100 pelatih Pusat Serenti Tasek Gelugor merusuh


Sekumpulan 100 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat di sini, merusuh dengan membakar sekurang-kurangnya 11 bangunan termasuk klinik dan pos pengawal, petang semalam.

Sekurang-kurangnya 30 pelatih dipercayai meloloskan diri selepas mencetuskan kebakaran kira-kira jam 6.30 petang, tetapi jumlah sebenar belum diketahui.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata berpuluh-puluh motosikal, van, kereta dan jentolak milik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) turut dibakar.

Mereka juga bertindak agresif dengan berhimpun di pintu masuk utama ketika bomba mahu memasuki pekarangan pusat itu bagi memadam api pada jam 6.40 petang.

Beliau berkata, tindakan mereka seolah-olah mahu menyerang anggota bomba atau mungkin melarikan diri ketika suasana kelam-kabut.

"Kumpulan pelatih itu kemudian mengurung diri di asrama ketika sepasukan polis mula memasuki pekarangan pusat berkenaan jam 7 malam untuk memujuk mereka. Sepanjang proses memujuk selama dua jam, kumpulan pelatih bersikap agresif dengan kerap mencabar dan mengeluarkan perkataan kesat kepada polis.

"Bagaimanapun, mereka bersetuju menyerah diri jam 10 malam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Mengikut rekod, ada 522 pelatih menghuni pusat serenti berkenaan, tetapi polis tidak menyatakan bilangan kakitangan.

Ayub berkata, siasatan awal mendapati segelintir pelatih tidak berpuas hati selepas sebahagian mereka ditempatkan di sel tahanan berikutan positif dadah.

Beliau berkata, ia menyebabkan perasaan tidak puas hati pelatih lain yang dipercayai kemudian membawa kepada rusuhan.

"Kita sudah membuat sekatan jalan raya untuk mengesan mereka," katanya yang mengisytiharkan polis mengambil alih pusat serenti itu.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Ali Osman, mendakwa melihat dua orang dipercayai pelatih menggunakan baju menutup muka membawa bekas dipercayai minyak dan menyiram pada bangunan, manakala seorang lagi mencucuh api.

Jentera bomba dari beberapa balai dan sepasukan polis berada di tempat kejadian bagi memadam api dan kawalan keselamatan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url