Peruntukan Rangsangan Pertama RM6.95b sudah diagih

Hampir keseluruhan daripada RM7 bilion yang diperuntukkan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama sudah diagihkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga ini sebanyak 99 peratus atau RM6.95 bilion daripada peruntukan pakej rangsangan itu sudah disalurkan.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM4.02 bilion atau 57.9 peratus membabitkan 43,681 projek sudah ditawarkan kepada kontraktor, manakala bakinya dalam proses untuk ditawarkan.

Sehingga Jun lalu, RM1.4 bilion dibelanjakan menyiapkan 10,979 projek, termasuk menaik taraf dan membaik pulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital berjumlah RM500 juta.

Di samping itu, katanya, program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan.

"Projek rumah mesra rakyat yang membabitkan perbelanjaan RM200 juta bagi membina 2,664 unit rumah dilaksanakan segera.

"Ini memberi kesan positif kepada aktiviti sektor pembinaan pada suku pertama 2009 apabila sektor ini memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil, terutama di luar bandar," katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), di Dewan Rakyat, semalam.

Najib berkata, bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, sejumlah 7,811 projek bernilai RM4.2 bilion diberikan sehingga 5 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 bilion dibelanjakan untuk menyiapkan 453 projek yang turut membabitkan program PIA dan PIAS bernilai RM173 juta yang membabitkan 2,686 projek dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia secara langsung membantu meningkatkan aktiviti ekonomi serta kualiti hidup rakyat luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan sudah menambah peruntukan RM674 juta sebagai subsidi untuk mengelak kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung. Ini membantu mengurangkan inflasi kepada tiga peratus pada April lalu, berbanding 8.5 peratus pada Julai dan Ogos tahun lalu," katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi menambah pendapatan rakyat, kerajaan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan Syariah bernilai RM5 bilion.

Katanya, bon itu mendapat sambutan amat baik dan habis dilanggan, sekali gus memaksa kerajaan mengeluarkan RM250 juta setahun untuk diagih sebagai dividen kepada pemegang bon.

Beliau berkata, bagi meringankan beban pekerja yang diberhentikan serta penganggur termasuk siswazah, kerajaan membelanjakan RM460 juta untuk menyediakan peluang latihan kemahiran dan teknikal.

"Perbelanjaan itu, termasuk pemberian elaun harian berjumlah antara RM500 hingga RM1,800 sebulan.

"Sehingga Jun lalu, seramai 3,200 pelatih mengikuti program latihan kemahiran dan teknikal di pusat latihan kemahiran negeri dan dijangka seramai 12,000 pelatih akan mengikuti program ini sehingga pertengahan 2010.

"Selain itu, program melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dan doktor falsafah turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan semua peruntukan berjumlah RM200 juta habis diagihkan," katanya.

Najib berkata, sebanyak 4,869 kekosongan jawatan dalam pelbagai agensi dalam sektor awam turut diisi, manakala proses pengambilan masih berjalan dan dijangka 63,000 jawatan akan diisi menjelang 2010.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url