Hamas-Fatah bertempur

Ketegangan antara dua puak utama Palestin memuncak hari ini selepas satu operasi untuk menangkap seorang ketua pergerakan Hamas di Tebing Barat mencetuskan kejadian tembak-menembak yang mengakibatkan enam orang terbunuh.

Hamas yang memerintah Genting Gaza memberi amaran bahawa dengan menjalankan operasi tersebut yang membunuh seorang pejuang kanannya, Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmud Abbas telah melintasi 'garisan merah'.

Pertempuran bersenjata itu tercetus apabila polis yang setia kepada Abbas cuba menangkap komander sayap bersenjata Hamas di utara Tebing Barat, Mohammed al-Samman yang juga dikehendaki oleh Israel.

Samman bertahan di dalam rumahnya di pekan Qalqiliya bersama-sama seorang lagi pejuang Hamas, Mohamed Yassin dan enggan keluar apabila diarah, kata polis.

Insiden berbalas-balas tembakan yang menyusul kemudian menyebabkan kedua-dua anggota Hamas, tiga anggota polis Palestin dan seorang penduduk awam terbunuh.

Hamas yang sudah lama berbalah dengan Fatah sejak pergerakan berhaluan Islam itu merampas kuasa di Gaza pada 2007, membidas Fatah berhubung insiden itu.

"Hamas menganggap Abbas dan pasukan keselamatannya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah jelik itu," menurut satu kenyataan Hamas yang dikeluarkan di Gaza.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhum pula berkata, rundingan perdamaian antara kedua-dua puak itu tidak mungkin disambung semula berikutan 'tindakan pasukan keselamatan Abu Mazen (Abbas) dan Fatah memperhebatkan operasi ke atas Hamas dan para pemimpinnya di Tebing Barat'.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url