6,804 pelatih PLKN terlepas hukuman
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata ini berikutan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008, kelmarin.
Katanya, keputusan itu akan dapat menghapus kebimbangan ibu bapa berikutan bentuk hukuman sedia ada, selain dapat meningkat jati diri dan kesedaran pelatih terhadap masyarakat.
"Ia penambahbaikan terhadap program itu sejak lima tahun pelaksanaan. Tetapi saya tidak pasti bila khidmat masyarakat akan dilaksanakan. Ia perlu dibentang di Dewan Negara terlebih dulu sebelum diwartakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran pergerakan pelatih Kumpulan 3 siri 6/2009 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) di sini, semalam.
Seramai 62,022 pelatih dari kumpulan itu mendaftar diri untuk menyertai latihan selama tiga bulan di 83 kem seluruh negara, kelmarin dan semalam.
Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan cadangan pindaan rang undang-undang itu bagi menghapus hukuman penjara dan denda terhadap pelatih yang ingkar dan diganti dengan khidmat masyarakat.
Peruntukan undang-undang sebelum ini menyatakan pelatih yang ingkar boleh dipenjara maksimum enam tahun atau denda sehingga RM3,000, jika sabit kesalahan.
Abdul Hadi berkata, mereka yang ingkar dan selesai menjalani hukuman itu tidak diberi sebarang pengecualian, sebaliknya perlu menghadiri program berkenaan.
"Tiada pengecualian," katanya yang menyifatkan perbahasan di Dewan Rakyat selama dua hari berkaitan cadangan pindaan itu sebagai positif dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 62,225 pelatih yang meminta penangguhan tidak dikenakan hukuman itu, sebaliknya bakal mengikutinya pada masa depan.
- BERITA HARIAN