Sains itu menarik
Menarik, teruja, menyeronokkan dan mengastikkan! Begitulah seharusnya bidang sains dilihat oleh semua peringkat usia, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa.
Di Barat, guru-guru mata pelajaran sains terlibat secara langsung menerusi projek-projek sains yang dilaksanakan oleh pelajar mereka. Malah tidak itu sahaja, para pelajar turut didedahkan dengan pembelajaran sains yang melibatkan eksperimen, penerokaan, mencabar minda dan relevan dengan situasi semasa.
Manakala, di pihak ibu bapa pula, mereka sentiasa memberi galakan serta tidak kurang juga yang sanggup membelikan apa sahaja set permainan berunsur sains demi memupuk minat anak-anak pada peringkat awal usia.
Menjadikan bidang sains itu satu bidang yang menarik dan menanamkan benih kesukaan atau minat sejak dari usia kecil, sama ada di rumah mahupun di sekolah, pada hakikatnya amat perlu.
Lebih-lebih lagi diketahui bahawa ilmu sains itu sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia dan kehidupan beragama. Malah, lebih tepat dikatakan ilmu sains dan ilmu agama tidak boleh dipisahkan.
Ini kerana, sifat semula jadi makhluk yang bernama manusia sentiasa ingin mengetahui pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan ini seperti; kejadian siang dan malam, bagaimana ikan boleh bernafas dalam air, mengapa haiwan tidak boleh bertutur seperti manusia, apakah perbezaan antara lelaki dan perempuan, dari mana datangnya bayi dan banyak lagi.
Sayangnya apa yang berlaku di negara ini, pendidikan sains dilihat sebagai satu bidang atau subjek yang membosankan. Padahal pada hakikatnya, menurut Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob dalam ucap utama kedua seminar Sains "Yang Menarik" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mac lalu menafikan tanggapan negatif itu.
Kata beliau, secara ideal sains adalah satu subjek yang menarik dan tidak membosankan kerana lumrah atau sifat semula jadi manusia itu yang suka ingin tahu dan sains ada jawapannya. Malah sifat semula jadi sains iaitu di mana idea-idea sains itu adalah tentatif, boleh dicabar secara emperikal, menggalakkan diskusi, kritikal dan berfikiran kreatif, penyelidikan dan sebagainya.
Apatah lagi, kita sedang melalui era kegemilangan zaman sains dan teknologi yang semakin menguasai dunia. Dua bidang ini mempunyai jalinan erat di antara satu sama lain. Contohnya, gajet berteknologi tinggi adalah menarik diketahui dan dikuasai dan ia ada pengaruh sains yang kuat.
Tetapi realiti yang berlaku di sekolah-sekolah seperti silibus terlalu padat dan sukar, masa yang terhad, makmal kurang pengendalian, peralatan usang, tidak mencukupi, pelajar ramai, kesibukan guru, pengajaran secara chalk & talk, amali dibuat mengikut 'buku resipi' dan kebiasaannya tersedia jawapan, telah menjadikan subjek sains itu tidak menarik atau penyebab mengapa sains itu dikategorikan subjek yang membosankan.
"Pertama, cara atau kaedah pengajaran sains itu sendiri, ia tidak sejajar dengan sifat semula jadi manusia dan sains itu sendiri. Kedua, pembelajaran secara penerangan masih menjadi kaedah popular digunakan. Ketiga, kurikulum yang sudah ketinggalan zaman dan keempat, bidang ilmu fizik seharusnya banyak menerapkan pendekatan yang berbentuk pencarian dan idea-idea, memandangkan ia subjek yang berat.
"Selain itu juga, penggunaan tugasan di makmal juga terbatas menyebabkan pembelajaran menjadi suram dan tidak menarik. Kita juga terlalu menitikberatkan pencapaian yang bermatlamat kepada peperiksaan semata-mata atau sekadar menyediakan nota sedia ada, supaya mengikut silibus dan terakhir, terlalu banyak aktiviti latih tubi menyebabkan pelajaran sains bosan," jelas Aminah pada hari kedua seminar berlangsung.
Sains tauhidik
Malah beliau sendiri mengakui kebenaran kenyataan bahawa kurikulum dan aktiviti pembelajaran sains memang tidak menarik dan membosankan atas alasan para pelajar tidak terdedah kepada format baru, kebanyakan pelajar gagal kertas 2 sains kerana tidak dapat menjawab mengikut teknik yang betul memandangkan ia berbentuk subjektif, kekerapan guru menghadiri kursus-kursus yang diadakan semasa waktu persekolahan menyebabkan sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan lebih awal serta pertukaran guru-guru disebabkan perpindahan.
