Belasungkawa - Laila Taib

Oleh FAUZI JAAFAR

James Ritchie menggambarkan Allahyarham Puan Sri Laila Taib pada awal pertemuan seperti 'terasing' atau kelihatan sombong, sinonim dengan label 'orang mat saleh' yang berada di negara Dunia Ketiga pada tahun 1960-an.

Katanya, orang yang pertama kali melihat atau bertemu dengan isteri Ketua Menteri Sarawak itu pastinya beranggapan beliau adalah seorang yang serius dan sukar tersenyum.

''Siapa yang boleh menyalahkannya (Laila). Beliau tinggi, menawan dan anggun dan saya sangka beliau akan menjadi 'mem' orang putih yang sombong.

''Namun akhirnya saya silap, beliau ternyata seorang wanita yang budiman," kata bekas wartawan dan juga seorang penulis buku mengenai Sarawak.

Allahyarham Laila Taib, 68, merupakan isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud. Beliau meninggal dunia akibat barah pada pukul 3.40 petang Rabu lalu.

Laila yang nama remajanya Lejla Chaleck, lahir pada 1 Mac 1941 dalam sebuah keluarga Islam di Poland. Beliau bertemu Abdul Taib di Australia ketika mereka sedang menuntut, dan berkahwin di Masjid Adelaide pada 13 Januari 1959.

Abdul Taib ketika itu sedang mengikuti pengajian ijazah undang-undang. Pada 1962, Laila mengikut Abdul Taib ke Sarawak dan bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Sukar untuk menafikan bahawa Allahyarham sememangnya hidup untuk berbakti dan membuat kebajikan untuk rakyat Sarawak.

Dalam hal ini Ritchie melabelkan Laila sebagai wanita penyayang, pemurah yang mudah melemparkan senyuman.

''Saya ingat waktu Laila memulakan projek 'Heart to Heart' pada tahun 1980-an, mukanya begitu gembira sekali apabila mendukung seorang kanak-kanak perempuan kecil dan kurus yang menghidapi jantung berlubang.

''Saya mengambil gambar Laila yang memakai pakaian Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (Sabati) sambil beliau memeluk kanak-kanak itu," katanya.

Laila banyak menumpukan kepada kerja-kerja amal semasa hidupnya yang seolah-olah 'lampu' kepada kehidupan orang lain. Kerja-kerja amal Laila sebenarnya telah bermula sejak remaja lagi. Ia bermula pada tahun 1953 ketika Allahyarham belajar di Sekolah Tinggi Perempuan Adelaide, Australia dan berterusan ketika bergelar siswi perubatan di Universiti Adelaide pada tahun 1959.

Setelah mengikut suaminya ke Sarawak, kerja-kerja kebajikan itu diteruskan dan antara jawatan yang dipegang Allahyarham ketika hayatnya ialah Presiden Sabati sejak tahun 1982.

Beliau juga Pengerusi Pergerakan Wanita, Majlis Dakwah Islam Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik (Reseap) sejak tahun 1983, Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Cabang Kuching sejak tahun 1983, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Allahyarham juga Penaung Tabung Amal Kanser Laila Taib sejak Mei 2007. Ia antara aktiviti kebajikan yang paling menonjol di negeri ini kerana membantu golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan bagi penyakit itu.

Simpati Laila kepada yang menderita tidak pernah berakhir semasa hayatnya.

Kakak ipar Allahyarham, Datin Azerina Mohd. Arip berkata, semasa perang di Sarajevo meletus, Laila mencetuskan idea untuk menyediakan tempat perlindungan kepada rakyat Bosnia. Malah beliau sendiri mengadakan majlis makan malam bagi mengutip derma untuk mangsa perang itu.

''Saya masih ingat lagi, pada suatu ketika, apabila seorang wanita Bosnia yang dikenali meninggal dunia, beliau (Laila) datang ke masjid menziarahi jenazah dan menunggu sehingga pengkebumian.

''Saya bertanya kenapa datang, Laila berkata, beliau pernah menjadi pelarian sebelum ini dan dapat merasakan perasaannya (wanita tersebut)," kata beliau.

Azerina memberitahu, ini adalah salah satu peristiwa paling menyentuh hati yang pernah beliau ketahui tentang Laila, yang pernah melarikan diri dari negara kelahirannya, Poland semasa penjajahan Jerman di Eropah pada tahun 1941.

Tidak ramai yang tahu, isteri yang berkongsi hidup selama 50 tahun dengan Abdul Taib itu tidak langsung menyentuh urusan politik suaminya. Ritchie berkata, Laila tidak mencampuri langsung urusan suaminya, tetapi menyokong penuh segala tindakan suaminya.

Ketika suaminya digasak dengan sepak terajang dunia politik Sarawak, Laila tetap berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati kepada suaminya.

Ibu kepada empat anak, iaitu Jamilah Hamidah, Mahmud Abdul Bekir, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 orang cucu adalah seorang yang berdisiplin dalam membesar anak-anaknya.

Sikap lemah lembut Allahyarham menjadikan beliau seperti anak tempatan dan bukannya 'mem mat salleh' yang sukar didekati. Abdul Taib kini kehilangan inspirasinya manakala Sarawak kehilangan ibu serta wanita yang mengambil berat kebajikan rakyat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url