Top Ad 728x90

,

Agenda terancang hapus Raja Berperlembagaan

Tindakan pihak tertentu mendesak kerajaan membenarkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang semula ke Malaysia dikhuatiri mempunyai agenda terancang untuk menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, situasi di Perak jelas menunjukkan wujud usaha pihak tertentu untuk menidakkan peranan raja dan ini menjerumus kepada pembentukan negara republik dan komunis.

''Saya takut untuk mengagak rancangan pihak tertentu itu. Bagaimanapun kita lihat institusi beraja selama beratus tahun di Nepal runtuh apabila komunis bertapak.

''Oleh itu, kerajaan perlu bertindak sekeras-kerasnya dalam hal ini dan tidak lagi mengambil pendekatan berlembut," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin Persatuan Bekas Perajurit Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia di sini hari ini.

Dalam perbincangan itu, GMP serta dua persatuan bekas anggota keselamatan negara itu mengambil keputusan menentang sekeras-kerasnya usaha pihak tertentu untuk membawa Chin Peng pulang ke negara ini.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, kebimbangan yang disuarakan pihaknya itu berasas kerana sebelum ini ada perhimpunan di Batu Caves, Selangor yang menyokong perjuangan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

''Adakah ini mempunyai kaitan dengan gerakan komunis? Kerajaan perlu menjalankan kajian sama ada bibit-bibit ideologi komunisme ini mula bertapak dan berkembang di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, walaupun komunis telah meletakkan senjata, ia tidak bermakna ideologi komunisme yang menjadi fahaman pengikut gerakan itu telah terhapus sama sekali.

''Membenarkan Chin Peng balik ke Malaysia boleh diterjemahkan sebagai komunis kembali ke negara ini.

''Chin Peng patut dihukum atas kekejamannya, kalau zaman dulu, dah kena hukum mati ditembak," tegasnya.

Beliau turut menempelak tindakan pihak tertentu menyokong usaha membawa Chin Peng balik dengan alasan atas dasar perikemanusiaan.

''Perikemanusiaan apa? Kalau hendak kaji pasal Chin Peng, kerajaan patut nilai semula perjuangan bekas anggota keselamatan dan berikan kebajikan sepatutnya atas jasa mereka mewujudkan keamanan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula menyifatkan mereka yang menyokong komunis merupakan penentang kepada agama, sistem demokrasi dan semangat kenegaraan.

Katanya, mereka yang berniat membawa masuk Chin Peng seolah-olah ingin menghapuskan institusi raja-raja Melayu di negara ini.

''Orang Melayu melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu mempertahankan agama Islam, budaya dan bahasa mereka daripada diancam fahaman komunisme," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Pas menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau sebaliknya usaha membawa masuk Chin Peng pada muktamar parti itu bulan depan.

''Sama ada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau mana-mana pihak yang menyokong komunis, mereka terkeluar daripada Islam. Siapa yang sokong sama dengan mereka," katanya.

Beliau menegaskan, kekejaman komunis tidak boleh dimaafkan kerana ramai menderita dan bukti kekejaman itu masih boleh dilihat pada kecacatan fizikal anggota perajurit yang masih hidup sehingga hari ini.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90