Komentar - Rombak pembelajaran pendidikan Islam

Oleh ANUAR AHMAD
Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Islam berkembang di negara ini sejak lebih 700 tahun lalu. Islam berkembang daripada tauhid dan ibadah hinggalah meliputi aspek perundangan, ekonomi, politik dan budaya hidup.

Kemuncak kepada peneguhan ajaran Islam di negara ini ialah apabila Islam diisytiharkan sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Oleh itu, segala dasar dan perancangan membangunkan negara sentiasa dilandaskan kepada ajaran Islam sebagai garis panduan.

Maka Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan dibentuk berteraskan kepada konsep kehidupan yang disyariatkan dalam Islam.

Selari dengan ajaran Islam sebagai cara hidup, anak-anak masyarakat Melayu khasnya mula didedahkan kepada pendidikan Islam sejak awal usia. Pendidikan Islam sering mendapat cabaran daripada pelbagai pihak namun atas usaha dan perjuangan para pemerintah Melayu dan para ulama, Islam terus berkembang dan menjadi identiti kepada orang Melayu di negara ini.

Jika dahulu perkembangan Islam mendapat tentangan daripada penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris, kini walaupun sudah merdeka pengaruh kuat kolonial masih tidak banyak mengubah persepsi dan minda masyarakat negara ini.

Rakyat negara ini telah dibentuk untuk mempercayai bahawa budaya Barat itu moden dan "moden itu adalah kemajuan atau pembangunan". Maka menerima unsur dan nilai budaya masyarakat Barat bermakna kita sedang menerima pemodenan dan kualiti hidup.

Sehingga kini sangat sukar untuk generasi muda menerima bahawa ada nilai serta budaya hidup lain selain budaya masyarakat Barat.

Hari ini pendidikan Islam sedang menerima cabaran baru serba hebat sekali. Kajian mendapati kebanyakan pelajar melihat pendidikan agama Islam hanyalah sebagai satu daripada mata pelajaran untuk peperiksaan. Pendidikan agama Islam diletakkan sama tarafnya dengan pendidikan lain seperti matematik, ekonomi atau sains.

Pendidikan Islam tidak lagi diterima sebagai ilmu asas untuk memahami mengapa seseorang insan dicipta dan dilahirkan ke dunia ini. Pendidikan Islam menjadi semakin sempit maksudnya sama ada daripada segi definisi dan juga ruang lingkup pembelajarannya.

Tentulah ini berlaku kerana sesetengah perancang kurikulum sendiri mungkin turut tertutup 'mata hati' apabila hanya melihat pendidikan Islam sebagai satu subjek sekolah semata-mata. Malang sekali nasib pendidikan Islam di negara ini.

Penulis kebetulan ke Johor Baru baru-baru ini atas urusan rasmi dan berpeluang meninjau kegiatan remaja di Pantai Lido hingga ke Danga Bay selepa disarankan oleh seorang rakan.

Kami menyusur perlahan dengan kereta sepanjang Pantai Lido bermula dari Jalan Stulang Laut. Benar seperti kata kawan penulis, walaupun jam sudah pukul 1 pagi, masih ramai muda-mudi Melayu - yang kita pasti beragama Islam - melepak di situ.

Mereka berpakaian agak keterlaluan. Kumpulan remaja itu kebanyakannya dalam lingkungan umur belasan tahun dan kelihatan bercampur bebas antara lelaki dan perempuan.

Sesekali terdengar jeritan maki-hamun sesama mereka sebagai tanda "kasih sayang" antara kawan. Melihat tindak tanduk mereka, andaian awal kebiasaannya ialah "mereka merupakan pelajar yang terpinggir atau tercicir persekolahan".

Pakar-pakar pendidikan umumnya bersetuju bahawa bagi setiap kumpulan pelajar di sesebuah negara, biasanya akan terdapat 5 hingga 10 peratus pelajarnya akan tercicir dan gagal dalam persekolahan mereka.

