Nizar dakwa menjerit reaksi spontan
Bagaimanapun, Mohammad Nizar berkata, ia adalah peluang keemasan kepadanya meluahkan perasaan dirinya serta rakyat Perak berhubung krisis politik yang melanda negeri itu.
"Ia adalah spontan yang membawa kepada keputusan cukup luar biasa. Saya percaya apa yang saya buat adalah apa yang patut dibuat.
"Anda sebagai insan mesti ada perasaan ketika mengangkat sumpah, tapi hati anda berasa lain. Mana boleh begitu, apa yang saya percaya dalam hati itu perlu seiring dan bersama.
"Jadi, saya ambil reaksi sebagai sesuatu yang spontan, bukan sesuatu dirancang... satu peluang keemasan. Sekarang ini pun, kita tengok orang yang merampas hak rakyat di Perak pun tak ada hari ini (semalam)," katanya pada sedang media di lobi Parlimen di sini, semalam.
Ditanya tindakannya yang seolah-olah membawa budaya samseng di Dewan Rakyat, Mohammad Nizar menjelaskan yang beliau hanya melakukannya demi rakyat Perak dan mempertahankan Perlembagaan.
Beliau juga mendakwa Barisan Nasional (BN) jauh lebih samseng antaranya, termasuk mengasari bekas Speaker Perak, V Sivakumar sehingga mengundang kekecohan di Dewan Undangan Negeri Perak.
"Saya nak bagi tahu, sebelum ini ramai ahli Parlimen BN jauh lebih samseng, saya menyebut hanya bubar DUN, hidup rakyat. Jika saya sebut perkataan sama di jalanan di Ipoh, saya digari, itulah peluang keemasan untuk saya kerana semua menteri ada di sana (Dewan Rakyat), jadi saya ambil kesempatan itu.
"Di Perak, Speaker dibawa keluar guna polis, simpan dalam stor... itu jauh lagi samseng. Polis datang tekan kami, tarik rambut kami, pijak kami, bawa pistol... itu tak samseng," katanya.
- BERITA HARIAN