Buku - Komedi & Tragedi Politik Mutakhir Malaysia


udul: Komedi & Tragedi Politik Mutakhir Malaysia
Penulis: A. Kadir Jasin
Penerbit: Berita Publishing Sdn. Bhd.
ISBN: 978-967-969-591-5
Harga: RM25
Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Kadar penembusan atau akses yang tinggi di kalangan rakyat negara ini kepada dunia siber atau Internet melakar satu rekod dunia buat negara.

Ketika ini, Malaysia merupakan antara negara yang memiliki pengendali laman sesawang (blog) tertinggi di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.

Dianggarkan terdapat kira-kira 500,000 laman blog yang aktif di negara ini dan dikendalikan oleh pelbagai pihak atas tujuan yang juga pelbagai.

Kerana itu juga, bukan rahsia lagi blog-blog ini memainkan peranan yang sangat penting sebagai penyebar maklumat dan pemikiran di kalangan rakyat terutamanya membabitkan isu-isu politik.

Umumnya budaya blog di negara ini mula dikesan sekitar 2000, iaitu ketika Internet boleh dicapai dengan mudah oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya di bandar-bandar besar.

Bagaimanapun blog semakin didekati dalam tempoh dua tahun kebelakangan, atau lebih tepat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu pada 8 Mac 2008.

Blog dikatakan menjadi jentera berkempen paling berpengaruh dan lebih banyak dicapai berbanding medium komunikasi arus perdana.

Kerana besarnya peranan blog, PRU12 turut disimpulkan sebagai demokrasi digital oleh beberapa pemerhati politik.

Pandangan itu mengambil kira corak perkongsian dan penyampaian maklumat yang lebih terbuka, cepat dan pantas dalam era baru yang serba moden ini.

Disebabkan lambakan laman sesawang itu juga, agak sukar untuk pengguna Internet membezakan kesahihan fakta yang dibentangkan.

Pelbagai versi cerita, pendapat dan buah fikiran berlegar-legar di ruang maya dan boleh pula diakses semudah satu butang “klik” yang tidak sampai satu saat.

Memandangkan sifat blog itu adalah berbentuk interaktif, pandangan itu pula boleh dikongsi oleh pelayan blog lain dengan variasi cerita tersendiri.

Penambahan dan penokokan cerita dalam blog inilah menyebabkan timbulnya pelbagai fitnah dan tuduhan sehingga ada yang mengaibkan individu tertentu.

Namun dalam keghairahan melontar idea dan berkongsi cerita di laman maya, penulis blog sebenarnya tidak bebas daripada tindakan undang-undang terutamanya yang berkaitan dengan hasutan atau fitnah. Ia dapat disaksikan apabila ramai penulis blog diheret ke mahkamah kerana kesalahan itu.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan kredibiliti penulis blog terutamanya berkaitan isu-isu politik semakin terhakis.

Malah pelayan Internet juga lebih berhati-hati dalam memilih sumber maklumat menerusi blog dengan beralih kepada individu dengan nama yang diyakini dan lebih berkredibiliti.

Antaranya blog The Scribe milik Datuk A. Kadir Jasin yang dibangunkan sejak Februari 2006.

Dalam dunia kewartawanan akhbar, nama A. Kadir Jasin bukanlah asing.

Beliau kini merupakan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd. selain pernah menyandang jawatan penting dalam penerbitan akhbar.

Antaranya sebagai bekas Editor Kumpulan NST Sdn. Bhd. dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Time Press (NSTP) Bhd. dari 1988 hingga 2000.

Mula berkecimpung dalam dunia penulisan lewat tahun 60-an, A. Kadir tidak hanya merupakan seorang penulis.

Beliau sebaliknya lebih kepada seorang pemikir, pengkritik dan penganalisis dengan mata pena dan mata fikiran yang tajam.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001) dan The Wings of an Eagle (2003).

Buku lain termasuk Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008 – Rakyat Sahut Cabaran (2008) dan Membangun Bangsa dengan Pena (2009).

Menerusi blognya, A. Kadir berkongsi idea dan pandangan mengenai pelbagai isu, namun lebih menjurus kepada perkembangan politik dan isu semasa.

Menariknya, meskipun merupakan seorang wartawan akhbar arus perdana yang sering dikaitkan dengan kerajaan, namun sebagai penulis blog, A. Kadir tidak pernah menunjukkan pendirian yang berpihak.

Sebarang kepincangan dan kontroversi dalam pelbagai isu, disorot oleh beliau menerusi sudut pandangan dan kritikan yang bernas serta berasas.

Prinsip keberanian dan kejujuran dalam setiap lontaran idea itu juga membolehkan beliau mengumpul pengikut yang ramai menerusi blog beliau.

Buku Komedi & Tragedi Politik Mutakhir Malaysia ini misalnya, memberikan gambaran sebenar siapakah A. Kadir Jasin dalam komuniti bloggers negara.

Buku ini adalah koleksi kedua yang memuatkan himpunan rencana seperti yang pernah tersiar di laman blog beliau di www.kadirjasin.blogspot.com atau www.akadirjasin.com.

Kebanyakan rencana yang dipilih menyentuh mengenai kemelut politik selepas PRU12 terutamanya yang menyumbang ke arah lunturnya pengaruh dan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagaimana di dalam blog beliau, rencana di dalam buku ini juga mengekalkan tradisi dwi bahasa iaitu ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, artikel bahasa Inggeris itu bukanlah terjemahan, sebaliknya merupakan rencana asal.

Kerana itu juga, buku setebal 323 muka surat ini didatangkan dengan dua muka depan iaitu untuk bahasa Melayu dan Inggeris.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url