Rambut lambang kelelakian jejaka
Melalui kaji selidik yang dijalankan secara online, seramai 800 pembaca Harian Metro berkongsi pendapat mereka faktor yang menjadikan seseorang jejaka itu 'kool'.
Kaji selidik 'Jejaka Kool Masa Kini, Apa Kata Anda?' yang menyelami topik hangat ini ditaja Brylcreem, jenama No 1 produk penjagaan lelaki dengan kerjasama Harian Metro.
Pembaca diminta mengenal pasti ciri-ciri komprehensif yang membentuk seorang jejaka, dari rambut kepada cara pemakaian dan sifatnya.
Hasil kaji selidik itu, lebih 60 peratus responden mengatakan penjagaan rambut melambangkan kelelakian seorang jejaka dan jumlah yang sama juga mementingkan rambut pendek yang segak lagi kemas bagi kaum Adam.
Sebanyak 48 peratus jejaka memilih raut wajah 'boyish' comel dengan muka peramah seperti Hans Isaac manakala 50 peratus wanita mengatakan ia mampu menambat hati golongan hawa.
Stail dan jenis pakaian baju longgar yang sederhana, menampakkan jejaka lebih matang dan sofistikated menerima pilihan tertinggi sebanyak 78 peratus dari jejaka dan 88 peratus dari wanita.
Pengarah Pemasaran Sara Lee Malaysia, Low Chooi Honn, berkata melalui kaji selidik itu jejaka Malaysia dapat mendekati faktor 'kool' yang penting antara mereka dan pada masa sama memahami kriteria yang diinginkan wanita.
"Kami berbangga dapat mempersembahkan hasil penemuannya ini kepada anda.
"Kini, jejaka Malaysia kini tidak perlu teragak-agak apakah faktor 'kool' ketika mahu menambat hati wanita idaman.
"Hasil kaji selidik ini juga memberi gambaran terhadap ciri dan gaya hidup penjagaan lelaki secara menyeluruh yang menjadi idaman wanita," katanya.
Melalui kaji selidik itu, wanita Malaysia menjawab soalan-soalan yang memberi petunjuk kepada jejaka dari segi ekspektasi dan kemahuan mereka.
Kepada salah satu soalan, 'Perempuan memang tertarik, menarik dan tak berkelip mata memandang...?' mereka memberi respon dengan menjawab 'Lelaki yang badannya gagah dan macho mendapat pilihan tertinggi dan pilihan kedua tertinggi, 'sukakan lelaki berbau harum kelelakian'.
Mengenai jejaka 'sempurna', respon daripada wanita ialah mereka inginkan lelaki yang mampu menjadi penjaga dan pengurus setia mereka di samping banyak melakukan kerja-kerja kebajikan.
Sebanyak 60 peratus responden wanita mengakui lelaki yang memanjakan diri di spa dan pusat penjagaan muka adalah 'kool'.
"Walaupun kaji selidik ini dijawab kaum lelaki dan wanita, hasil penemuan mendapati ada beberapa perkara penting yang diketengahkan kaum wanita.
Melalui kaji selidik ini, Brylcreem dapat memberi fokus yang lebih mendalam terhadap permintaan kaum jejaka dan pada masa sama mengambil kira faktor yang menarik bagi wanita.
Secara tidak langsung, ia memudahkan Brylcreem mengetengahkan produk yang memenuhi kriteria bagi kedua-dua jantina.
- HARIAN METRO