Temubual - Elak politik perpecahan

Perpaduan umat sebagai kunci dan tulang belakang kejayaan sesebuah negara bukan lagi rahsia. Sebab itu, antara perkara pertama dilakukan oleh Nabi SAW adalah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar selepas hijrah ke Madinah.

Bagi kita di Malaysia, cakap-cakap tentang perpaduan umat dan orang Melayu nampaknya masih menjadi retorik di kalangan pemimpin parti-parti politik.

Walhal, orang Melayu kini berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa yang memerlukan kepada kesepaduan pemikiran dan tindakan untuk menanganinya.

Malah, al-Quran sendiri mengingatkan kita tentang jalan penyelesaian terhadap penyelesaian akibat perbezaan pandangan dalam hidup bermasyarakat.

Firman Allah yang bermaksud:...Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (an-Nisa’: 59)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AZRUL EDHAM MOHD. AMINUIDDIN menemu bual Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Mohamad Shukran Abdul Razak bagi mengupas isu ini.

MANUSIA selalu akan hargai nikmat selepas ia ditarik. Mungkinkah ini salah satu punca umat Islam gagal bersatu?

SHUKRAN: Kalau dilihat kepada sirah Nabi SAW, baginda datang mengajak masyarakat beriman dengan Allah. Baginda juga mementingkan perpaduan.

Ini dapat diperhatikan melalui pengorbanan golongan Ansar yang menyerahkan isteri mereka untuk diperisterikan oleh golongan Muhajirin selepas mereka berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Contoh ini senang kita sebut tetapi jangan lupa untuk kita merenungnya dalam-dalam. Hijrah baginda itu berlaku seolah-olah disebabkan ‘tidak berjayanya’ misi dakwah di Mekah.

Malah, berkat perpaduan ketika itu, Nabi SAW berjaya mengharungi pahit getir cabaran berdakwah yang mendapat tentangan hebat kafir Quraisy.

Dalam konteks kita di Malaysia, memang adakalanya kita lalai lalu lupa nikmat keamanan, perpaduan dan kesejahteraan yang dikecapi. Untuk itu, saya mengajak kita semua menghayati firman Allah yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga...(ali-‘Imran: 103)

Di Malaysia, kita ada banyak nikmat. Antaranya adalah nikmat kemerdekaan sejak lebih 52 tahun. Ia adalah hasil perjanjian antara datuk nenek moyang kita dengan bukan Melayu. Kemudian diteruskan dengan pemerintahan Parameswara di Melaka yang kemudiannya memeluk Islam.

Akhirnya, walaupun dijajah dari tahun 1511 hingga 1957, dengan nikmat Islam dan kekuatan adat institusi Melayu sampai hari ini kita menikmati kemerdekaan.

Namun, janji Allah tetap berlaku apabila kita lupa kepada nikmat-Nya. Sebab itu kita kena sentiasa beringat. Ada negara seperti Bosnia-Herzegovina yang pernah terima nikmat Islam tetapi kita telah musnah akibat tidak mensyukuri nikmat Allah. Mereka lupa beribadat dan kepentingan persaudaraan sesama Muslim.

Sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada kisah tersebut.

Realiti hari ini menunjukkan kita perlu kepada parti politik sebagai wasilah untuk memerintah negara. Soalnya, sampai bila kita perlu kepada politik kepartian ini jika ia lebih mendatangkan mudarat (perpecahan) berbanding penyatuan?

SHUKRAN: Tidak dapat dinafikan senario cenderung kepada parti ini sudah berlaku dalam sirah Rasulullah. Selepas Nabi SAW wafat, umat Islam berkumpul untuk memilih pengganti baginda di Saqifah Bani Saidah.

Di situ, golongan Ansar dan Muhajirin masing-masing berhujah mereka lebih layak menggantikan tempat Rasulullah sebagai khalifah.

Namun, umat Islam kena faham, untuk apa kita bertelingkah sehingga akhirnya ia membawa kepada kemudaratan dan kecelakaan. Parti politik itu hanyalah wasilah (alat) bukan matlamat.

Masyarakat Melayu kena bijak berpolitik. Jangan sampai parti yang menjadi alat dan pada kedudukan kedua itu mengambil kedudukan politik. Sepatutnya politik yang di depan bukannya parti.

Meletakkan parti sebagai matlamat utama selalu mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat. Natijahnya, ketika orang dan bangsa lain bijak berpolitik dan memperoleh pelbagai manfaat daripadanya, kita umat Melayu gagal memahami realiti politik.

