Dunia Hiburan - Tikam menikam budaya biasa
Bicara mengenai politik dan dunia politiking, ia bukan sahaja boleh dikaitkan dengan parti-parti kerajaan mahupun pembangkang atau ahli politik semata-mata, ia sebaliknya menjadi bahan permainan di mana-mana sahaja.
Sama seperti di dalam industri hiburan, unsur politiking memainkan peranan yang cukup besar dalam 'memajukan' seseorang itu untuk berada di puncak.
Benar, skop mainan politik dalam dunia hiburan ini memang cukup luas.
Rasuah seni, menghimpit dan menggoda penerbit filem atau pemilik syarikat rakaman untuk menjadi terkenal juga boleh dikatakan politiking bukan?
Tetapi seperti yang umum ketahui, jika bukan kerana untuk kepentingan diri, maka tiadalah politiking.
Seringkali menjadi persoalan kepada umum, mengapa industri hiburan negara ini seperti tidak terurus walaupun terdapat beberapa peningkatan.
Apalagi dengan pelbagai usaha yang telah dilakukan dalam menjaga kebajikan penggiat muzik, filem dan teater tempatan bagi mempertingkatkan lagi mutu produk serta persembahan masing-masing, kesuraman industri ini masih lagi jelas kelihatan.
Ini semua kerana usaha untuk menggembleng idea tidak dijalankan secara berkelompok. Sebaliknya ia hanya diperjuang secara berasingan mengikut hala tuju peribadi dan bukan kerana untuk kesenangan bersama.
Itulah politik dunia hiburan
Jika benarlah hal ini terjadi dalam industri hiburan kita, mungkin satu hari nanti industri ini akan menjadi semakin kecil dan suram.
Politiking industri seni yang paling berbahaya tentunya yang membabitkn persatuan-persatuan yang sepatutnya ditubuhkan atas kapasiti perjuangan kepada dunia seni tersasar matlamatnya.
Ini kerana, apabila persatuan yang sepatutnya menjadi jentera penggerak kepada perkembangan seni tidak dapat memainkan peranan mereka seperti sepatutnya, ia akan membawa impak paling buruk kepada industri seni itu sendiri.
Hal ini diakui oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez.
"Terdapat beberapa persatuan yang kononnya mahu membantu kebajikan artis, tetapi sebaliknya ia lebih menjaga kebajikan kepimpinannya. Itulah politiking dalam persatuan hiburan yang akhirnya tidak mampu mengerakkan ahli ke tahap yang lebih profesional kerana ia dipimpin oleh pemimpin yang punya politik tersendiri," kata Freddie.
Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan taktik kotor sebagai landasan untuk mendapatkan apa yang diinginkan.
Freddie berpendapat dunia hiburan sememangnya penuh dengan politik melalui cara penipuan.
"Apalagi penipuan itu dilakukan dengan penubuhan persatuan bagi mengaburi mata sesetengah pihak yang mungkin tidak perasan dengan kegiatan politik mereka.
"Politik hiburan sebenarnya lebih kepada persatuan kerana merekalah yang akan membangunkan industri hiburan. Tetapi kebanyakan mereka yang menubuhkan persatuan untuk mencari duit dengan cara yang mudah.
"Mereka akan mengumpulkan kroni dan mencari keuntungan melalui politik yang mereka cipta. Padahal penubuhan persatuan bukan untuk mencari gaji yang tinggi untuk pemimpin persatuan, sebaliknya mendapatkan kebajikan artis-artis.
"Orang-orang ini akan mendapatkan pelbagai jenis projek kononnya mereka mahu membantu kerjaya seni ahli-ahlinya.
"Tetapi bila projek itu sudah dapat, hasil projek itu entah ke mana, duit yang diterima hanya untuk pemimpin persatuan itu saja. Ini satu permainan kotor yang masih wujud dalam industri kita dan sudah lama berlaku," tegasnya.
Kata Freddie lagi, selama 30 tahun berada dalam dunia hiburan, politik ini agak sukar untuk dihapuskan memandangkan ramai yang menjadi gelap mata bila melihat kemewahan yang tersedia tanpa perlu bersusah payah.
Lebih memalukan penggiat-penggiat seni lain ialah apabila pihak yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan saluran pihak kerajaan untuk mencari keuntungan peribadi tetapi terlupa untuk mendahulukan kebajikan artis.
"Memang ada yang beria-ia pergi ke mesyuarat agung di kementerian untuk mendapatkan beberapa projek dalam menaikkan industri seni kita.
"Tetapi, tiada hasil yang ditunjukkan langsung. Mereka pergi berjumpa dengan pihak kerajaan hanya untuk kepentingan diri masing-masing sahaja.
"Bayangkan, seorang Presiden persatuan yang tidak ada kerja, tetapi kaya raya, berkereta besar. Kenapa? Dari mana pula duit itu muncul kalau bukan daripada projek persatuan yang diterima?
Menurut Freddie, mainan politiking ini sebenarnya sudah diketahui oleh banyak pihak termasuklah pihak kementerian berkaitan sendiri.
