaca di depan kelas walaupun masih di peringkat sekolah rendah.

Pada mulanya mereka kelihatan begitu gugup untuk berdepan dengan rakan sekelas, maklumlah ia jarang dilakukan ketika belajar di Malaysia, tetapi lama-kelamaan keyakinan mereka semakin meningkat.

Kini dalam tempoh singkat mereka sudah biasa membaca di depan kelas, malah cukup tidak sabar bila ada aktiviti pembentangan atau persembahan di depan kelas.

Mereka juga berkumpul bersama rakan-rakan untuk merancang bentuk persembahan atau pembentangan yang akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dalam suasana ceria.

Rupa-rupanya membaca di depan kelas itulah asas kepada membentuk keyakinan diri bagi membuat pembentangan yang lebih besar ketika di peringkat universiti, mahupun ketika bekerja.

Bagaimanapun ia semakin tidak dipraktikkan di sekolah-sekolah di negara kita.

Jadi apabila mengetahui Kementerian Pelajaran mahu membuat satu transformasi ke atas sistem pendidikan negara pada tahun depan, penulis terfikir kembali perkara asas tersebut.

Amalan yang diterapkan oleh guru-guru dahulu perlu digunakan kembali di sekolah bagi meningkatkan keyakinan pelajar.

Mungkin ia dilihat terlalu remeh tetapi mempunyai kesan yang mendalam bagi membentuk sahsiah dan keyakinan pelajar.

Satu lagi insiden menarik ialah apabila anak-anak penulis dengan bangga menunjukkan wang kertas "Ringgit Malaysia", tibatiba salah seorang rakan mereka bertanya gambar apa dan siapakah yang tertera pada semua wang berkenaan.

Sekali lagi anak penulis gagal memberi jawapan yang pasti, berbanding rakan-rakan di Jakarta. Mereka dapat memberi penjelasan mengenai setiap gambar yang terpapar pada setiap wang kertas Indonesia kerana ia turut dipelajari di sekolah.

Ini bermakna pendidikan kita terlalu luas skopnya sehingga kita gagal menerapkan pengetahuan persekitaran kepada pelajar.

Bagi pelajar di Jakarta, mereka perlu belajar mata pelajaran khusus tentang Jakarta. Begitu juga bagi pelajar di kawasan lain, mereka akan belajar tentang bandar-bandar utama di kawasan mereka.

Pelajaran berkenaan memberi pendedahan terhadap apa yang ada di persekitaran mereka, termasuk lokasi menarik atau tumpuan di kawasan setempat serta sejarahnya.

Pelajaran berkenaan tidak hanya tertumpu di dalam bilik darjah, tetapi mereka perlu melawat dan melihat apa yang dipelajari melalui rombongan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Jadi tidak hairan jika setiap hari pasti ada sahaja ratusan murid-murid sekolah rendah melawat Muzium Nasional (Monas) di Jakarta dan kaedah berkenaan juga tidak lagi dipraktikkan di Malaysia.

Penulis fikir rombongan sedemikian itu lebih bermanfaat daripada membawa para pelajar pergi berkelah di pantai dan air terjun yang berisiko tinggi kemungkinan berlaku kemalangan, apatah lagi terlalu sedikit ilmu pengetahuan yang diperolehi.

Memang tidak dinafikan sistem pendidikan negara jiran juga mempunyai banyak kelemahan tetapi mungkin kita boleh mempelajari dan mengambil sedikit daripada aspek positif dalam sukatan pelajaran mereka bagi memantapkan sistem pendidikan negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url