Kota Iskandar pusat pentadbiran Johor

Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri (JSNAC) sebagai Kota Iskandar oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar hari ini, menandakan berakhirnya fungsi Bangunan Sultan Ibrahim (BSI) di Bukit Timbalan, di sini, sebagai pusat pentadbiran kerajaan Johor sejak kira-kira 150 tahun lalu yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim.

Kota Iskandar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya ini, dibina empat tahun lalu di atas tanah seluas kira-kira 130 hektar di Nusajaya, Gelang Patah dengan kos hampir RM2 bilion, sekali gus menjadikannya setanding dengan pusat pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya.

Pembinaan Kota Iskandar, dilaksanakan Cahaya Jauhar Sdn Bhd (Cahaya Jauhar), syarikat kerjasama antara kerajaan negeri Johor dan UEM Land Sdn Bhd yang diberi tanggungjawab membina JSNAC kini dalam proses menyiapkan reka bentuk dalaman bangunan itu.

Ia mempunyai lima komponen utama iaitu bangunan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN); Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUK); Dataran Mahkota; kompleks kerajaan negeri dan kompleks Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Kota Iskandar turut menempatkan pejabat Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor (UPEN), Unit Perkhidmatan Komputer Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pembinaan Kota Iskandar ini, mengambil kira seni bina tradisional Johor dengan menampilkan konsep Rumah Limas sebagai asas utama pembinaannya manakala reka bentuk bangunan berdasarkan seni bina Johor - Melayu dan Moor - Andalusia dengan bumbung lutsinar berbentuk permata yang dinamakan Jauhar bagi bangunan DUN.

Tinjauan Berita Harian ke Kota Iskandar semalam, mendapati persiapan untuk perasmiannya sedang rancak dijalankan di Dataran Mahkota yang terletak di antara bangunan DUN dan Pejabat Menteri Besar yang mengadap antara satu sama lain.

Difahamkan, proses pemindahan BSI dan jabatan serta agensi kerajaan negeri ke Kota Iskandar sudah bermula sejak awal tahun ini, dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Kawasan keseluruhan Kota Iskandar ini, seluas kira-kira 1,200 hektar ini, terletak dalam kawasan Medini, Iskandar Malaysia, turut menempatkan Taman Tema Legoland selain Bandar Perubatan serta marina dan jeti di perairan Selat Johor dikenali sebagai Puteri Harbour.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian, berkata Kota Iskandar akan menjadi nadi utama dalam pembangunan Iskandar Malaysia dan masyarakat setempat berharap akan mendapat limpahan daripada kepesatannya.

“Kota Iskandar adalah nadi kepada bandar Nusajaya yang akan mempunyai enam komponen lain iaitu Medini, Kelompok Perindustrian dan Logistik, Bandar Perubatan, Bandar Pendidikan, jeti Puteri Harbour dan destinasi resort dunia,” katanya.

Beliau berkata, jeti Puteri Harbour di Persiaran Waterfront berhampiran Kota Iskandar dibina di kawasan seluas 278 hektar menawarkan pemandangan indah Selat Johor yang akan menjadi lokasi ideal bagi acara bertaraf antarabangsa.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url