Saya suka memetik kata-kata Allahyarham Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas bahawa Malaysia ini amat unik. Jangan jadikan kepelbagaian etnik sebab untuk bertelingkah, sepatutnya ia menjadikan kita unik dan istimewa.

Sepanjang 50 tahun lalu, kita (orang Melayu) tidak ada masalah pun tetapi mutakhir kita sudah terlupa. Akhirnya, satu persatu nikmat itu terhakis daripada kita.

Akibat keghairahan akhirnya kita tergadai. Dalam Parlimen, misalnya, orang lain kata macam-macam mengutuk kita. Orang tak berani kata kita kalau mereka hormat pada kita (bangsa Melayu). Ini yang kita perlu fikirkan bersama.

Datuk Nik Aziz Nik Mat pun pernah berkata, Pas hanyalah wasilah (alat) untuk sampai pada matlamat iaitu Islam. UMNO pun adalah wasilah.

Untuk itu, masyarakat Islam kena faham realiti ini. Bangsa lain benar-benar jadikan parti sebagai alat. Akhirnya mereka capai matlamat. Contohnya, tak mahu Sekolah Wawasan, sampai sekarang mereka berjaya.

Adakah mempertahankan bangsa dan agama semuanya ini termasuk dalam assabiyah (taksub)?

SHUKRAN: Memang ada hadis Rasulullah tentang hal ini. Antara lain kata Nabi SAW, “taksub yang tidak dibolehkan ialah membantu bangsa kamu membuat kezaliman”.

Namun soalnya, adakah salah jika saya orang Kedah menyokong pasukan bola sepak Kedah? Sebab itu, dalam pemberian zakat misalnya, kita disuruh mencari kaum kerabat dahulu sebelum mengeluarkan zakat kepada golongan asnaf yang lebih jauh.

Mengenai hak keistimewaan orang Melayu, itu adalah kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum semasa kita hendak mencapai kemerdekaan dulu. Ia sebagai tanda terima kasih kepada orang Melayu yang beri kerakyatan kepada bangsa lain jadi kaum lain berjanji akan membantu orang Melayu dalam bidang-bidang yang kita lemah. Akhirnya, kini muncul ‘masyarakat bijak’ yang menyalahkan kontrak sosial itu.

Walaupun orang Melayu ada hak keistimewaan tertentu tetapi kita tidak pernah menafikan apa yang bangsa lain boleh dapat. Tetapi kalau sehingga dituduh amal dasar aparteid, seperti mereka tidak dapat apa-apa langsung.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan bagaimana baginda menghormati perjanjian yang dibuat sebelum baginda. Ini adalah keadilan Islam.

Contohnya, kisah baginda SAW mahu masuk ke Kaabah maka kuncinya dipegang oleh Uthman bin Talhah ibni Talhah. Kemudian datang Saidina Ali minta supaya kunci itu diserah kepadanya. Lalu baginda SAW membaca ayat: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil...(an-Nisa’: 58)

Baginda SAW masih menghormati janji yang dibuat sebelum baginda dan tidak menyerahkan kunci Kaabah kepada Saidina Ali walaupun Ali lebih rapat dengan nabi.

Pada permulaan ayat di atas disebut Wahai orang yang beriman, Allah menyuruh kita taat kepada pemimpin selepas mentaati Allah dan Rasul. Hari ini pelbagai peristiwa berlaku sehingga ada yang membawa kepada ‘durhaka’ kepada pemimpin. Adakah ini dibolehkan dalam Islam?

SHUKRAN: Bagi mereka yang mendakwa Malaysia ini ‘sangat teruk’, tunjukkan bukti supaya kita berlaku adil. Janganlah disebabkan satu perkara yang tidak baik, kita buat kesimpulan semuanya tak elok. Jangan kerana sesuatu kesilapan, kita buat kesimpulan, semua yang kerajaan buat tidak baik. Sebabnya tidak ada pemerintah yang maksum (bebas daripada melakukan dosa).

Dalam kaedah fiqh ada disebut, “apa yang kita tidak dapat, tidak boleh kita tinggalkan semuanya”.

Namun, dalam hal-hal maksiat memang Islam tidak benarkan umatnya patuh. Ini sebagaimana maksud hadis Rasulullah, tidak ada ketaatan pada perkara kemaksiatan.

