Komputer hijau


Dalam keadaan ekonomi yang suram di seluruh dunia, ramai mengambil pendekatan berjimat cermat apatah lagi dalam segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Jika anda termasuk dalam golongan ini, lebih baik agar bersikap lebih terbuka kerana hakikat ICT antara satu kaedah yang membolehkan kita maju dan berdaya saing walaupun dalam keadaan ekonomi semasa meleset.

Gaya hidup moden masa kini terus menghambat kita untuk turut serta menggunakan komputer sama ada untuk bekerja, bermain dan berhibur, malah kebanyakan masyarakat Malaysia tidak terlepas daripada tempias ICT.

Ia mungkin daripada telefon bimbit, radio atau televisyen.

Kehendak dan keperluan masyarakat dunia perlu dipenuhi, namun isu perubahan iklim juga mesti diambil kira untuk memastikan pelbagai teknologi yang mampu memudahkan manusia sejagat itu tidak memusnahkan alam sekitar dengan pengeluaran gas karbon dioksida dan sisa buangan elektronik berlebihan.

Selain teknologi, reka bentuk dan bahan yang digunakan antara unsur penting dalam pembikinan sistem perkomputeran baru terutamanya komputer peribadi desktop dan laptop.

Hewlett-Packard atau HP adalah nama pengeluar dan jenama terkemuka di dunia dalam arena perkomputeran.

Bertindak ke atas permintaan pengguna hari ini untuk pengalaman perkomputeran yang menggabungkan keupayaan multimedia terhebat dengan reka bentuk kefungsian, HP menyediakan kepelbagaian inovasi untuk nilai yang tiada bandingan serta pilihan terbaik sesuai dengan setiap isi rumah dan pejabat digital.

Naib Presiden dan Pengurus Besar, Unit Sistem Desktop, HP Asia Pasifik dan Jepun, Dennis Mark, berkata nilai dalam persekitaran semasa memerlukan makna sebenar dalam kehidupan pengguna optimistik hari ini.

"Mereka inginkan standard yang lebih tinggi untuk mendapatkan pengalaman hiburan digital dan pelbagai pilihan lain untuk meningkatkan keperluan perkomputeran serta hiburan di sekitar tempat tinggal mereka.

"HP memahami situasi perubahan dinamik itu lalu memperkenalkan beberapa komputer peribadi (PC) desktop yang pasti mampu memenuhi pelbagai keperluan dan keinginan itu," katanya.

Reka bentuk baru PC yang diperkenalkan untuk tahun ini termasuk Compaq Presario CQ3000, HP Pavilion Slimline s5000 dan HP Pavilion Elite e9000 serta HP Compaq dx2810 Edisi Khas.

Menurut Dennis, HP Compaq dx2810 Edisi Khas dikategorikan sebagai PC 'hijau' kerana menjimatkan tenaga sehingga 90 peratus dan komponennya boleh dikitar semula.

"Untuk menghargai alam maya ini, HP turut bertanggungjawab dengan memberi 10 peratus daripada setiap harga jualan PC HP Compaq dx2810 Edisi Khas ini kepada Tabung Hidupan Liar (WWF) khusus untuk pemuliharaan hidupan marin Coral Triangle di lautan Indo-Pasifik," katanya.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Sistem Peribadi, HP Asia Pasifik dan Jepun, See Chin Teik, berkata HP menyedari peningkatan kaitan aplikasi-aplikasi Web 2.0 dan sensitiviti terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, peningkatan gaya hidup digital dan segmentasi mikro pelanggan serta keperluan mereka tidak akan ditangani dengan hanya sebuah peranti berbilang fungsi, namun banyak lagi peranti berbilang fungsi seperti yang dijangka pengguna akan memenuhi keperluan dan senario penggunaan.

"Trend penggunaan PC di Malaysia ialah audio, video, digital media, kapasiti besar, prestasi tinggi, mudah digunakan dan kos rendah.

"Oleh itu, HP sentiasa mengimbas persekitaran dan mengkaji pasaran selain mengamalkan strategi tidak akan membuat pengguna tahu mengenai apa komponen yang kita gunakan, sebaliknya memenuhi keperluan mereka menerusi peranti yang ditawarkan," katanya di pelancaran pelbagai produk PC di Beijing, baru-baru ini.

HP memperkenalkan pelbagai produk perkomputeran sesuai dengan semua kategori penggunaan termasuk HP Mini 110, PC desktop All-In-One HP Pavilion MS 200, HP t5730w Thin Client, HP Probook, stesen kerja HP siri Z800 dan Z600, beberapa monitor LCD serta teknologi Skyroom untuk rumusan telepersidangan masa nyata menggunakan desktop.

Menurutnya, walaupun pasaran PC desktop menguncup, pasaran PC semua dalam satu kian menjadi tarikan terutama di Malaysia yang dilihat ke arah pemilikan PC jenis itu.

"Menerusi PC semua dalam satu (AIO), HP membawa pengalaman desktop di dalam kategori notebook. Kami menawarkan rumusan yang disasarkan untuk membawa pengalaman baru yang menggabungkan reka bentuk terbaik dengan kefungsian yang mudah digunakan dan menarik penggunaan," katanya.

Bercakap mengena reka bentuk, Pengarah Pusat Reka Bentuk PC Desktop, Kumpulan Sistem Peribadi, Produk Perniagaan dan Konsumer, HP, Randall Martin berkata dengan situasi ekonomi dunia yang dialami hari ini mengkehendaki umum lebih berhati-hati apabila mengeluarkan belanja.

Menurutnya, inilah masanya kita memilih produk perkomputeran terutama PC atau notebook yang betul, inovasi yang betul, reka bentuk yang betul dan prestasi yang betul, malah semua itu mesti memenuhi kehendak serta keperluan dan yang penting ia mampu dimiliki.

"Maka HP tampil dengan pelbagai produk baru ini yang memiliki semua ciri serta kefungsian ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki. Misalnya notebook yang ke arah fesyen selain teknologi, begitu juga dengan PC yang selama ini memang mementing reka bentuk," katanya.

Beliau berkata, sensitiviti kepada alam sekitar juga amat diutamakan ketika ini, malah HP sememangnya amat menyokong pembangunan produk hijau sejak dari awal.

"Kami membawa bersama rakan niaga untuk turut serta supaya produk yang dihasilkan benar-benar hijau sebagaimana desktop dx2810 yang baru diperkenalkan memiliki peratus kitar semula yang tinggi iaitu sehingga 90 peratus.

"Produk itu menjimatkan tenaga sehingga 85 peratus, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara," katanya.

Menurut Randall, HP turut mengajak pakar pembungkusan untuk memikirkan kaedah paling baik serta bahan pembungkusan yang digunakan.

HP yang memiliki tiga studio reka bentuk untuk produk komersial dikatakan akan terus melabur walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu kerana ia tidak berkesan ke atas bidang reka bentuk.

"Apa yang penting ialah, kita akan membawa nilai produk kepada pengguna," katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
1 Comments
  • SAYA
    SAYA Khamis, 18 Jun 2009 pada 8:07:00 PTG SGT

    apa nie????????? tiru blat blat dr metro!

Add Comment
comment url