PTPTN kaji syor potong gaji peminjam

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menimbang cadangan pelaksanaan pemotongan gaji peminjamnya terus melalui majikan seperti Potongan Cukai Berjadual (PCB) atau caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja jika mereka terus berdegil serta ingkar membayar hutang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, bagaimanapun menegaskan, ia adalah langkah terakhir yang akan diambil sekiranya peminjam masih berdegil walaupun ketika ini, PTPTN sudah bertindak tegas terhadap kira-kira 15,000 bekas pelajar yang tidak dapat ke luar negara selepas disenaraihitamkan.

"Buat masa ini, kerajaan belum berhasrat untuk membuat pemotongan gaji peminjam terus melalui majikan seperti PCB atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana masalah hutang itu masih boleh diselesaikan melalui rundingan.

"Kajian untuk pelaksanaan kaedah pemotongan gaji itu sudah diusahakan bagi mengutip semula hutang daripada peminjam tegar yang kini, sudah membabitkan nilai RM2.1 bilion berbanding jumlah bayaran semula RM1.027 bilion hingga 30 April lalu," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan wang pendahuluan pinjaman PTPTN berjumlah RM1,500 kepada hampir 200 pelajar dari Pasir Gudang dekat sini, yang mendapat tawaran ke universiti di seluruh negara.

Majlis yang diadakan di Politeknik Johor Bahru itu turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abd Ghani dan Pengarah Politeknik Johor Bahru, Shabudin Man.

Seramai 196 pelajar dari kawasan itu yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerima wang pendahuluan pinjaman berjumlah RM1,500 seorang.

Ditanya sama ada tindakan kerajaan menyenaraihitamkan peminjam tegar daripada keluar negara dianggap boleh mencabul hak dan kebebasan rakyat untuk bergerak, Mohamed Khaled berkata, setiap hutang mesti dibayar.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url