Puteri jelita berjiwa rakyat


Kali pertama bertemu dengan personaliti ini sudah cukup membuat penulis terpegun dengan kejelitaan yang dimiliki. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, penampilannya cukup anggun, elegan dan berkarisma. Terdetik di dalam hati, memang sesuai dengan keturunannya sebagai keluarga diraja.

Keramahan melayan penulis dan jurugambar di rumah agamnya di Shah Alam, memperlihatkan beliau seorang yang mudah didekati.

Kelebihan inilah yang ada pada puteri kesayangan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Raja Nur Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah yang membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk mengenalinya dengan lebih rapat.

Sekalipun dilahirkan dalam keluarga diraja, Datuk Seri Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tidak membataskan dirinya untuk bergaul dengan sesiapa sahaja.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Yah memberitahu, ayahanda dan bonda sentiasa mengingatkan putra dan puteri mereka supaya bersikap sederhana, merendah diri dan tidak berlagak walaupun berketurunan raja.

“Sebab itulah juga saya tidak pernah membatasi pergaulan saya walaupun bukan di kalangan bangsawan. Pada saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan dan jangan sesekali membangga diri dengan status serta kemewahan yang dimiliki.

“Saya juga masih ingat apa yang bonda selalu tekankan iaitu sentiasa berbudi pekerti yang beradab walaupun dengan sesiapa. Bonda sering berkata, sebagai anak raja yang lahir di istana, adat, budi bahasa dan adab sopan di istana mahupun di luar istana perlu diikuti dengan sebaik mungkin, sesuai dengan keturunan yang dimiliki.

“Inilah juga yang saya terapkan kepada lima orang puteri dan putera saya,’’ katanya ketika ditemui di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ku Yah mengakui dalam mendidik putra dan puterinya iaitu Syed Budriz Putra Syed Amir Abidin Jamalullail, Sharifah Rima Irwani Syed Amir Abidin Jamalullail, Sharifah Emilia Safina Syed Amir Abidin Jamalullail, Raja Sheena Frida Raja Sufian dan Megat Mohd. Faiz Muhammad, disiplin amat dititikberatkan.

“Saya amat mementingkan disiplin dalam mendidik anak-anak. Pada saya, mereka harus dilengkapkan dengan ajaran agama yang sempurna agar hidup mereka tidak terumbang-ambing. Mereka juga diajar cara-cara bergaul, menghormati orang tua dan berbudi bahasa walau siapa pun mereka.

“Saya sebenarnya tidak suka memanjakan anak-anak dengan kemewahan. Jangan fikir mereka akan dapat apa yang mereka mahu tanpa berusaha. Saya menekankan kepada anak-anak agar berusaha untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“Saya juga sentiasa memastikan dengan siapa mereka berkawan supaya tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang semakin banyak berlaku sekarang ini. Bagi saya, anak-anak adalah aset yang paling berharga, harus dijaga dengan sebaik mungkin, sementelah saya ialah ibu tunggal,’’ katanya yang sibuk menjalankan perniagaan.

Rahsia kecantikan

Menjangkau usia 57 tahun pada 20 Jun ini, Ku Yah sememangnya kelihatan awet muda. Ditanya apakah rahsia kecantikannya, wanita anggun ini memberitahu bahawa tidak ada petua tertentu untuk mengekalkan kecantikan dan kesihatannya.

“Syukur alhamdulillah, saya tidak ada rahsia yang istimewa, tapi memadailah kalau saya katakan saya memang seorang yang cukup mengambil berat soal kesihatan dan kecantikan sejak remaja lagi.

“Dalam keluarga, saya memang seorang yang suka melawa. Saya suka berfesyen, suka berhias dan bersolek dan terbawa-bawa sampai dewasa.

“Saya mula minat dengan dunia kecantikan ini sejak berada di tingkatan satu. Malah sejak berusia 14 tahun, saya telah mula menghadiri majlis-majlis rasmi mengikuti Almarhum ayahanda.

“Ketika itulah, saya mula belajar bergaya, bagaimana bersosial, berhias, bersolek sesuai sebagai puteri raja. Hinggalah sekarang, walau sesibuk mana pun, penampilan harus dijaga. Saya tidak sesekali membiarkan diri saya selekeh atau tidak terurus,’’ katanya yang telah bergelar ‘nendamama’ kepada lima orang cucu.

Menurut Ku Yah, setiap wanita mempunyai kecantikan tersendiri, cuma masing-masing perlu ada cara menyerlahkan kecantikan diri.

“Saya mungkin dilihat cantik kerana cara penampilan yang sentiasa terjaga, sentiasa berfesyen, bersolek dan bergaya. Bagi saya penampilan diri amat penting sebab itu saya cukup prihatin soal bagaimana penampilan saya terutama apa yang saya pakai ketika itu.

