UPM, enam IPTS terus laksana program kerjasama

Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini, memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan enam institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi meneruskan kerjasama penawaran program pengajiannya.

Enam IPTS terbabit ialah Kolej ShahPutra bagi program Diploma Sains Komputer dan Pengurusan Perniagaan serta Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (Diploma Sains Komputer serta Bacelor Sains Komputer dan Pentadbiran Perniagaan).

Kolej Teknologi Timur bagi program Diploma Sains Komputer dan Pembangunan Manusia, Kolej Uniti (Diploma Kejuruteraan Teknologi Multimedia) dan Kolej Risda (Diploma Sains Komputer, Pertanian dan Pengurusan Perniagaan).

Kolej Teknologi Bestari pula Diploma Sains Komputer dan Pengurusan Perniagaan serta Bacelor Pentadbiran Perniagaan.

Pemeteraian MoA kali ke-3 itu disempurnakan Naib Canselor UPM, Prof Dr Nik Mustapha R Abdullah, disaksikan Pengarah Pusat Pendidikan Luar (PPL) UPM, Prof Dr Abd Aziz Saharee, manakala enam IPTS terbabit diwakili Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Mustapha berkata, kerjasama itu diteruskan kerana ia berkesan bagi mencapai objektif serampang dua mata antara lain membuka peluang lebih luas masyarakat mengikuti pengajian berkualiti setanding di kampus induk, selain membantu IPTS terbabit menerap budaya akademik cemerlang.

“UPM sentiasa memantau pelaksanaan program pengajian kerjasama dengan IPTS terbabit menerusi Jawatankuasa Kawalan Mutu Program Akademik serta PPL.

“Saya mengucapkan tahniah kepada enam IPTS ini kerana berjaya mengekalkan prasarana dan piawaian ditetapkan.

“Usaha UPM melestari budaya organisasi prestasi tinggi wajar dijadikan panduan IPTS terbabit meneruskan usaha menambah baik pelaksanaan program bagi mewujudkan suasana pembelajaran kondusif untuk pelajar,” katanya.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, MoA yang diwujudkan sejak 1997 itu menggalakkan penawaran program akademik secara jarak jauh dan perkongsian pintar dengan IPTS.

“Perjanjian untuk lima tahun lagi ini adalah bukti komitmen UPM dan IPTS terbabit untuk meningkatkan kemudahan dan akses pendidikan tinggi di kalangan masyarakat.

“Ia juga usaha berterusan mempromosi program UPM terutama bagi meneroka ilmu pengetahuan baru yang menggalakkan pelajar bersaing dengan lebih kompetitif,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url