Kreativiti si pengedar dadah

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

Pengedaran dadah sememangnya merupakan aktiviti yang paling mendapat perhatian ramai. Kegiatan ini akan sentiasa dipantau oleh bukan sahaja pihak berkuasa tetapi turut menarik perhatian masyarakat umum, pemimpin politik malahan mereka yang terlibat dalam penagihan dan sindiket sebegini bersesuaian dengan tanggapan bahawa ia merupakan musuh nombor satu di kebanyakan negara.

Bagaimana ketat pun usaha menghapuskan penyeludupan dadah ini ia masih tetap berleluasa sehingga memeningkan kepala pelbagai pihak terutama pihak berkuasa.

Dadah sememangnya menjanjikan hasil yang lumayan kepada mereka yang bodoh untuk menanggung akibatnya tetapi apalah gunanya kekayaan dan kemewahan jika ia menggadaikan nasib dan masa depan rakyat dan masyarakat terutamanya anak-anak kecil.

Itu belum mengambil kira kehidupan para pengedar dadah itu sendiri yang terpaksa bersembunyi dan tidak bebas menikmati kehidupan seperti orang lain.

Mereka hanya dikagumi dan dihormati oleh kelompok mereka sendiri dan hanya hidup dalam dunia tersendiri. Hakikatnya dalam realiti sebenar masyarakat sangat membenci mereka ini malahan pihak berkuasa tidak akan berhenti dari cuba menumpaskan mereka dengan apa cara sekali pun.

Atas desakan inilah maka para penyeludup ini semakin berani bertindak di luar kebiasaan. Kini pelbagai teknik yang lebih canggih termasuklah menggunakan kapal selam.

Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya, iaitu melalui kapal selam.

Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka.

Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini.

Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar.

Kapal selam yang menggunakan diesel sebagai bahan bakar ini sememangnya telah digunakan secara kerap bagi aktiviti penyeludupan ke Amerika Tengah dan Mexico untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

Tempoh

Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain.

Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa.

Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan berupaya membawa empat atau lima anak kapal dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam.

Kebanyakan kapal selam ini hanya sepanjang 50 kaki dan dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup ini dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah.

Mengeksport

Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik.

Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara.

Badan kapal selam dicat dengan warna biru sama dengan warna air laut dan di bawa ke lautan melalui sungai ketika air pasang.

Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS.

Setakat ini lebih lapan dari kapal selam ini berjaya dikesan di perairan Pasifik dan satu di Caribbean.

Badan kapal selam ini turut dilengkapi dengan panel utama dan tangki air bagi memudahkan ia menyelam.

Pihak berkuasa Colombia juga bimbang kemungkinan satu hari nanti penyeludup berjaya membina sebuah kapal selam yang berupaya menyelam lebih dalam serta mampu dikemudi lebih senyap berbanding kapal selam mini ini.

Dalam pada itu, Cely memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam ini yang lebih mudah di kesan sebagai langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah.

"Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

"Namun kami sedang berusaha untuk mendahului mereka dalam perkara ini," kata Naib Admiral, Edgar Cely yang mengetuai misi ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url