"Saya rasa, kementerian pun sudah tahu mengenai kegiatan ini. Kerana mainan politik merekalah industri kita berkecai. Kadangkala, saya rasa, perkara ini tiada noktah melainkan masing-masing mengubah sikap tamak mereka," ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Freddie, politik orang yang tidak bertanggungjawab ini tidak akan ke mana melainkan membuat kenyataan di akhbar untuk mengelirukan orang luar termasuklah artis-artis sendiri.
Melihatkan keadaan ini, jelas, selagi ada wang di depan mata, ada saja pihak yang akan 'mengebas' tanpa memikirkan orang di sekeliling.
Mentaliti yang cetek - Edry Hashim
Bercakap soal politiking dalam dunia seni juga, komposer muda, Edry Hashim mengakui ia memang berlaku demi mencari sesuap nasi demi kehidupan masing-masing.
Hal itu sudah lali bagi pemuzik terkenal itu, apa lagi politik sudah lama menjadi mainan oleh golongan yang terlalu mengejar kesenangan hidup.
Bagi Edry, masalah politiking dalam bidang muzik mula berat dengan kehadiran pemuzik yang semakin ramai, persaingan yang semakin memuncak sifatnya yang sekali gus memberi lebih cabaran dalam mengejar karier.
"Saya rasa politiking ini mainan orang yang cetek ilmu. Mereka tidak sedar dengan apa yang mereka lakukan dan ini mampu menjejaskan periuk nasi orang lain. Inilah masalah yang terpaksa saya dan pemuzik lain hadapi sekarang ini.
"Kadangkala mereka cuba memburuk-burukkan kawan sendiri semata-mata mahu mendapatkan sesuatu projek. Ada juga yang cuba menikam dari belakang untuk menaikkan diri sendiri, meraih kejayaan daripada hasil memburukkan orang lain.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana industri ini mempunyai kelompok yang kecil sahaja. Tapi alhamdulillah, saya tidak pernah mengacau periuk nasi orang," katanya.
Tambah Edry, keadaan industri hiburan sepatutnya tidak terlalu bermain dengan politiking memandangkan ia bukan sebuah industri besar seperti negara-negara luar.
Masalah ini juga agak sukar untuk dibendung jika masing-masing sibuk mengejar duit sehinggalah di sampai satu tahap, mereka mampu 'membunuh' karier orang lain.
"Rasanya lebih daripada 90 peratus orang yang terlibat dalam hal ini. Bila terlalu mengejar duit dan kuasa, ada kalanya mereka boleh lupa diri.
"Padahal, untuk maju mudah sahaja. Jika ada persaingan sekalipun, ia akan memeriahkan industri muzik kita bukan untuk orang lain. Tapi, bila dah ada yang pentingkan diri sendiri, inilah jadinya. Diri jadi riak, industri muzik kita pula jadi entah ke mana," ujar Edry.
Orang lama lebih kuat politik?
Berkecimpung dalam dunia hiburan memerlukan prinsip diri yang begitu kuat. Tanpa prinsip, seseorang itu pasti goyah gara-gara termakan atau terpengaruh ke kancah kepentingan diri.
Kerana itu, penerbit filem terkenal, David Teoh, menganggap ia satu rencah yang perlu dibuang dalam kehidupan dunia hiburan.
"Perkara ini memang nampak remeh. Tapi tanpa prinsip, orang itu boleh hanyut. Selalunya yang putih bersih dalam hal politik inilah lebih mudah terjerumus ke dalam masalah ini. Biasalah, masing-masing mempunyai agenda dalam hal menguntungkan diri.
"Apa yang saya nampak, jika seseorang itu boleh bekerja di atas usaha sendiri, mereka tidak akan ada sikap mementingkan diri sendiri atau menikam orang lain untuk hidup.
"Biasanya yang saya perhatikan, orang yang tidak ada tapak karier yang kukuh, mereka akan mencari 'kawan' untuk mendapatkan bantuan dengan cara yang salah," ujarnya
Menurut David lagi, dalam dunia hiburan, pujian yang diterima juga belum tentu ikhlas kerana orang yang memuji itu mungkin mempunyai agenda untuk kepentingan mereka.
Bagaimanapun David berpendapat, orang yang lama dalam industri lebih hebat berpolitik berbanding orang baru yang masih mentah dalam industri.
"Mereka sudah lama berkecimpung dalam industri ini. Sudah tentu mereka tahu selok-belok dunia hiburan. Oleh kerana mereka tahu apa yang patut dan tidak patut dibuat, mereka bijak bermain dengan politik. Ini biasanya berlaku pada persatuan-persatuan.
"Tambah pula mereka bijak berkata-kata dan boleh memanipulasikan keadaan tanpa disedari oleh orang yang tidak tahu menahu tentang agendanya," katanya.
Tambah David, keadaan ini tidak dapat dibendung kerana ia terjadi hampir setiap hari melalui konteks yang berbeza. Sebagai karyawan filem senior, David mengakui hal-hal seperti ini banyak menjejaskan kelancaran perjalanan karier karyawan seni selain hilang keselesaan untuk berkarya dan berbisnes.
- KOSMO!