Top Ad 728x90

Memperkasa pendidikan negara

Kerajaan serius melaksanakan Dasar Pendemokrasian Pendidikan dengan memberikan layanan yang saksama di antara kawasan luar bandar dan bandar termasuk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Pelajaran semalam, beliau telah membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) secara panjang lebar.

''Kita mahu menjurus pada usaha meningkatkan mutu pendidikan dan pelajaran khususnya di luar bandar.

''Saya telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pelajaran supaya mengambil langkah besar untuk merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, baik dari segi prasarana, keperluan guru dan cara pembelajarannya," kata beliau.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.

Tambah Muhyiddin, beliau tidak mahu ada pihak yang berkata selepas berpuluh tahun kerajaan majukan sektor pendidikan, kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan berbanding bandar daripada segi pencapaian pelajar.

''Ini adalah satu strategi yang kita gariskan dalam tempoh lima tahun akan datang. Saya mahu melihat kesaksamaan dalam aspek infrastrukturnya dan pembelajaran hendaklah sama seperti di bandar," tegas beliau.

Katanya, walaupun perkembangan itu adalah sebahagian dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), perancangannya perlu dibuat dari sekarang.

Ditanya pemberita sama ada jurang itu terlalu jauh sehingga pendekatan drastik tersebut diambil, beliau menjelaskan, perbezaan tersebut begitu ketara.

''Dari sudut lain kita lihat keputusan peperiksaan, itu pun ada jurang," jelas beliau.

Muhyiddin juga menjelaskan, untuk mengatasi kekaburan dalam jurang berkenaan, kementerian akan menempatkan guru berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman selain memahami kebajikan dan kemampuan guru terbabit.

''Kita mahu guru berkualiti mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

''Kementerian telah menyediakan tiga kategori elaun iaitu RM1,500 di kawasan yang jauh di pedalaman, RM1,000 untuk pertengahan dan RM500 untuk sederhana. Walaupun sudah ada insentif yang cukup baik ini pun, ada yang memilih untuk terus mengajar di bandar," kata beliau.

Melalui Dasar Pendemokrasian Pendidikan itu juga, kementerian akan melihat faktor keperluan asas di Sabah dan Sarawak kerana yang jauh di pedalaman masih tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik yang efisien.

''Kementerian akan memikirkan untuk menyediakan kemudahan rumah untuk guru yang mengajar di pedalaman," ujar beliau.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pembangunan Kompleks Pendidikan Bandar Enstek akan memberi identiti dan impak pada pendidikan negara.

''Dengan kos RM1.3 bilion untuk pelaksanaan dua fasa itu, saya berharap ia akan menjadi lembah ilmu bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi guru dan golongan pendidik," kata beliau.

Terdahulu Muhyiddin dibawa melawat sekitar kawasan kompleks sebelum diberi taklimat oleh Zulkurnain yang turut dihadiri lebih 500 tetamu.

Kompleks seluas 404.68 hektar mencakupi pembangunan Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Tunku Kurshiah (TKC), English Language Teaching Centre (ELTC) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melalui dua fasa.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90