Kisah ajaib influenza A
Setiap kali muncul apa sahaja musibah dahsyat, kita turut diselitkan dengan beberapa kejadian luar biasa yang dianggap terpencil tetapi unik. Tidak ketinggalan wabak influenza A yang sebelum ini dirujuk sebagai selesema babi atau swine flu.
Wabak yang diberi kod H1N1 itu juga mendedahkan sikap berwaspada segelintir masyarakat yang jarang dipedulikan tetapi berjaya menyelamatkan nyawa individu terbabit. Ironinya mereka yang berada di sekeliling insan itu maut dalam keadaan tragis.
Antaranya, kisah seorang budak lelaki di sebuah perkampungan di Mexico yang menjadi tumpuan pihak berkuasa sebagai kawasan bermula wabak maut itu. Kampung tersebut menempatkan ladang ternakan babi utama negara berkenaan.
Budak itu terselamat di sebalik seluruh penduduk kampungnya di Mexico maut akibat selesema babi hanya kerana satu perkara – suka mencuci tangan yang kotor.
Perkara itu sempat diceritakan beberapa krew pesawat MH 095 Penerbangan Malaysia (MAS) dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada tengah hari Jumaat lalu.
Kumpulan 18 pramugari dan pramugara MAS itu memberitahu Kosmo! Ahad, sebelum bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), media massa di AS bersaing mencari laporan menarik mengenai wabak itu.
Kebetulan California antara beberapa negeri di AS yang menjadi tumpuan kerana mencatatkan kes tertinggi influenza A dan kebetulan berjiran dengan wilayah Baja di Mexico yang teruk terjejas akibat penularan wabak tersebut.
Namun satu kisah yang dipaparkan stesen CNN sebaik saja wabak itu mula menjadi berita utama 25 April lalu cukup meruntun perasaan penonton. Pengajaran daripada kisah itu menyebabkan penduduk AS mula mengambil berat soal kebersihan.
Seorang pramugara yang memohon namanya tidak disiarkan malah berkata, kisah bagaimana budak itu terselamat di sebalik semua penduduk terkorban menyebabkan syarikat penerbangan mula melaksanakan prosedur pencegahan awal.
“Seorang demi seorang penduduk jatuh sakit secara misteri sebelum maut. Aspek kebersihan khasnya penjagaan diri memang tidak diutamakan masyarakat Mexico dan AS sendiri,” katanya yang kebetulan menonton siaran televisyen tersebut.
Hakikatnya wartawan CNN yang menjadi wakil media pertama dibenarkan memasuki kampung itu juga terkejut apabila mendapati kanak-kanak kecil tersebut mampu hidup kerana sikap positifnya dalam menjaga kebersihan terutama tangan.
“Dia suka basuh tangan jika mendapati tangannya kotor selepas bermain atau diselaputi habuk apatah lagi setelah menyentuh babi. Budak itu cepat-cepat mencuci kedua-dua tangannya waima kerana menutup hidung selepas bersin atau batuk,” katanya.
Akhirnya, budak ‘ajaib’ itu masih hidup dan disahkan langsung bebas dijangkiti wabak tersebut semasa ditemui pasukan kecemasan Mexico. Mereka hairan dan menganggap kisah disiplin budak itu sesuatu yang wajar dijadikan pengajaran.
Saringan ketat di KLIA
Bagaimanapun, langkah pencegahan diambil pihak berkuasa Malaysia sebaik penularan wabak selesema itu di KLIA turut mendapat pujian penumpang warga asing. Mereka bukan sahaja terkejut malah kagum dengan tahap siap siaga negara ini.
Jason Smith, 38, yang berkhidmat dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan antara lebih 300 penumpang MAS dari Los Angeles mendapati kerajaan Malaysia cukup peka dengan situasi penularan wabak H1N1 itu.
“Saya terkejut kerana di Los Angeles kami cuma melalui pengimbas haba badan tetapi di KLIA, kami disaring ketat. Mujurlah petugas di sini cekap bekerja dan proses pemeriksaan tidak mengambil masa yang terlalu lama,” jelasnya.
Pengalaman semasa benua Asia dilanda wabak selesema burung dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sedikit masa lalu nyata menjadikan kerajaan Malaysia lebih bersedia.
- KOSMO!
sekarang, baru la reti nak basoh tangan.hu3. tu la islam da cakap, kebersihan tu sebahagian daripada iman. agknya mungkin di kalangan orang yang pernah makan babi je kut yang dijangkiti virus H1N1 tu kot.kan?