Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang baru
Lapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri baru dilantik dan lima lagi kekal memegang jawatan masing-masing dalam rombakan kecil yang diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam.
Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menerajui Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan manakala UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu dipimpin oleh tiga Naib Presiden sementara Perak diterajui oleh Menteri Besar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Kedah), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mengetuai UMNO negeri tersebut.
"Pelantikan-pelantikan ini berdasarkan peruntukan perlembagaan UMNO," katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang pertama dipengerusikannya selepas mengambil alih pucuk kepimpinan parti pada 28 Mac lalu.
Kelantan dan Perlis turut mendapat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed menggantikan Tan Sri Annuar Musa di Kelantan manakala Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang dilantik ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin (Perlis), Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah (Kedah), Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang), Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Perak), Datuk Noh Omar (Selangor), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Wilayah Persekutuan).
Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Negeri Sembilan), Datuk Wira Abu Seman Yusop (Melaka), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Johor), Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (Pahang), Datuk Ahmad Said (Terenggganu), Datuk Awang Adek Hussein (Kelantan) dan Datuk Seri Mohd. Salleh Tun Said (Sabah).
- BERNAMA