Sony Ericsson kuasai 22% pasaran


Sony Ericsson Mobile Communications International AB (Sony Ericsson) menyasarkan peningkatan penguasaan pasaran telefon bimbit kepada 22 peratus pada akhir tahun ini berbanding 20 peratus ketika ini.

Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong berkata, sasaran segmen telefon itu mampu dicapai kerana pihaknya melancarkan produk baru setiap suku tahun.

Beliau berkata, pelancaran telefon bimbit Sony Ericsson C510 Cyber Shot dan Sony Ericsson W705 bulan lalu dijangka mampu melonjak jualan dan penguasaan pasaran syarikatnya.

Telefon bimbit Sony Ericsson C510 Cyber Shot dijual pada harga RM999 seperti yang dicadangkan untuk pasaran peruncitan.

''Telefon C510 dan W705 mempunyai ciri-ciri unik dan berbeza dengan telefon bimbit yang lain, sekali gus menjadi faktor penting untuk meningkatkan jualan telefon berkenaan.

''Sebagai contoh, C510 dilengkapi alat penangkap wajah senyuman (smile shutter) yang memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan yang suka bergambar manakala W705 dilengkapi dengan muzik walkman,'' katanya selepas melancarkan kempen senyuman Sony Ericsson di sini hari ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url