Kerajaan bimbang berlaku gelombang kedua H1N1

Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua jangkitan Influenza A (H1N1), yang lebih teruk dan berbahaya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata jika gelombang kedua itu berlaku, situasi wabak berkenaan mungkin tidak akan dapat dikawal.

"Pandemik H1N1 ketika ini boleh dianggap sebagai tempoh untuk semua negara melihat keupayaan, persiapan dan sumber mereka dalam menghadapi pandemik yang lebih besar," katanya ketika berinteraksi secara langsung dengan pengunjung laman web New Straits Times (NST) Online di Balai Berita, di sini, semalam.

Dr Ismail juga tidak menolak kemungkinan berlakunya jangkitan tempatan H1N1 di negara ini jika jumlah kes import penyakit itu terus meningkat.

"Apabila ini berlaku (jangkitan tempatan), langkah lebih ketat akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal mengenai wabak itu yang dipengerusikan beliau akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan langkah yang lebih ketat dalam menangani wabak berkenaan.

Sementara itu, dalam satu satu kenyataan, beliau berkata, satu lagi kes positif H1N1 dikesan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 18 kes direkodkan di negara ini.

Beliau berkata, kes ke-18 itu membabitkan seorang warga negara Filipina yang bekerja sebagai kelasi dengan kapal Malaysia, berpangkalan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Katanya, lelaki terbabit datang ke Malaysia dari Manila melalui penerbangan MH 705 dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun 2009, jam 4.50 petang.

"Beliau dikesan dan disahkan demam ketika saringan di KLIA di samping batuk. Beliau dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan menghidap H1N1 pada 15 Jun 2009 jam 4.08 petang," katanya sambil menambah pihaknya kini sedang mengesan semua penumpang dan krew penerbangan terbabit.

Beliau meminta penumpang, anak kapal dan kontak kepada mana-mana kes H1N1 untuk menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk tindakan lanjut.

Selain itu, beliau mengulangi nasihat kepada orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika betul-betul tidak dapat dielakkan.

"Perjalanan ke luar negara yang dilanda wabak boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan H1N1, sama ada ketika berada di negara berkenaan atau pun ketika dalam pesawat," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url