Zamarul & Diana akhirnya bersatu
Lancar melafazkan ungkapan nikah dengan sekali lafaz, pelakon Zamarulhisham Mohamed, 38, dan pasangannya, Diana Rafar, 27, sah bergelar suami isteri dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi Sabtu lalu.
Dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Khairuddin Haiyon setelah diwakilkan oleh abang kandung Diana, Airul Azmi, ia merungkai segala persoalan tentang hubungan cinta yang terjalin antara mereka sejak lapan tahun lalu.
Sememangnya, jodoh mereka berdua cukup kuat dan utuh walaupun satu ketika dahulu pernah dilanda badai malah dipukul ombak.
Begitulah harapannya terhadap perkahwinan Zamarul dan Diana atau nama sebenarnya Adriana Abd. Rafar agar terus kekal selamanya seteguh cinta mereka.
"Hari ini adalah hari yang paling tenang dan bermakna dalam hidup saya. Lapan tahun berkawan, hati saya lega dan gembira kerana majlis pernikahan ini berjalan lancar.
"Saya dan Diana pernah bersama hidup susah. Meski penuh dengan dugaan dan cubaan sesetengah pihak yang mahu meruntuhkan hubungan antara kami, akhirnya kami disatukan dengan ikatan pernikahan.
"Sudah tentu saya mengharapkan agar ikatan suami isteri yang terjalin ini berkekalan selamanya,'' ujar Zamarul sebaik ditemui selepas majlis akan nikah.
Dihadiri lebih 100 ahli keluarga terdekat, pada majlis itu, Zamarul menyerahkan mas kahwin sebanyak RM165 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM16,500, sebentuk cincin dan set wangian.
Diana pula membalasnya dengan sembilan dulang hantaran.
Bersyukur dengan kurniaan daripada Ilahi, Zamarul merancang untuk membawa Diana mengerjakan umrah ke Tanah Suci Mekah untuk mendoakan kebahagiaan mereka.
"Kami masih belum pilih tarikh lagi. Tetapi, mungkin kami akan mengerjakan umrah sebaik selesai berlangsungnya majlis resepsi di pihak saya di Bangi pada 23 Mei ini,'' katanya.
Ditanya tentang perancangannya selepas berkahwin, Zamarul menjelaskan bahawa dirinya akan meneruskan karier sebagai pelakon begitu juga Diana.
"Saya bagi Diana lampu hijau untuk meneruskan kariernya. Itu adalah bidang yang diceburinya sejak dulu lagi.
"Tetapi, andai kami dikurniakan cahaya mata nanti, mungkin perkara itu akan dibincangkan kemudian,'' jelasnya.
Sementara itu, Zamarul saat diajukan pertanyaan bagaimana reaksi anaknya tentang perkahwina itu, Zamarul pelakon yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) itu berkata, anak sulungnya iaitu Izzat Haiqal, 10, yang dipanggil Aboy cukup rapat dengan Diana.
"Mereka berdua sangat rapat dan berkawan baik. Saya tidak nampak sebarang masalah antara Diana dan Aboy. Anak kedua, Iqmal Haiqal pula tinggal bersama keluarga bekas isteri,'' ujar Zamarul.
Majlis persandingan pihak pengantin perempuan berlangsung pada sebelah malamnya yang berkonsepkan taman di belakang Hotel Concorde, Shah Alam.
Mengenakan busana rekaan Syahril Nordin, kedua-dua mempelai tampak anggun 'bersemayam' di atas pelamin.
Majlis resepsi di pihak lelaki pada 23 Mei ini akan berkonsepkan tradisional masyarakat Johor.
Diana jadi ibu segera
Sementara itu, Diana yang mengusahakan sebuah spa bernama D'Lugano Spa di Shah Alam berkata, sepanjang lapan tahun berkenalan dengan Zamarul, suaminya itu adalah seorang yang bertanggungjawab.
Untuk itu, bagi Diana, dirinya amat mengharapkan sikap Zamarul yang dikenalinya dahulu akan kekal sampai bila-bila.
"Semoga dia tidak berubah dan mampu membimbing Diana ke jalan yang betul.
"Semua orang yang telah berkahwin mengharapkan ia akan berkekalan dan begitu juga Diana," katanya.
Mengenai anak-anak Zamarul pula, Diana memberitahu yang dirinya amat rapat dengan Aboy manakala masih belum berkesempatan menemui Iqmal.
"Saya melihat Aboy sebagai pelengkap hidup saya. Andai ada perbalahan antara saya dan Zamarul, Aboy banyak bertindak sebagai penyambung silaturahim antara kami berdua,'' katanya.
Apa kata anak sulung Zamarul?
Dalam pada itu, meski baru berumur 10 tahun, Aboy tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana memperoleh seorang ibu baru dalam hidupnya.
Mengakui Diana seorang wanita yang baik, Aboy menginginkan untuk mendapat seorang adik perempuan.
"Mama (Diana) selalu bawa Aboy jalan-jalan sekitar Shah Alam. Dia baik,'' jelas murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Jalan Dua, Bandar Baru Bangi ini.
- UTUSAN
my fav artis...