Top Ad 728x90

Suhaimi guna Facebook promosi Awani


FACEBOOK merupakan antara laman web popular di Internet yang menghubungkan ramai kenalan dari seluruh dunia.

Laman web itu menjadi tumpuan ramai pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat termasuklah golongan selebriti.

Penyampai berita TV Astro Awani, Suhaimi Sulaiman antara kalangan selebriti tempatan yang menggunakan laman web itu.

Selebriti berusia 47 tahun ini menjadikan Facebook bukan setakat bagi mengakrabkan lagi hubungan dengan para kenalannya.

Malah, Suhaimi juga menggunakan laman web itu untuk memperkenalkan rancangan Agenda Awani yang dihoskannya di Astro Awani.

"Setakat ini saya mempunyai hampir 3,600 kenalan di Facebook. Kenalan- kenalan saya itu datangnya dari seluruh dunia.

"Pada mulanya, saya melayari laman web itu sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang. Tetapi saya dapati ia lebih daripada itu.

"Secara tidak langsung, saya gunakan Facebook bagi mempromosikan rancangan-rancangan yang saya hoskan di Astro Awani.

"Ternyata cara itu cukup mudah, cepat dan berkesan," katanya ketika ditemui di pejabat Astro Awani di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau dapat melihat reaksi yang cukup positif apabila hobinya itu banyak mempopularkan rancangan yang dikendaliannya itu.

Contohnya kata Suhaimi, rancangan Agenda Awani kini semakin menjadi tumpuan ramai apabila ia diperkatakan hingga ke Internet.

"Kalau dulu orang bercerita tentang isu-isu semasa di kedai-kedai kopi tetapi sekarang ini melalui Internet di mana ia lebih cepat dan meluas.

"Kenalan-kenalan saya di Facebook pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada menteri kabinet hinggalah peminat biasa.

"Mereka inilah yang menjadi sumber berita kepada saya. Mereka juga memberi maklum balas selain memberi pandangan dan cadangan kepada saya.

"Daripada situlah saya mendapat banyak idea bagi mempertingkatkan lagi mutu dan bahan dalam rancangan kendalian saya itu," ujarnya.

Sebagai Penerbit Eksekutif di Astro Awani, setakat ini beliau lebih memberi tumpuan kepada rancangan Agenda Awani dan Fokus Ekonomi.

Bagi mempelbagaikan lagi bahan dan gaya penyampaiannya dalam dua rancangan itu kata Suhaimi, maklum balas penonton amat penting.

"Dengan adanya maklum balas termasuklah daripada para kenalan saya yang menonton Agenda Awani ia banyak membantu saya.

"Misalnya, kalau ada yang tidak kena dengan cara penyampaian saya di kaca TV, mereka akan terus memberi maklum balas secara terus terang.

"Saya bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan demi melihat rancangan kendalian saya itu menjadi semakin mantap," katanya.

Ketika ditanya perbezaan Agenda Awani dengan rancangan lain, kata Suhaimi, rancangan itu lebih fokus dalam sesuatu isu yang dipaparkan.

Ujarnya, Agenda Awani mengupas sesuatu isu semasa daripada pelbagai perspektif dan ia bukan sekadar berita semata-mata.

"Sepanjang sejam rancangan itu ke udara, kami akan menjemput beberapa tokoh daripada bidang berbeza untuk membicarakan sesuatu isu itu.

"Sebagai contohnya, baru-baru ini kami membincangkan isu penggunaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik di sekolah.

"Dalam isu itu, kami cuba mendapatkan pandangan daripada banyak pihak termasuklah golongan bukan Melayu dengan pelbagai pandangan tersendiri.

"Secara tidak langsung adakalanya idea yang disuarakan itu sesuatu yang baru dan tidak dijangka," jelasnya penuh yakin.

Kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Portland State, Amerika Syarikat ini Agenda Awani juga ditonton oleh bukan Melayu.

Kelebihan itu menyebabkan kesemua isu yang dibincangkan lebih luas skopnya dan ia datangnya daripada pelbagai latar bangsa serta pemikiran.

"Selain kepelbagaian golongan penonton, kami juga terpaksa menyesuaikan dengan keperluan semasa agar isu yang dibincang tidak basi.

"Malah, kami juga harus bijak mengupas sesuatu isu supaya idea dan tahap pemikiran di dalamnya sama dengan tahap pemikiran para penonton.

"Ini kerana, para penonton sekarang semakin bijak dan amat selektif," katanya penuh makna.

Selain menerbit dan hos bagi kedua-dua program itu, Suhaimi juga ditugaskan melatih para penyampai berita kalangan generasi baru.

Rizal Zulkapli merupakan antara muka baru yang banyak mendapat bimbingan daripada bekas penyampai berita TV3 ini dalam bidang tersebut.

Hakikat itu tidak dinafikan oleh Rizal atau nama sebenarnya Mohd. Dzulfrizal Zulkapli yang kini semakin yakin tampil dalam Agenda Awani.

"Beliau (Suhaimi) banyak membantu saya kerana saya bukannya dari bidang penyiaran. Di samping menerima tunjuk ajar, saya juga harus berdikari.

"Untuk menambahkan lagi pengetahuan, saya banyak melakukan kajian tentang sesuatu isu yang akan dibincangkan dalam program kami itu.

"Saya misalnya, akan membelek semua akhbar harian tempatan selain melayari Internet," katanya yang memiliki diploma bidang hiasan dalaman.

Biarpun selesa dan semakin popular menerusi Agenda Awani, tetapi Rizal sama seperti juga wartawan lain yang terpaksa 'turun padang'.

Jejaka tinggi lampai ini juga sering ditugaskan berada di sesuatu lokasi untuk melaporkan berita di mana ia banyak membantu tugasnya.

"Dengan cara itu, saya bukan setakat membaca berita sahaja, tetapi saya juga akan lebih faham tentang apa yang saya bacakan di kaca TV.

"Secara peribadi, saya dapati mencari berita atau membuat laporan di lokasi lebih mencabar wartawan baru seperti saya," jelasnya lagi.

Agenda Awani disiarkan menerusi saluran Astro Awani pada setiap hari dari pukul 8 malam hingga 9 malam.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90