170 ditahan protes kemenangan Mahmoud


Seramai 170 penunjuk perasaan ditahan pihak berkuasa semalam setelah terbabit dalam protes dan rusuhan besar-besaran di sini berikutan kejayaan Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan sebagai presiden Iran untuk penggal empat tahun kedua.

Timbalan ketua polis Teheran, Ahmad Reza Radan yang dipetik agensi berita IRNA berkata, 10 perancang utama rusuhan berkenaan juga ditahan manakala sejumlah lagi akan ditangkap tidak lama lagi.

Teheran menyaksikan protes terbesar sejak pencabar terdekat Mahmoud, Mir Hossein Mousavi kalah dalam pilihan raya pada Jumaat lalu.

Rusuhan berlaku kerana Mahmoud didakwa memutar-belit proses undian sehingga beliau memperoleh 63 peratus undi manakala pemimpin berhaluan sederhana, Mir Hossein hanya memperoleh sekitar 30 peratus.

Berikutan protes tersebut, rangkaian telefon selular utama Iran dipotong manakala akses ke laman web jaringan sosial Facebook turut disekat.

Mahmoud, 52, menganggap kemenangannya sebagai 'kejayaan' dan menggesa para penyokongnya berhimpun di dataran Teheran bagi meraikan peristiwa itu.

"Hari ini, rakyat Iran memberi inspirasi kepada negara-negara lain dan mengecewakan musuh," kata Mahmoud dalam satu ucapan menerusi televisyen semalam.

Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengucapkan tahniah atas kejayaan Mahmoud serta menggesa rakyat Iran kembali bersatu.

Keputusan tersebut sekali gus memusnahkan harapan Barat untuk melihat perubahan di Iran terutama dalam beberapa perkara termasuk isu nuklear dan sentimen anti-Israel.

"Amerika Syarikat enggan mengulas perkembangan di Iran," kata Setiausaha Negara, Hillary Clinton di Washington.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url