Menonjolkan kembali ikatan persaudaraan sesama Islam
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Ruang yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi lebih daripada itu.
Benar, Islam adalah agama mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seorang individu saja, tetapi buat semua.
Hari ini pertelingkahan serta perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Mengejar impian yang fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa kerana tamak dan haloba lalu semangat persaudaraan digadai begitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah semata-mata, tetapi sesama manusia dan makhluk lainnya.
Allah berfirman bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat Allah dan mereka membunuh nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas." (Surah Ali-Imran, ayat 112)
Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan, tetapi kasih sayang sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.
Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah teguh kepada keEsaan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Justeru, adanya hak yang perlu dipelihara seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya.
Malah, Barat turut mendakwa hak asasi manusia adalah sesuatu yang dibina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.
Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa mengejar untung dunia. Sedangkan Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja.
Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan tidak membawa kebaikan atau lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.
Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak serta tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim hingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah.
Umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri hingga akhirnya tiada siapa menang, malah diperolokkan dan dihina secara terang-terangan.
Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)
Strategi demi strategi untuk menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan dicita lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau-bilau kerana propaganda begitu halus dicipta.
Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain pula menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam di dunia yang hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.
Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta dipelihara. Seharusnya ayat Allah dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.
Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)
Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan.
Sejarah juga membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.
Bukan itu saja, golongan bangsawan turut dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, hingga benar-benar menusuk dalam sanubari sahabat.
Malah, setiap sahabat dapat merasai mengenai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Muslim)
Justeru, perlu diingat kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah-belah, tiadalah lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.