Lagi kelibat Ayah Pin - Tinggal di Narathiwat, bebas keluar masuk Rantau Panjang
Lagi dakwaan ternampak ketua ajaran sesat Kerajaan Langit, Ayah Pin. Ini ekoran dakwaan orang ramai yang terlihat kelibat Ayah Pin yang hilang sejak 2005 itu di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Abey mendakwa, dia pernah melihat kelibat seorang lelaki mirip Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohamad, 69, sebanyak dua kali di Pekan Rantau Panjang yang terletak berdekatan sempadan Thailand.
"Kali pertama saya nampak dia (Ayah Pin) membonceng motosikal menuju masuk ke pekan ini dari arah Siam (Thailand) awal tahun ini.
"Terbaru, kira-kira tiga minggu lepas saya nampak lagi dia (Ayah Pin) semasa dia berhenti di hadapan sebuah gerai," katanya kepada Kosmo! di Jerteh di sini, kelmarin.
Menurut Abey, setelah terserempak dengan lelaki mirip Ayah Pin itu sekali gus membuatkan dirinya percaya dakwaan yang mengatakan Ayah Pin kini tinggal di sebuah kampung di Narathiwat, Thailand selepas melarikan diri dari markasnya di Hulu Besut, Terengganu empat tahun lalu.
Abey memberitahu, semasa terserempak dengan Ayah Pin, dia sempat merakam gambar lelaki tersebut menggunakan kamera telefon bimbitnya.
Katanya, dia menghampiri Ayah Pin dan menyapanya, namun lelaki itu bertindak meninggalkan tempat tersebut secara tergesa-gesa dengan membonceng sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran negara jiran berkenaan.
- KOSMO!