Manek Urai ujian pertama kepemimpinan Tok Pa, Dr Awang

Oleh NIK YAHYA ABD RAHMAN

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa menegaskan bahawa pihaknya akan melantik bapa angkat bagi menjaga setiap peti undi pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak lama lagi.

Sembilan peti undi berkenaan adalah Temalir, Peria, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.

Parlimen Kuala Krai mempunyai empat kerusi DUN - Guchil, Manek Urai, Dabong dan Mengkebang, semuanya disandang wakil Pas sejak selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Sebelum itu, semua kerusi terbabit dikuasai Barisan Nasional (BN).

Kehilangan empat kerusi DUN itu menyumbang kekalahan Kelantan di tangan Pas. Malah kekalahan BN berikutan tsunami politik negara itu menjadikan Manek Urai berada dalam keadaan 'serupa sekalo' (tidak berubah). Pembangunan jauh sekali, kalaupun ada lapan sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di DUN berkenaan bukan hasil kerja Pas. Semuanya kerana perjuangan Umno untuk membela masyarakat desa dan pedalaman yang serba serbi kekurangan.

DUN Manek Urai pernah dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-11 melalui Ketua Pemuda Umno ketika itu, Mohamed Zulkepli Omar dengan kelebihan 53 undi. Zulkepli ditentang wakil Pas Mohd Zamzuri Mat Lazim.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari Pas meninggal dunia kerana komplikasi jantung pada 22 Mei lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.

Ismail atau Pak Su Wil memenangi kerusi berkenaan sebanyak lima kali. Bagaimanapun, pada 2004, Ismail tidak bertanding dan kerusi Manek Urai tergolek di kaki Umno.

BN Kelantan masak benar dengan senario yang berlaku di Manek Urai. Keperibadian Pak Su Wil adalah taruhan Pas. Kalau diharapkan ceramah Pas yang tidak ada pertimbangan akal budi dan propaganda yang kadang-kala tidak masuk akal, sudah pasti BN terus memimpin Manek Urai.

Kini Pak Su Wil telah meninggalkan kita. Pas kelam kabut kini untuk mencari calon baru yang setanding Allahyarham. Dan sudah pasti Pas sedang merasai yang mereka akan kecundang jika pengganti Pak Su Wil tidak ditemui.

Timbalan Tok Pa, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata senario Manek Urai akan berubah apabila Pak Su Wil sudah tiada. Tidak mustahil, manek yang mengurai itu akan bertatah berlian di leher Umno nanti.

Sesungguhnya, DUN Manek Urai adalah ujian pertama kepemimpinan Mustapa dan Dr Awang dalam arena politik Kelantan, setelah Pas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu. Ia dilihat sebagai suatu gambaran atau manifestasi masa depan BN di Negeri Puteri Saadong itu.

Melihat kepada suasana semasa penduduk Negeri Cik Siti Wan Kembang itu yang kini tidak berubah dan ditambah dengan pelbagai keperluan hidup tidak dapat dipenuhi Pas, tidak mustahil Manek Urai akan menjadi milik BN nanti.

Namun, keputusannya terletak di tangan 12,292 pengundi berdaftar terdiri daripada 6,335 lelaki dan 5,357 wanita.

Kini timbul persoalan, siapa bakal mewakili Umno dalam pilihan raya kecil itu nanti. Pelbagai ramalan dibuat, ada yang menelah, anak tempatan yang akan terpilih. Mungkin golongan profesional agama akan disunting Umno, yang akan memenuhi selera penduduk Manek Urai.

Bagaimanapun, Umno bukan ketandusan pemimpin tempatan yang sudah berada di barisan kepemimpinan Bahagian Umno Kuala Krai.

Antaranya ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Krai, Rohani Abdul Majid; Naib Ketua Bahagian, Che Jalal Muda; Ketua Pemuda Tuan Aziz Tuan Man dan bekas calon Pilihan Raya Umum ke-12, Zulkepli Omar. Keempat-empat tokoh ini, datangnya dari Manek Urai.

Pas pula mempunyai tiga calon yang masih dirahsiakan bagi mempertahankan kerusi itu. Sesungguhnya, penduduk Manek Urai tahu parti mana yang akan menatahkan berlian di kampung mereka. Mereka tahu untuk membezakan antara emas dan tembaga. Mereka juga tahu, manik mana yang akan mengurai dan berkerdipan menyinari kampung dan desa di pedalaman.

Mereka sudah semestinya sedar bahawa kalau ceramah saja yang dapat - jalan becak, jambatan runtuh, berjalan di dalam gelap tanpa lampu jalan, tiada pasar untuk membeli keperluan harian, tiada sekolah berasrama penuh, tiada bekalan air bersih, talian telefon awam dan banyak lagi, sudah tentu penduduk Manek Urai tidak mahu tertipu lagi.

Rakyat Manek Urai sudah lama merasai pelbagai peristiwa pahit maung, suka duka di bawah payung nipis Pas. Kalau musim hujan dan banjir datang, Umno jugalah tempat berteduh. Kalau ada pemimpin Pas yang datang ketika banjir, mereka hanya tahu berkata 'sabar'. Tangan kosong juga.

Kalau pemimpin Umno datang setidak-tidaknya, gula, beras dan 'biskut mayat' akan dibawa bersama-sama. Maklumlah budaya orang Pas. Budaya menerima. Rakyat akan terfikir, sabar apa - kalau susu anak tidak ada. Sabar apa, kalau dapur tidak berasap. Sabar apa, kalau rumah hanyut di bawa arus deras Sungai Kelantan.

Pembangunan Manek Urai seumpama 'hidup segan mati tidak mahu' di bawah pemerintahan Pas. Sesungguhnya, rakyat Manek Urai memerlukan perubahan dan pembangunan. Boleh dikatakan 90 peratus penduduk di situ bergantung harap kepada menoreh getah, peneroka tanaman kelapa sawit di bawah Kesedar, berkebun/dusun buah-buahan, penternak, kakitangan kerajaan dan peniaga kecil.

Mereka sudah merasai kemanisan di bawah bendera BN. Biarpun BN hanya menguasai selama empat tahun DUN berkenaan (2004-2008), namun dalam tempoh singkat itu banyak usaha dilakukan BN untuk membangunkan rakyat di situ.

Antara pembangunan yang dibuat ialah pembinaan beberapa sekolah, jambatan, masjid, dewan orang ramai, jalan kampung, bekalan api elektrik luar bandar, talian telefon awam dan bekalan air paip.

Kita yakin, jika BN menguasai kembali DUN berkenaan, ia adalah hadiah istimewa rakyat Manek Urai dan penduduk Kelantan kepada pucuk kepemimpinan baru negara yang diketuai Datuk Seri Najib Razak.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url