Mencari jutawan kedua Power Root
Siapa tahu, nasib anda mungkin boleh berubah, daripada orang biasa kepada seorang jutawan. Wong Chee Keong ialah lelaki berusia 32 tahun yang baru mengubah nasibnya apabila menjadi pemenang pertama RM1 juta peraduan Power Root Anda boleh Jadi Jutawan Mac lalu.
Peraduan Power Root yang menjadi sebutan sejak tahun 2004 kini antara peraduan yang paling dinantikan oleh rakyat Malaysia. Ini kerana peraduan tersebut menawarkan RM1 juta kepada pemenang utamanya.
Menerima banyak pertanyaan dan permintaan untuk tahun ini, jenama minuman bertenaga itu kembali untuk mencari pemenang hadiah RM1 juta untuk edisi kedua.
Bermula sejak 1 Mei hingga 31 Disember ini, selama lapan bulan peraduan dengan nama barunya, "RM1 juta, 1 Pemenang" itu menawarkan wang keseluruhan sebanyak RM3.6 juta. Ia bukan sahaja yang tertinggi sepanjang peraduan itu dianjurkan bahkan ganjaran yang terbesar pernah ditawarkan dalam peraduan di Malaysia.
Dengan mengekalkan konsep tiga kategori pertandingan, Power Root mencari pemenang untuk kategori Hadiah Tunai, Hadiah Bulanan dan Hadiah Utama RM1 juta.
Bagi kategori Hadiah Utama, penggemar minuman Power Root yang bertuah boleh pulang dengan RM500 apabila memperoleh penutup tin minuman yang bertanda. Sebanyak 4,020 tin minuman Power Root sedang menanti pemenang.
Untuk kategori kedua, Hadiah Bulanan memerlukan peserta mengumpulkan sama ada 10 penutup tin minuman Power Root atau mana-mana dua pek kosong bungkusan produk segera atau empat pek kosong bungkusan produk mini minuman Power Root.
Mereka perlu mengisi borang penyertaan, menjawab dua soalan mudah dan menghantarnya kepada Power Root. Penyertaan itu memberi peluang kepada mereka untuk memenangi Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000, RM2,000, RM5,000 atau RM10,000.
Akhir sekali, peluang memenangi RM1 Juta untuk 1 Pemenang. Semua borang penyertaan yang diposkan sepanjang tempoh lapan bulan pertandingan berpeluang untuk terpilih memenangi hadiah utama berjumlah RM1 juta.
Pengerusi Natural Bio Resources Bhd. (NatBio), Tengku Shamsulbhari Tengku Azman Shah memberitahu, Power Root meneruskan edisi kedua hadiah tawaran RM1 juta sebagai satu penghargaan kepada pelanggan setia minuman tersebut.
"Apabila Wong Chee Keong berjaya memenangi RM1 juta pada peraduan edisi tahun 2008, kita mendapat respons yang begitu hebat. Ramai yang tidak sabar bertanyakan bilakah edisi seterusnya akan diadakan. Kini penantian itu sudah berakhir, mulai 1 Mei 2009 Power Root mencari satu pemenang untuk hadiah RM1 juta," katanya ketika melancarkan program itu baru-baru ini.
Sebagai satu lagi bonus kepada keghairahan peserta menyertai pertandingan tersebut, Power Root buat pertama kali akan menghadiahkan sehelai tuala edisi terhad Power Root bagi setiap 10 borang penyertaan yang dihantar oleh peserta.
Turut hadir dalam program tersebut ialah empat duta Power Root iaitu pelakon, Rosyam Noor, bintang-bintang Akademi Fantasia (AF), Adam, Farah dan Stacy.
Memikul tanggungjawab sosial kepada golongan yang kurang bernasib baik, Power Root juga menyumbang Oligo Cereal bernilai RM10,000 kepada program Bersamamu.
Ditubuhkan pada tahun 1999, antara produk minuman popular yang dipasarkan oleh Power Root termasuklah minuman bertenaga Extra Power Root, siri Per'l untuk wanita dan teh susu untuk semua peringkat usia, Alicafe, Alitea, Per'1 Cafe, siri Oligo Coco dan bijirin segera Oligo.
Maklumat lanjut : www.powerroot.com.my