Pelajar wanita terus dominasi IPTA

Kira-kira 65 peratus atau 26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 bermula bulan depan, adalah wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata masalah jumlah calon pelajar wanita jauh mengatasi lelaki ke IPTA tidak dapat dielakkan kerana pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi.

"Walaupun perbezaan gender ini sering ditimbulkan setiap tahun, kita tidak mempunyai cara untuk mengatasinya. Dasar pengambilan pelajar berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi menentukan nilai merit seseorang calon," katanya.

Memberitahu sidang media mengenai keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi program ijazah pertama sesi akademik 2009/2010 di sini semalam, beliau bagaimanapun berkata, jumlah pelajar lelaki melebihi wanita dalam bidang tertentu khususnya kejuruteraan kimia, sivil dan mekanikal.

"Pelajar perempuan selalunya meminati bidang yang 'bersih' seperti penyelidikan dalam makmal dan tidak membabitkan kegiatan lasak berbanding lelaki," katanya.

Dr Radin Umar berkata, jumlah calon meningkat sebanyak 0.5 peratus atau 182 tempat bagi sesi ini berikutan pertambahan 69 kursus di IPTA iaitu dalam bidang kejuruteraan, pendidikan, pengurusan, keusahawanan, sains gunaan, ekonomi, perakaunan dan seni halus.

Daripada jumlah itu, 27,829 orang adalah calon Bumiputera, 10,116 Cina serta 2,421 pelajar India dan lain-lain kaum.

Beliau berkata, turut termasuk dalam senarai calon yang diterima ke IPTA sesi ini ialah 4,424 calon yang tersalah diberi tawaran oleh Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

"Semua calon berkenaan berjaya melepasi sesi pemilihan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU). Mereka adalah antara 4,574 calon yang tersalah diberi tawaran oleh USM berikutan kesilapan teknikal pada 29 Mei lalu.

"Baki 150 pemohon yang tidak disenarai akan dipertimbangkan oleh USM menerusi rayuan kerana pada dasarnya mereka telah melepasi pra-penilaian yang dibuat oleh pihak universiti," katanya.

Dr Radin Umar meminta semua calon yang ditawarkan ke IPTA supaya membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran itu selewat-lewatnya pada atau sebelum 25 Jun ini, bagi memudahkan pihaknya memproses permohonan rayuan oleh calon yang gagal.

Calon boleh membuat semakan di laman web jpt.uum.edu.my atau www.jpt.utm.my atau upu.mohe.gov.my atau talian 03 88835858 atau 03 88835848 atau menerusi sistem pesanan ringkas (sms) dengan menaip UPU RESULT ke 15888. Rayuan pula boleh dikemukakan menerusi aplikasi e-rayuan di upu.mohe.gov.my

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url