Maka jika kita mempunyai lima juta pelajar di seluruh negara masa kini, andaian itu akan meliputi lebih kurang 500,000 pelajar termasuk dalam kumpulan "tertinggal, tercicir atau gagal" itu.

Adalah sangat membazir jika sumber manusia seramai itu dibiarkan begitu sahaja. Malah tidak mustahil jika tiada usaha untuk membetulkan kehidupan mereka. Kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk menguruskan pemulihan jika kumpulan itu terlibat dalam penagihan dadah, pelacuran dan gejala sosial.

Jelas banyak yang tidak kena dengan pengamalan pengajaran dan pembelajaran pendidikan agama Islam di dalam sistem pendidikan negara ini.

Kurikulum yang dirangka menunjukkan kesepaduan antara ibadah, tauhid, fiqah, sejarah dan pengajian al-Quran serta ditambah lagi dengan program J-QAF dan KAFA. Namun pedagogi pendidikan Islam tidak banyak berubah sejak sekian lama.

R.O Winstead ialah seorang pegawai British yang kemudiannya dilantik menjadi Pesuruhjaya Pendidikan Malaya pada 1923. Semasa melawat sekolah-sekolah Melayu yang melaksanakan pendidikan Islam, beliau pernah merekodkan bahawa anak-anak Melayu yang belajar di dalam kelas agama biasanya diminta menghafal ayat-ayat al-Quran tanpa perlu tahu dan faham makna ayat-ayat tersebut.

Kata Winstead, mereka menghafal sahaja dan sebenarnya buta huruf kerana tidak belajar dan memahami bahasa Arab.

Amalan penghafalan ini juga berkembang bukan sahaja dalam pengajian bacaan al-Quran tetapi juga melibatkan pendidikan hukum Islam berkaitan kehidupan.

Walaupun menghafal adalah sesuatu konsep pendidikan yang baik tetapi secara kognitifnya penghafalan tidak mengembangkan pemikiran logik dan kritikal.

Oleh itu, apabila seseorang pelajar berdepan dengan situasi baru, ilmu hafalan tidak banyak membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Maka ilmu logik serta kritis juga perlu dibangunkan di dalam diri pelajar melalui pendidikan Islam.

Begitu juga amalan pengajaran pendidikan Islam yang disampaikan kepada pelajar hari ini. Ia lebih menjurus kepada peperiksaan dan meminggirkan kepentingan memahami agama Islam untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Sama ada percaya atau tidak, sekarang individu remaja Melayu Islam akan merasa kurang senang apabila dinasihat berkaitan agama.

Misalnya nasihat supaya jangan meninggalkan solat lima waktu atau pun supaya menutup aurat. Ia dianggap terlalu peribadi dan tidak layak disentuh oleh orang lain. Malah ada di antaranya yang cuba menjauhkan diri apabila ditegur atau dinasihati untuk kali kedua dan seterusnya.

Pemikiran bahawa agama adalah urusan peribadi juga akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Asas kepada masalah ini adalah kurangnya penekanan kepada pengajaran untuk membina kepercayaan kepada Tuhan yang Esa. Memang jika ditanya kepada orang Melayu yang diketahui tidak bersolat, berzina atau minum arak adakah mereka Islam? Maka jawapannya: "Saya orang Islam."

Malangnya Islam seseorang itu hanya pada mulut sedangkan hatinya "meragui" keesaan Allah. Kalau mereka masih percaya dengan keesaan Tuhan, masakan mereka sanggup untuk mengingkari perintah-Nya dan terus melakukan larangan Allah. Maka, soal tauhid ini sangat penting dimulakan sejak di sekolah rendah lagi.

Hari ini guru-guru agama atau boleh disebut "ustaz dan ustazah" sekadar menumpukan kepada pendidikan Islam atas tujuan peperiksaan. Sama ada mereka sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku.

