Jangan biar 13 Mei berulang

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK

Tragedi 13 Mei genap 40 tahun hari ini. Walaupun ada sesetengah pihak menanggap peristiwa hitam itu hanya sebuah kes terpencil – berlaku di Kuala Lumpur – dan bukannya bersifat ‘nasional’, tapi kesannya sangat pahit untuk ditelan. Peristiwa itu masih berbekas sehingga kini.

Ramai yang gerun bila mengungkapkan Tragedi 13 Mei itu. Lebih-lebih lagi di kalangan penduduk yang sudah di peringkat remaja dan dewasa ketika tragedi itu tersebut.

Ada ketikanya ia seolah-olah menjadi tabu. Ramai yang enggan membicarakan isu tersebut. Ia dianggap sebagai tragedi yang memberi titik hitam kepada sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia.

Walau apa sahaja hujah untuk menidakkan kepentingan 13 Mei 1969 daripada lipatan sejarah negara, tidak dapat tidak, perlu diakui bahawa pengajaran daripadanya masih relevan sehingga kini.

Punca dan kesan Tragedi 13 Mei kepada negara perlu difahami. Ia tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk kegagalan pentadbiran ketika itu mempertahankan perpaduan rakyat semata-mata.

Terlalu banyak iktibar yang boleh dikutip daripada peristiwa itu. Pengajaran paling penting ialah “jangan biar ia berulang”.

Tragedi itu tidak boleh disembunyikan. Rakyat perlu tahu mengenainya dan difahamkan bahawa kesan yang amat buruk akan berlaku apabila perpaduan menjadi goyah dan runtuh.

Tanpa mengetahui dan memahami, tiada apa yang boleh dikutip untuk dijadikan teladan atau sempadan.

Pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam ketika diminta mengulas mengenainya berkata, Tragedi 13 Mei itu sangat relevan dijadikan panduan serta iktibar berdasarkan situasi semasa.

Kata beliau, Tragedi 13 Mei tidak seharusnya disekat untuk dibicarakan. Rakyat, khususnya generasi muda perlu diberi pemahaman mengenai punca dan natijah peristiwa tersebut.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Mr. BLB
    Mr. BLB Khamis, 14 Mei 2009 pada 2:15:00 PG SGT

    harap2 la kejadian seperti ini tidak terjadi lagi, tragedi mmg bagi pengajaran sgt2 utk rakyat malaysia pada masa skrg, good info bro
    :]

Add Comment
comment url