Perlakuan zina mengundang bencana, kemelaratan
Mereka yang melakukan zina sebenarnya ditunggangi iblis laknatullah yang sentiasa mengajak manusia melakukan perkara ditegah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Penzina ibarat manusia berperangai tidak ubah seperti haiwan.
Firman Allah yang bermaksud: "Janganlah kamu hampiri akan pekerjaan zina, sesungguhnya (perbuatan zina itu) tersangat keji dan jalan yang sesat."
Zina menyebabkan kebanyakan pelakunya mendapat pelbagai penyakit, bencana dan kemelaratan. Tidak kurang menghadapi masalah rumah tangga apabila perbuatan itu diketahui pasangan masing-masing.
Perbuatan berdosa besar itu sudah nyata ditegah agama, namun yang menyedihkan, ia berlaku di kalangan umat Islam. Selain dilakukan dengan pelacur atau perempuan simpanan, hubungan dilarang agama itu berlaku antara abang ipar dan adik ipar, anak tiri bersama ibu atau bapa tiri, begitu juga adik beradik.
Memandangkan perbuatan zina tersangat keji lagi terkutuk, maka Allah memerintahkan kepada kerajaan Islam supaya mereka yang melakukannya hendaklah dihukum dengan seratus sebatan.
Firman Allah yang bermaksud: "Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kedua-duanya dipukul masing-masing seratus pukulan. Janganlah sayang terhadap keduanya dalam menjalankan agama (undang-undang) Allah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hendaklah hadir ketika hukuman dijalankan keduanya satu golongan daripada orang beriman." (Surah An-Nur, ayat 2)
Di dunia ini saja sudah begitu hebat deraan yang akan diterima orang yang berzina itu, apatah lagi hukuman, kutukan dan balasan Allah di akhirat kelak. Gambaran hukuman itu sudah diperlihatkan kepada Nabi SAW sewaktu Israk dan Mikraj.
Pada masa Israk dan Mikraj, Nabi SAW melihat beberapa manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, di hadapan mereka terletak dua bekas berisi daging. Satu bekas berisi daging sudah dimasak lagi bersih dan satu bekas lagi berisi daging busuk lagi berulat.
Bagi manusia itu dengan pantas terus mengambil lalu memakan daging yang busuk lagi berulat dengan sedikit pun tidak berasa geli dan kotor. Sebaliknya daging bersih itu langsung tidak disentuhnya.
Inilah gambaran kepada mereka yang sudah mempunyai isteri atau suami yang halal, tetapi masih suka melakukan persetubuhan haram dengan pelacur, perempuan atau lelaki bukan muhrimnya.
Nabi SAW juga diperlihatkan dengan satu kumpulan manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan yang sangat hebat penyeksaan dan keazaban ditimpakan Tuhan terhadapnya. Mereka ini digantung dengan rantai api neraka pada buah dadanya.
Sedangkan pada farajnya keluar nanah dan darah yang sangat busuk sehingga isi (penghuni) neraka sendiri mengeluh dan mengharapkan mereka ini dipindahkan (dijauhkan) daripadanya. Demikianlah balasan bagi mereka yang ketika hidupnya menjadi pelacur dan berzina.
Nabi SAW juga menerangkan bagaimana dahsyatnya seksaan bagi orang melakukan zina dengan sabdanya yang bermaksud: "Jauhilah kamu akan zina kerana kecelakaan empat macam: hilang cahaya pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kecelakaan di dalam neraka." (Hadis riwayat At-Thabarani)
Pada akhirat kelak, Tuhan sangat murka ke atas orang ini dan mereka akan diseret ke neraka dengan rantai. Sesungguhnya hadis di atas menggambarkan betapa ngeri dan azabnya seksaan yang akan diterima orang melakukan perbuatan durjana itu.
Oleh itu, wajiblah kita menjauhi dan elakkan daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai lagi terkutuk ini. Sama-samalah kita menjauhi sebab musabab atau punca perbuatan zina antaranya pergaulan bebas.
Pergaulan tidak mempunyai batasan atau sempadan antara pemuda dan pemudi serta antara lelaki dan perempuan, sesungguhnya sangat berbahaya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jauhilah oleh kamu bersunyi-sunyi dengan perempuan. Demi Allah tidak bersunyi dari seorang lelaki dengan seorang perempuan melainkan masuklah syaitan di antara keduanya. Dan bahawa bersentuhan seorang lelaki akan bayi yang berkubang dengan tanah lumpur lebih baik baginya daripada bersentuh bahu dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya." (Hadis riwayat At-Thabarani)
Begitulah kuatnya larangan mengenai pergaulan bebas antara pemuda dan pemudi atau lelaki dan perempuan, sedangkan maksiat itu sedang menjadi-jadi di setengah-tengah tempat sama ada di kampung-kampung serta bandar.
Menyedari hakikat azab dan seksanya orang melakukan perbuatan zina, maka wajib bagi setiap orang Muslim menjauhinya. Bagi ibu bapa, mereka hendaklah memberikan didikan keagamaan secukupnya kepada anak dan keluarga.
Namun yang menyedihkan, ada antara mereka yang terbabit dalam perlakuan itu, apabila tegur atau dinasihati bukan saja tidak mengendahkan, bahkan mereka menempelak dan mengatakan yang memberi nasihat atau teguran itu sudah ketinggalan zaman.
Sememangnya hebat dan dahsyat benar pembalasan kepada orang yang melakukan perbuatan zina ini sehingga Allah pernah menerangkan bagaimana penyeksaan yang akan diterima oleh anggota tubuh pada hari akhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud: "Pada hari ini akan dikuncikan mulut mereka dan akan berbicara serta bersaksilah tangan mereka (kira-kira katanya: Akulah yang memegang perempuan itu) dan menyaksikan kaki-kaki mereka, (Katanya, akulah yang berjalan pergi ke tempat pelacuran itu), dengan apa -apa yang dilakukan masing-masing." (Surah Yasin, ayat 65)
Menyedari hakikat azab dan seksanya orang yang melakukan perbuatan zina, maka wajiblah bagi setiap orang Muslim menjauhinya. Bagi ibu bapa, mereka hendaklah memberikan didikan keagamaan secukupnya kepada anak dan keluarga.