“Selain itu, saya juga mengamalkan diet yang seimbang untuk menjaga berat badan dan tubuh badan yang sihat,” ujar penggemar jenama Gucci, Channel, Escada, Giuseppe Zanotti dan Christian Dior ini.

Mengenai kulit yang mulus yang dimilikinya, Ku Yah percaya ia adalah berkat amalan pemakanannya selama ini kerana beliau sukakan buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Saya percaya buah-buahan dan sayur-sayuran banyak membantu saya mendapatkan kulit yang cantik. Saya tak ada masalah kulit seperti kering ataupun kusam. Saya juga kuat menjaga pemakanan. Kalau boleh, saya elak mengambil makanan yang berminyak dan tidak lupa mengambil suplemen tiga kali sehari. Saya juga jarang memakan nasi dan hanya meratah lauk.

“Seminggu sekali saya akan memakai masker bagi menghilangkan garis-garis halus, membersihkan muka dan memberi kompleksi wajah yang lebih muda serta menghilangkan bintik-bintik hitam,” katanya yang juga melakukan senaman berbasikal, aerobik dan urutan bagi membuang lemak berlebihan pada tubuh.

Ujar Ku Yah, kecantikan dan kesihatan bermula dari dalam dan menggambarkan diri sebenar seseorang. Cantiknya seseorang itu terpancar daripada personaliti, keyakinan dan pengalamannya.

Beliau mengakui untuk cantik juga setiap orang harus sentiasa gembira dan jangan suka menyimpan masalah.

“Sebolehnya saya cuba lepaskan tekanan dengan melakukan aktiviti seperti bercuti, membeli-belah, menonton wayang, makan dengan keluarga di luar, bertemu rakan-rakan atau menjemput rakan makan di rumah. Cara ini sebenarnya dapat membantu mengurangkan tekanan dan stres serta melupakan kenangan silam.

“Pada saya kenangan silam yang menjadi sejarah dalam hidup ini harus dilupakan malah saya sendiri mahu melupakannya. Hidup ini harus diteruskan.

“Masa lalu tidak akan kembali, ia hanyalah sejarah dalam hidup. Kini saya harus meneruskan hidup dalam keadaan yang gembira,’’ katanya yang telah dilantik sebagai duta produk kecantikan Cherro.

Gaya elegan

Dari segi pemakaian pula, Ku Yah suka dengan gaya selesa, elegan dan anggun. Antara jenama mewah yang menjadi kegemarannya seperti Channel dan Escada, manakala bagi pereka tempatan beliau lebih menyukai rekaan dari butik milik Puan Seri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

“Saya lebih suka memakai pant suit sekiranya ke majlis kasual manakala jika majlis rasmi di istana, kebaya dan baju kurung menjadi pilihan,’’ jelasnya yang juga suka berkaraoke dan meminati muzik soul, sentimental serta meminati penyanyi seperti Allahyarham Abdullah Chik, Yusni Hamid, Jamal Abdillah, Ning Baizura, KRU dan Allahyarham Rafeah Buang, manakala penyanyi luar negara ialah Akon Freedom.

Ku Yah turut memberitahu suatu masa dulu berat badannya pernah naik sehingga membuat beliau tidak keruan dalam kehidupan dan penampilannya.

“Saya menangis setiap kali ingin mengenakan pakaian yang sedia ada. Semuanya tidak boleh dipakai lagi. Saya kesal kerana tidak mengendahkan mengenai berat badan pada waktu itu.

“Lebih sedih semasa pergi membeli belah, baju yang diminati, tidak muat dipakai, berlinang air mata dibuatnya. Lalu saya bertekad melakukan senaman, mengurut, mengurangkan makan dan melakukan aktiviti yang aktif dan tidur dengan cukup bagi menurunkan berat badan. Alhamdulillah, badan saya turun semula,” katanya.

Ditanya mengenai impian dalam hidup, Ku Yah menjawab dengan ringkas namun begitu bermakna: “Saya bertuah mempunyai lima orang anak yang begitu baik, mendengar kata dan beradab. Mereka adalah dunia saya.

“Sekiranya mereka bahagia, saya juga bahagia. Saya tidak mengharapkan mereka membalas jasa, tetapi hargailah pengorbanan yang saya telah lakukan. Ini sudah mencukupi bagi saya.

“Saya juga tidak pernah menyekat anak-anak untuk memilih pasangan di kalangan keluarga diraja, cuma Budriz sahaja yang mengahwini sepupunya, kerabat diraja Perlis, manakala Irwani dan Emilia, memilih orang biasa.

“Harapan saya mereka bahagia dengan pasangan masing-masing. Cuma dua orang lagi belum lepas. Pada merekalah saya curahkan kasih sayang dan mengharapkan kasih sayang. Saya juga ingin mereka turut berjaya dalam kehidupan. Itulah impian yang saya,’’ katanya penuh harapan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url