Pokok persoalan kepada kegagalan pelajar ialah kembali kerana tidak berlakunya pembelajaran. Berkongsi pengalaman beliau melawat sekolah di China, kata Aminah, para pelajar seawal gred satu dalam kelas sains telah diberikan tugasan menerusi komputer.
Kemudian guru akan membuka sebarang persoalan sekiranya mereka kurang faham dan tidak akan memberikan jawapan. Kemudian pelajar akan membuat pemerhatian di luar bilik darjah menggunakan objek sebenar kajian mereka.
Jelas beliau lagi, pembelajaran sains seharusnya melibatkan; eksperimen, penerokaan, penemuan, dicabar, menguji minda atau berfikir dan mengambil risiko. Lantaran itu, kaedah belajar sains yang merangsangkan mestilah, pembelajaran aktif melalui hand-on aktiviti iaitu learning by doing (LBD).
LBD mengalakan para pelajar untuk meneroka, bertanya, bereksperimen, pemerhatian, penelitian, pengalaman dan membina pemahaman terhadap konsep sains yang kompleks.
"Oleh itu prinsip asas LBD ialah pelajar akan lebih baik pencapaian sekiranya dia belajar menggunakan penglihatan, pendengaran, sentuhan, deria bau, rasa dan interaksinya dengan persekitaran.
"Sains adalah proses yang bermaksud mencari teori, undang-undang dan prinsip-prinsip yang ada kaitan dengan realiti," kata beliau yang berharap mereka yang terlibat secara langsung dengan pengajaran sains agar lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu, sekali gus dapat mengubah persepsi negatif semua pihak terhadap sains.
Sementara itu, menurut Felo Akademi Sains Malaysia/Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Khalijah Mohd .Salleh, kerangka konsep falsafah sains kini terpisah daripada aspek ketuhanan dan ia adalah warisan sains sekular dan ruang gelanggang aktiviti sains adalah alam tabie dan tidak termasuk ehwal kemanusiaan dan kemasyarakatan.
"Ditambah pula dengan kaedah perolehan ilmu sains adalah bersumber dan terkandung dalam bahasa Inggeris. Lantaran kesan daripada amalan sains kontemporari menyebabkan sains tidak merupakan satu warisan budaya, masyarakat kurang celik sains, sehingga tindakan tingkah laku manusia dalam ehwal kesihatan, jagaan alam sekitar tidak berasaskan ilmu yang saintifik, lebih kepada sangkaan dan ikutan nafsu.
"Selain itu, ehwal pendidikan dan kajian mengenai pendidikan sains bukanlah urusan saintis, di mana para saintis ini tidak mengambil perhatian berkaitan isu latihan dan pendidikan sains, pembangunan intelek dan sikap yang perlu bermula sejak kecil.
"Malah pembelajaran sains dalam bahasa Inggeris turut menyebabkan generasi muda kita kehilangan jati diri dan keyakinan diri anak-anak bangsa Melayu terhadap kuasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu," kata Khalijah sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk, "Salah Tanggapan Terhadap Sains: Kesan dan Jalan Penyelesaian" pada seminar dua hari itu.
Beliau turut berkongsi satu kajian antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study at Fourth & Eight Grades, International Study Centre (TIMSS 2007), Lynch School of Education, Bostan College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat mendapati dalam kajian 59 negara yang mengambil bahagian ini, penurunan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata untuk Matematik dan 40 mata untuk Sains adalah signifikan dan terbesar sekali.
Manakala belajar Sains dalam Bahasa Inggeris turut meninggalkan beberapa kesan. Antaranya; Asas kandungan sains dan kemahiran proses sains tidak terbina sejak di peringkat rendah, kesan psiko-emosi bagi guru dan pelajar menjadikan semangat mengajar dan belajar menurun.
Malah bilangan Melayu yang bakal menjurus dalam sains di peringkat tinggi menurun dan perwakilan dan pengurusan Melayu dalam Sains dan Teknologi (S&T) menurun kembali seperti sebelum dekad 80an.
Maka jalan penyelesaiannya, ujar Khalijah ialah dengan mengintegrasikan antara sains dan agama melalui sains tauhidik, iaitu memperkenalkan dan menggalakkan sains berteraskan tauhid yang mengambil kira dimensi material, kemanusiaan dan kedudukannya sebagai hamba dan khalifah Allah dunia dan akhirat. Pada masa sama, memahami al-Quran dan mendalami implikasi ajaran al-Quran terhadap sains oleh kedua-dua kumpulan dalam sains dan di luar sains.
"Matlamat sains tauhidik menjelaskan bahawa manusia mempunyai konsep, boleh menghargai, menjiwai keindahan alam, mengetahui serta prihatin terhadap kegunaan, kesan penggunaan sumber, demi keselamatan dan kelangsungan hidup.