Di sebalik kandungan kurikulum yang agak luas dan sukar dihabiskan sebelum hujung tahun, pendidikan Islam juga lebih cenderung mengemukakan penilaian di dalam peperiksaan berbentuk penilaian kognitif, tidak menganjurkan pemikiran meta kognitif apatah lagi tahap kognitif epidemik. Maksud peta kognitif ialah pendidikan Islam yang menumpukan kepada pemikiran "mengapa sesuatu perlakuan itu betul atau salah?''

Sementara pemikiran kognitif epidemik pula menumpukan kepada persoalan jika telah diketahui dan difahami bahawa sesuatu perlakuan itu, maka bagaimana untuk memastikan nilai betul tersebut dikekalkan? Begitu juga jika telah diketahui bahawa sesuatu tindakan itu salah bagaimana perbuatan salah itu perlu dihentikan sama sekali.

Tidak cukup dengan hanya memberitahu pelajar tentang dosa besar serta pembalasan kepada penzina di akhirat. Pengajar juga perlu menjelaskan kesan buruk zina sejak di dunia lagi. Selain mendatangkan penyakit kelamin yang berjangkit akibat perbuatan zina, kewujudan anak-anak luar nikah juga perlu dijelaskan kepada pelajar.

Maka ilmu pendidikan Islam tidak hanya terhad kepada pendidikan dosa dan pahala tetapi juga merangkumi kefahaman biologi manusia serta sains pembiakan manusia. Begitu juga dengan pendidikan kesihatan dan seksual manusia.

Begitu juga apabila pelajar belajar konsep riba dan judi dalam Islam. Tidak cukup dengan menjelaskan bahawa hukuman kepada pemakan riba di akhirat nanti ialah "menelan bara api" sahaja. Pembalasan yang berat ini memang perlu untuk tujuan pendidikan akhirat.

Namun pelajar juga harus difahamkan mengapa riba diharamkan. Selain masalah penindasan disebabkan oleh riba, ekonomi negara juga boleh menjadi tidak stabil akibat spekulasi untuk mendapat untung hasil riba dan ramalan seperti perjudian dan loteri.

Banyak lagi perkara yang melibatkan pendidikan Islam yang perlu dikaji semula. Malah sistem persekolahan berasasakan pendidikan Islam yang tidak selaras juga banyak menimbulkan isu kepada masyarakat.

Kita mempunyai sekurang-kurangnya lima jenis sekolah yang mendidik ilmu Islam kepada pelajar. Selain sekolah agama persekutuan, setiap negeri juga mempunyai sekolah agama negeri. Selain itu terdapat juga sekolah agama rakyat yang sebahagiannya dibiayai oleh kerajaan negeri. Terdapat juga sekolah agama persendirian. Begitu juga sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang masih beroperasi di beberapa buah negeri.

Mengapa kita perlu ada begitu banyak aliran sekolah untuk mengajarkan pendidikan Islam? Jika pendidikan Islam itu sangat penting dan asas kepada semua pelajar Islam, ada baik semua sekolah ini diselaraskan di bawah satu nama atau satu bumbung sahaja.

Selain kualiti guru serta peruntukan yang lebih berkesan, penyelarasan sekolah-sekolah ini juga akan membantu kerajaan memantau perkembangan para pelajar secara terus dan terancang.

Konsep dan pemahaman tentang pendidikan Islam harus berubah jika ingin menjadikan pendidikan Islam lebih daripada sekadar mata pelajaran untuk tujuan penilaian dalam peperiksaan semata-mata.

Cara pengajaran serta tugasan guru juga harus dikaji semula jika kita ingin melihat pelajar menerima pengajaran pendidikan Islam sebagai sesuatu yang penting dan perlu di di dunia dan akhirat.

Maka, walau bagaimana murni dan syumul agama Islam ini, jika sistem pendidikannya gagal mengaturkan rancangan dan strategi terbaik dalam menyampaikan ajarannya di bilik darjah, lama-kelamaan pelajar yang masih mentah ini akan mengambil mudah pendekatan "Islam sebagai cara hidup".
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url