Kos tadbir PTPTN masih membebankan peminjam
Ironinya, penyata itu masih belum mengambil kira penurunan kos pentadbiran tiga peratus kepada satu peratus, iaitu kos pentadbiran yang dikenakan berdasarkan perjanjian asal yang ditandatangani peminjam.
Agaknya pihak berkenaan di PTPTN belum lagi menerima arahan mengenai tarikh sebenarnya hendak menurunkan kos berkenaan. Yang menanggung derita peminjam, rata-rata menghadapi masalah kewangan dalam kemelut ekonomi sekarang, kerana terpaksa menanggung kos tadbir yang amat tinggi itu.
Sebagai contoh, ada peminjam yang menjelaskan pinjaman RM2,526.30 sepanjang 2008 tetapi hanya dikira RM849.64 saja sebagai kredit, sedangkan bakinya RM1,676.66 dianggap sebagai kos tadbir urus, diserapkan sebagai debit, menurut kadar RM140 tiap-tiap bulan. Soalnya, untuk maksud apa kos tadbir sebanyak ini perlu dikenakan saban bulan? Jika begini keadaannya berterusan, sampai bila pun jumlah pinjaman tidak akan 'luak-luak'.
Masyarakat tradisi Melayu memperkenal dan melaksanakan beberapa sistem seperti gadaian, sewa-beli, pawah, jual janji, ceti, dan sekarang along yang begitu mencengkam kehidupan masyarakat zaman berzaman. Apa pun namanya, sistem berkenaan pada ajaran Islam dianggap sebagai riba.
Sesuatu yang berbau bunga dianggap riba dan haram pada sisi Islam. Ringkasnya semua jenis pinjaman dikenakan bunga adalah riba, dalam istilah Fiqhnya disebut 'Riba Al-Nasi'ah', dilarang al-Quran dan Sunnah.
Jika peminjam PTPTN adalah untuk rakyat, dan objektif kerajaan ialah 'rakyat diutamakan', maka kos tadbir pinjaman pendidikan perlu dikurangkan kepada satu peratus atau dihapuskan terus dengan kadar serta-merta.
Justeru, yang baru mendaftar sebagai pelajar IPT sekarang perlu berfikir panjang sebelum memohon pinjaman agar hidup tidak dibelit hutang puluhan tahun sesudah tamat pengajian. Pegang prinsip 'Hidup bahagia tanpa hutang', biarpun terpaksa menjerut perut ketika belajar.
Sejak dulu lagi, saya mencadangkan PTPTN bukan saja perlu diuruskan golongan profesional, tetapi individu yang benar-benar berdedikasi kepada tugas, hatta bijak membuat unjuran masa depan secara tepat dan proaktif.
DR ILLIAS ZAIDI,
Kuala Lumpur.
- FORUM BERITA HARIAN
Menarik! Sy amek info ni ye..=)
memang pun..bayar tiap2 bulan pun tak abis2 jgk..cekik darah jer..
jadi apa tindakan yang boleh diambil?