RHB Islamic tawar pinjaman tanpa penjamin

RHB Islamic Bank, cabang perbankan Islam RHB Banking Group, memudahkan keperluan pelanggannya yang mahukan bantuan kewangan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Produk terbarunya, Personal Financing-i, memastikan bantuan kewangan itu segera diperoleh tanpa perlu menyediakan penjamin.

"Dalam tempoh yang mencabar seperti sekarang, wang lebih dalam tangan pastinya membantu melegakan fikiran mereka yang ingin memenuhi keperluan peribadi. Bagi Personal Financing-i pemohon tidak perlu bersusah payah mencari penjamin," kata Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Jamelah Jamaluddin, dalam kenyataannya di sini hari ini.

Produk berlandaskan konsep syariah Murabahah Tawarruq itu menawarkan tempoh pembayaran fleksibel dari minimum 24 bulan hingga maksimum 84 bulan.

Ciri khusus Personal Financing-i ialah perlindungan Takafulnya, yang menyediakan perlindungan bagi membayar baki pinjaman kepada RHB Islamic Bank, jika berlaku kematian atau kehilangan keupayaan kekal peminjam.

Memandangkan ia memenuhi keperluan pasaran semasa, RHB Islamic yakin Personal Financing-i akan mendapat sambutan hangat.

"Dengan kadar yang kompetitif, tempoh bayaran yang fleksibel dan kelulusan dalam tempoh 48 jam, kami yakin kami akan mencapai sasaran pembiayaan bernilai RM45 juta dalam setahun ia beroperasi," kata Jamelah.

Produk ini adalah bagi semua rakyat Malaysia berusia di antara 21 dengan 65 tahun ketika permohonan dibuat.

Pemohon yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM30,000 layak mendapat pembiayaan 5.5 kali gaji bulanan mereka manakala mereka yang berpendapatan RM18,000 setahun layak bagi pembiayaan sebanyak 3.5 kali.Pembiayaan bermula dari minimum RM5,000 hingga maksimum RM150,000.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url