Lelaki tertua di dunia meninggal


Manusia tertua di dunia, Tomoji Tanabe, meninggal dunia ketika tidur di rumahnya di selatan Jepun, semalam, kata pegawai bandar mengenai warga negaranya yang berusia 113 tahun.

"Beliau meninggal ketika tidur. Anggota keluarga berada bersamanya," kata Junko Nakao, pegawai bandar Miyakonojo di Kyushu, pulau selatan Jepun. Tanabe menghembuskan nafas terakhir selepas jantungnya tidak berfungsi, katanya.

Tanabe yang dilahirkan pada 18 September 1895, memiliki lapan anak, lima lelaki dan tiga perempuan. Bekas juru ukur tanah itu juga mempunyai 25 cucu, 53 cicit dan enam piut, menurut kenyataan pentadbir Miyakonojo.

Lelaki itu diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai manusia tertua di dunia ketika berusia 111 tahun.

Tanabe tinggal bersama anak lelaki kelima dan menantu. Makanan kegemarannya ialah udang goreng dan sup miso bersama kepah, menurut kenyataan.

Tanabe minum susu setiap pagi dan membaca akhbar. Beliau tidak minum arak dan tidak merokok, lapor kenyataan itu lagi.

Datuk bandar, Makoto Nagamine berkata Tanabe adalah 'simbol Miyakonoko sebagai bandar hayat panjang.'

"Saya amat sedih dengan kematiannya. Kehadiran beliau di sini menggembirakan ramai penduduk," kata Nagamine.

Rakyat Jepun mempunyai jangka hayat paling panjang di dunia iaitu hampir 86 tahun bagi wanita dan 79 tahun bagi lelaki yang biasanya disumbangkan menerusi diet sihat penduduknya yang gemar makan nasi dan ikan.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url