Orang ramai kena bantu salur maklumat kehadiran pendatang

Kegiatan keluar masuk dan aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di beberapa kawasan di Johor masih berterusan, meskipun pada ketika pemantauan oleh pihak berkuasa bagi menanganinya dipertingkatkan.

Nyata, kegiatan itu sukar dibendung apatah lagi untuk diatasi sepenuhnya. Kejadian terbaru dua bot membawa pendatang tanpa izin karam di perairan Tanjung Piai, Pontian, baru-baru ini menunjukkan sindiket atau pendatang haram tetap mencari peluang untuk mencuba nasib membolosi masuk atau keluar kawasan perairan negara, walaupun pihak berkuasa meningkatkan pemantauan.

Berdasarkan kejadian itu, mereka mempunyai banyak lokasi untuk menjalankan kegiatan dengan bukan hanya bertumpu di sekitar Pengerang yang sebelum ini turut menyaksikan dua kejadian bot membawa rakyat asing karam.

Kedudukan negeri itu yang hampir dengan negara jiran dan mudahnya mencari rezeki di negara ini adalah antara faktor yang menyebabkan berlaku kegiatan berkenaan.

Kegiatan itu sesuatu yang membimbangkan yang diakui sendiri Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, baru-baru ini.

Kawasan sempadan Johor yang luas, manakala dalang di sebalik kegiatan itu yang begitu licik dalam menjalankan operasi, menyukarkan lagi usaha menjejaki mereka yang terbabit.

Pihak yang terbabit juga dilaporkan mengubah tempat menurun atau menaikkan pendatang di beberapa 'laluan tikus' dan dilakukan pada waktu tertentu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Namun, apabila berlaku kejadian bot membawa pendatang tanpa izin itu karam, barulah umum mengetahui mengenai kegiatan berkenaan.

Seperti yang berlaku dua minggu lalu, dua bot pancung yang membawa seramai 33 pendatang tanpa izin karam di perairan Tanjung Piai, mengakibatkan beberapa nyawa terkorban meskipun sebahagiannya selamat.

Sebelum ini, pada 28 April, sembilan orang termasuk enam sekeluarga dari Pakistan lemas, apabila bot yang mereka naiki karam kira-kira 3.2 batu nautika di selatan perairan Teluk Ramunia dekat Pengerang, Kota Tinggi.

Pada 12 Mei pula, lapan maut apabila bot pancung yang membawa antara 30 hingga 40 pendatang tanpa izin karam di perairan Tanjung Punggai, kira-kira 10 batu nautika dari Sungai Rengit, Pengerang.

Mohd Mokhtar menyatakan, pihaknya menyedari kegiatan keluar masuk pendatang sehingga berlaku kejadian bot karam semakin membimbangkan.

"Berdasarkan laporan dan risikan polis, Pengerang memang dikenal pasti sebagai tempat keluar dan tempat pendaratan pendatang asing ini," katanya.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh, pula berkata jarak paling hampir Malaysia dengan Indonesia adalah antara Tanjung Stapa, Johor dengan Pulau Batam, Indonesia, kira-kira sembilan batu nautika.

"Penyeludup mengambil masa antara 10 hingga 15 minit saja untuk sampai ke Pulau Batam jika menggunakan bot berkuasa tinggi pada kelajuan 50 knot," katanya.

APMM Wilayah Selatan turut mengesahkan sekurang-kurangnya ada 15 'laluan tikus' di sekitar Pengerang dan Teluk Ramunia, Johor digunakan sindiket penyeludupan pendatang.

Berikutan laporan dan risikan polis bahawa Pengerang memang dikenal pasti sebagai tempat keluar dan tempat pendaratan pendatang asing ini, polis negeri itu menubuhkan pasukan khas bagi memantau pesisir perairan Pengerang dalam usaha menangani aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.

Penubuhan pasukan yang khusus amat wajar kerana melalui pasukan seperti itu, segala tumpuan dan perhatian bagi mengesan pergerakan aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin dapat dilakukan secara lebih fokus, terutama untuk menjejaki dalang kegiatan itu.

Meskipun begitu, pada ketika tumpuan dan pemantauan dibuat untuk kawasan sekitar Pengerang dan Teluk Ramunia, berlaku pula kegiatan keluar masuk dan aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di kawasan lain seperti di Tanjung Piai, seperti yang berlaku minggu lalu.

Justeru, operasi bersepadu dan secara berterusan membabitkan pelbagai agensi yang berkaitan perlu dilakukan, dengan tumpuan terhadap laluan dan lokasi yang sudah dikenal pasti menjadi pilihan sindiket dan pendatang asing melakukan kegiatan itu.

Dalam pada itu, kerjasama orang ramai amat penting untuk menyalurkan maklumat aktiviti ini supaya kegiatan berkenaan dapat ditangani secara lebih berkesan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url