Nizar calon naib presiden PAS, Husam cabar Nasharuddin

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, yang baru menang di Bukit Gantang, kini antara calon popular untuk jawatan naib presiden PAS.

Manakala Datuk Husam Musa pula ingin diangkat sebagai pemimpin nombor dua parti itu, menggugat kedudukan timbalannya sekarang Nasharuddin Mat Isa.

Menteri besar Pakatan Rakyat itu melonjak popularitinya susulan krisis politik di Perak dan kemenangannya di kerusi parlimen tersebut, menyerlahkan lagi ketokohannya di mata akar umbi PAS.

Manakala Husam, naib presiden PAS dari Kelantan, pula ingin dinaikkan bagi menguatkan suara penyokong aliran pro-Pakatan Rakyat dan sekali gus menolak sebarang bentuk rundingan dengan Umno, termasuk kerajaan campuran yang disuarakan oleh presidennya.

Bagaimanapun kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang - pemimpin teratas yang mewakili suara pro-rundingan dengan Umno - setakat ini belum lagi dicabar.

Seorang lagi pemimpin terkanan PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang sering bertentangan pendapat dengan Abdul Hadi, enggan mengulas jika jawatan-jawatan teratas termasuk presiden dicabar.

Walaupun awalnya bimbang persaingan sengit boleh memudaratkan parti itu, mursyidul am PAS kemudian kelihatan mengubah pendiriannya - kini memberi kebebasan kepada ahli membuat pilihan, termasuk menolak pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu.

"Saya tak nak sebut apa-apa, nanti pengaruhi orang lain pula, biar saya senyap-senyap sudahlah. (Tetapi) kalau barang perlu diubah, ubahlah," Nik Aziz dipetik berkata awal minggu ini.

PAS akan mengadakan pemilihan dan muktamar ke-55 awal Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam. Mesyuarat peringkat kawasan dan tiga sayap utama - Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama - akan berakhir bulan depan.

Pertembungan dua aliran

Persidangan tahun ini juga bakal menyaksikan pertembungan lebih sengit dua aliran utama parti itu - pro-muzakarah dengan pro-Pakatan (atau "kumpulan Erdogan") - yang mengundang perdebatan hangat sejak muktamar di Ipoh, tahun lalu.

Tinjauan Malaysiakini di kalangan beberapa pemimpin di Pahang, Selangor, Kelantan dan Kedah mendapati bahawa mereka meramalkan aliran pro-muzakarah akan mengharungi jalan sukar sekiranya wujud pertandingan di peringkat jawatan tertinggi parti.

Mesyuarat kawasan-kawasan di negeri-negeri tersebut cenderung menaikkan pemimpin beraliran pro-Pakatan, selain mencalonkan tokoh-tokoh yang tidak pro-muzakarah, termasuk ingin mempertahankan naib presiden sekarang, Mohamad Sabu.

Tokoh-tokoh yang dilihat cenderung kepada pro-muzakarah "semakin tidak popular" dan "susah mendapat pencalonan" untuk bertanding jawatan-jawatan tertentu pada pemilihan Jun ini, kata seorang pemimpin PAS Pahang.

Majoriti 14 kawasan di negeri itu menolak sebarang usaha muqabalah PAS-Umno, katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, PAS negeri "tidak mempunyai masalah" dengan PKR dan DAP, apatah lagi pesuruhjayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan.

Cenderung kepada pro-Pakatan

"Dalam banyak hal, beliau lebih cenderung kepada pendirian tok guru (Nik Aziz)," katanya.

Manakala di Selangor pula, yang dipertua PAS Kelana Jaya yang baru, Izham Hashim memberitahu Malaysiakini, PAS di Selangor secara umumnya lebih cenderung kepada pro-Pakatan.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hassan Ali, yang juga exco kerajaan Selangor, bagaimanapun dianggap lebih cenderung pada aliran pro-muzakarah.

Di Kelana Jaya, Izham mengalahkan pemimpin kawasan itu Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga setiausaha akhbar Abdul Hadi dan ketua penerangan PAS negeri.

Roslan adalah antara pemimpin PAS yang sering bersuara sealiran dengan presiden parti.

Dalam mesyuaratnya baru-baru ini, Kelana Jaya mencalonkan Husam sebagai timbalan presiden, Mohamad dan Nizar untuk naib presiden. Ahli parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib turut dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

PAS di Selangor mempunyai 22 kawasan.

Tolak muqabalah PAS-Umno

Di Kelantan pula, exco Pemuda PAS negeri, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, berkata hampir semua daripada 14 kawasan di sana tidak dapat menerima usaha muqabalah PAS-Umno dan berusaha untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Hampir semua (kawasan) menolak cadangan tersebut. Semua berada di belakang tok guru," katanya.

Penolakan cadangan tersebut antara lain ekoran pengalaman pahit kerjasama PAS dan Umno di Kelantan sehingga tercetusnya darurat di negeri tersebut, tambahnya.

"Ia satu perangkap kepada PAS," kata Dr Rosli.

Katanya, kawasan-kawasan di Kelantan, termasuk Bachok, cenderung mencalonkan Husam, yang juga exco kerajaan negeri, sebagai timbalan presiden.

Parlimen Bachok diwakili oleh Nasaruddin, tokoh kedua penting selepas Abdul Hadi yang menyokong muzakarah.

Perkukuh k'jaan Pakatan

Di Kelantan, Nizar juga popular untuk dinaikkan bagi mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden. Nama-nama lain termasuklah Mohamad, Tuan Ibrahim dan Salahuddin Ayub, yang tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, Jun ini.

Salahuddin, kini ahli parlimen Kubang Kerian, juga bukan daripada aliran pro-rundingan dengan Umno.

Sementara di Kedah, umumnya 15 kawasan di negeri tersebut cenderung untuk memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh menteri besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Isu muqabalah tidak diminati oleh pemimpin di sini, sebaliknya memikirkan bagaimana untuk memperkukuhkan Pakatan," kata ahli parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar kepada Malaysiakini.

Beliau, yang juga exco Pemuda PAS, berkata Azizan tidak bercakap tentang isu muzakarah PAS-Umno di negeri itu, sebaliknya menasihati pemimpin PAS Kedah agar berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan.

PAS negeri pula ingin menaikkan tokohnya sendiri, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar untuk mengisi kerusi naib presiden.

Bekas ketua Pemuda PAS ini dan juga ahli parlimen Pokok Sena bagi penggal kedua tidak mengambil sikap pro-muzakarah.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Jumaat, 17 April 2009 pada 9:16:00 PTG SGT

    Blog baru berkaitan AJK PKR Putrajaya bernama Jamil Kucing di http://jamilismail.blogspot.com

    Hantam produk munafik itu cukup cukup

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 18 Mei 2009 pada 6:31:00 PTG SGT

    Nizar adalah calon pilihan Saya bukan sekadar Naib Presiden Pas malah bahtera pemerintahan negara ini pada masa akan datang.Ketenangannya dalam menghadapi situasi genting di Perak,asakan Barisan Nasional di Bukit Gantang,keilmuannya dalam bidang duniawi dan ukhrawi adalah rencam yang cukup untuk mengangkatnya menjadi salah seorang pemimpin yang disegani rakyat Malaysia.Kita tidak payah mempertikaikan samaada Dia berasal dari kalangan ulamak atau tidak,Saya cukup yakin walaupun Dia ni bukan dari kalangan ulamak tapi pengetahuan agamanya cukup tinggi dan Dia telah mendapat didikan yang cukup sempurna dalam istitusi tarbiah Pas.Semoga berjaya pemimpin yang saya segani D.Seri Nizar

Add Comment
comment url