Komentar - Rakyat dapat apa?
Pada Mac ini, PAS akan mengadakan muktamarnya. Berdasarkan kepada coretan teman-teman di blog masing-masing, saya yakin akan berlaku peralihan kepimpinan. Saya tak fikir PAS akan menukar presidennya seperti UMNO, namun saya tidak berani berkata hal yang sama terhadap jawatan Timbalan Presiden.
Di Pulau Pinang, Dato' Seri Anwar Ibrahim meminta maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng kerana tidak memaklumkan rancangannya mengenai perletakan jawatan Mohamad Fairus Khairudin sebagai ADUN Penanti. Di Selangor, Elizabeth Wong kembali bertugas sebagai Exco Kerajaan Negeri setelah bercuti panjang. Di Terengganu, Menteri Besar Dato' Ahmad Said diprotes oleh ahli-ahli partinya sendiri.
Kesemua ini menambahkan warna-warna politik Malaysia. Seperti blogger sosio-politik yang lain, saya juga menulis sebahagian peristiwa ini yang saya fikir penting kepada rakyat. Bagaimanapun, saya fikir apa yang lebih penting sekarang ialah menganalisis kesemua perubahan ini dan impaknya kepada kesejahteraan rakyat.
Pemimpin politik penting. Parti politik penting. Namun, yang lebih penting ialah sejauh manakah sumbangan yang dilakukan oleh pemimpin dan parti politik ini kepada rakyat. Selepas PRU12, selepas beberapa pilihanraya kecil dan selepas peralihan kepimpinan dalam UMNO, apakah perubahan yang dirasai oleh rakyat?
Elok juga kita menganalisis beberapa program yang cuba diketengahkan oleh Najib. Adakah rakyat merasainya impaknya? Kalau perlu mengambil masa, berapa lama? Apakah program baru untuk rakyat yang dilaksanakan oleh Najib yang tidak pernah terfikir oleh Abdullah?
Apakah impak kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato' Seri Azizan Razak, dan Lim Guan Eng kepada rakyat setelah menjadi Menteri Besar dan Ketua Menteri selepas PRU12? Apakah yang telah dilakukan oleh Dato' Seri Dr Zambry Kadir dan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kesannya kepada kesejahteraan rakyat.
Hati saya tergerak membuat posting ini selepas berbicara dengan beberapa orang teman malam tadi. Kata seorang teman, "Khalid dapat jadi MB Selangor, Azizan dapat jadi MB Kedah, Jamil Khir dapat jadi Menteri, Ahmad Maslan dapat jadi Ketua Penerangan UMNO; rakyat dapat apa?"
Inilah yang harus kita analisis sekaligus mengemukakan cadangan kepada kepimpinan politik bagaimana mereka dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada rakyat!
- BERAS TERPILIH