"Di samping itu sains tauhidik juga memastikan manusia bergerak di atas landasan yang lurus, benar, adil, indah dan baik, halal dan haram menuju kepada Allah SWT. Ia juga menggunakan sumber-sumber alam secara proaktif.
"Hakikatnya terdapat banyak kelebihan dalam mengintegrasikan sains dalam hidup beragama seperti, kefahaman tentang kejadian yang berlaku, keimanan dan ketakwaan yang berteraskan ilmu pengetahuan, membudayakan sains dalam masyarakat," tegasnya mengajar dan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda akan memudahkan penyerapan ilmu yang bermakna. Di samping, turut melahirkan perasaan seronok mengajar dan belajar sains, sekali gus meningkatkan minat terhadap sains
Pandangan dan hasrat yang serupa turut diluah pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail. Jelas beliau, sains Barat hanya mampu menjawab sebahagian persoalan yang bermula dengan pertanyaan "bagaimana" tetapi tidak mampu menjawab persoalan "kenapalah" berlaku demikian?
Memberi roh
"Ini kerana persoalan "kenapa" memerlukan kepada domain ketuhanan yang pasti. Maka persoalan inilah yang telah ditinggalkan Barat sekian lama kerana dasar sekularisme yang mereka anuti.
"Selain itu, sains hanya lebih ditekankan aspek teknologi dan gunaan semata-mata yang persoalannya masih berlegar sekitar persoalan "bagaimana?" mekanisme peristiwa alam berlaku untuk dijelmakan ke dalam teknologi moden.
"Kurun ini menyaksikan kemunculan saintis sejagat seluruh dunia yang menghasilkan penemuan sains ke arah penerokaan sains yang lebih bermakna. Di kalangannya ialah Sue Ellan Green dalam bioteknologi, Mika Kivikoski dalam teknologi kaji cuaca, David Katzenbaum dalam fizik moden dan Shu Gungwu dalam model jiwa-roh-jasad.
"Apabila persoalan psikologi termasuk kalbu, roh, jiwa, akal dan seumpamanya yang pernah diperdebatkan oleh ahli falsafah silam sejak zaman Aristotle lagi, telah dinafikan golongan positifisme, maka sains moden melibatkan domain yang terhad," ujarnya domain positifis yang mengambil kira data emperikal semata-mata, menjadikan sains kelihatan terpulau dalam alam yang kecil sedangkan sains diterokai untuk mengkaji hakikat kebenaran alam.
Dalam kertas kerjanya yang bertajuk, "Perluasan Domain Sains: Ke Arah Kajian Sains Yang Mengasyikkan" turut menjelaskan bahawa di dalam Islam, peristiwa sebab dan akibat dibincangkan dalam bab takdir Ilahi. Peristiwa tabie dalam alam semesta ditakdirkan mengikut hukum tersebut. Mukjizat tidak terlibat dengan hukum sebab dan akibat. Seperti Isa dilahirkan tanpa ibu dan bapa, Adam wujud tanpa ibu dan bapa, Musa membelah Laut Merah dan banyak lagi tanpa perantara sebab.
"Sains moden yang dibina di Barat didasarkan kepada aspek kuantitatif cerapan indera semata-mata tanpa hubungan dengan aspek kerohanian sama sekali. Ini secara jelas menafikan maksud asal kajian sains tabie Islam, yang melihat kebenaran alam sebagai manifestasi keagungan ciptaan Ilahi.
"Maka sains Barat telah berubah maksud yang sebenarnya. Fahaman positifisme Barat tidak mengizinkan aspek kualitatif dan ketuhanan dijadikan premis sains mereka. Mereka yang menjadi "alam tanpa Pencipta" sebagai paksi kepada kajian mereka. Jadi inilah yang perlu diperbetulkan.
"Usaha memperluaskan domain sains yang melibatkan kuantitatif dan kualitatif bukanlah usaha baru tetapi merupakan usaha mengembalikan semula takrifan sains seperti yang dimaksudkan ilmuan Islam silam. Bahkan bukan juga satu usaha bidaah baru seperti disangkakan oleh pengkagum sains Barat," katanya ia adalah usaha yang bertujuan untuk memberi roh kepada kajian sains tabie yang berakhir dengan pengiktirafan Pencipta Yang Maha Agung.
Oleh itu, alam semesta dianggap kitab terbuka yang harus dikaji secara bersepadu dengan al-Quran sebagai kitab tertulis di atas paksi tauhid.
Cadangan Mat Rofa juga, kurikulum sains dalam sistem pendidikan negara harus disemak, dikaji, dianalisis dan digubal semula agar pelajar yang terdedah dengan domain sains yang melibatkan kedua-dua aspek emperikal dan sistem nilai berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi, tunduk dan beriman, sejajar dengan Rukun Negara yang pertama dan selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan kesepaduan antara jasmani, emosi, rohani dan intelek.