Di mana-mana pun di dunia hatta di Barat pun, tidak ada negara yang sebaik Malaysia. Pengalaman saya selama setahun di London misalnya, membuktikan bahawa kaum minoriti di sana tidak ada peluang mempunyai siaran televisyen sendiri.

Sebaliknya, di Malaysia kita ada saluran tertentu untuk kaum Cina, India. Malah ada saluran radio untuk pelbagai etnik.

Sayangnya, masyarakat kita hari ini buat keputusan dan bertindak sendiri. Merekalah sebagai polis, pendakwaraya dan hakim. Ini tidak adil. Kita kena hormat pada sistem.

Setiap lima tahun kita ada pilihan raya. Kalau tidak setuju maka kita gunakan sistem itu. Apa yang kita bimbang, persengketaan sesama bangsa itu akhirnya memberi ‘kemenangan’ kepada orang yang memang berniat bersengketa dengan kita.

Umat Islam itu adalah bersaudara. Namun perbezaan ideologi politik adakalanya membawa kepada berpatah arang. Apa pandangan Islam dalam hal ini?

SHUKRAN: Dalam sejarah kerajaan Bani Umaiyah pun berlaku perkara yang menyebabkan kita tertanya-tanya betul atau salah tindakan pemerintah ketika itu.

Ulama seperti Hassan al-Banna ketika itu berkata, keputusan Muawiyah menamakan penggantinya adalah bertentangan dengan konsep syura. Sebabnya, tindakan tersebut menetapkan monarki dalam pemerintahan.

Namun menurut pandangan sesetengah ulama lain, keadaan ketika itu menyebabkan Muawiyah perlu berbuat demikian. Jika tidak, ia akan membawa kepada perpecahan umat.

Begitu juga yang berlaku kepada Saidina Ali. Walaupun beliau diketepikan sebanyak tiga kali sebagai khalifah, beliau tidak memberontak. Beliau mendiamkan diri kerana tahu jika memberontak, kesannya lebih buruk. Ia membawa kepada perpecahan umat.

Selain itu, dalam Islam, selagi orang itu mati dalam iman, maka dia akan masuk syurga. Itu jaminan Rasulullah dalam hadis baginda. Dan kita juga tidak boleh tuduh seseorang itu bukan Islam sedangkan dia tidak pernah sembah tokong. Ini cuma soal perbezaan parti politik sahaja.

Kita juga tidak boleh menuduh seseorang itu tidak boleh masuk syurga jika tidak menyokong parti kita. Dan apakah hak kita untuk mendakwa mereka yang dipecat daripada sesuatu parti itu tidak boleh masuk syurga.

Sebab itu, saya sebagai rakyat biasa amat berharap muzakarah antara UMNO dan Pas itu dapat direalisasikan. Kalau ia baik untuk agama, bangsa dan negara, muzakarah itu perlu diteruskan.

Pemimpin jangan takut pada desakan orang bawahan. Sebaliknya mereka perlu berani tonjolkan kepimpinan. Soal muzakarah (berbincang) atau muqabalah (bertemu muka) itu hanya istilah.

Marilah kita kembali kepada apa yang Allah sebut dalam firman-Nya: ...Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (an-Nisa’: 59)

Kadang-kadang perpecahan atau maksiat yang kita lakukan itu bukan sebab kita tidak beriman tetapi kerana kita lupa pada janji Allah iaitu akhirat.

Sebab itu, dalam bab akidah ia terbahagi tiga iaitu patuh dan percaya kepada konsep ketuhanan rububiyah, konsep nubuwah (kenabian) dan hari akhirat. Apabila kita percaya kepada ini, dalam politik misalnya jika kita tidak dapat kerusi (kedudukan) di dunia sebenarnya kita mahu janji Allah di akhirat. Demikian juga kita tidak dapat minum arak di dunia, tetapi di akhirat Allah sediakan sungai daripada arak untuk kita nikmati.

Jangan kita ghairah dan terpengaruh kepada penampilan semata-mata. Kalau berjubah atau berkopiah maka betullah tindakan dan perbuatan seseorang. Tetapi jika berpakaian biasa, bertali leher atau berkot, semua yang dibuatnya adalah salah.

Dalam Islam, kebenaran tetap benar dan yang salah tetap salah biar apa pun parti mereka. Jangan pula kita membenar atau ‘menghalalkan’ perbuatan atau tindakan yang salah itu hanya disebabkan individu berkenaan rakan atau sekutu kita.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url