Sambutan Kemerdekaan Ke-52 di Stadium Nasional

Hari Kemerdekaan ke-52 tahun ini akan disambut sederhana di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bagi menghormati Ramadan dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu juga mampu memberikan suasana lebih selesa kepada penonton dan pihak yang mengambil bahagian nanti.

Beliau berkata, ia juga akan membolehkan orang ramai berlindung daripada cuaca panas dalam bulan Ramadhan yang jatuh pada bulan Ogos.

"Selain itu, kapasiti khalayak yang lebih ramai sehingga 100,000 orang akan dapat dimuatkan di stadium itu.

"Ini berbeza jika sambutan diadakan di Dataran Merdeka yang hanya boleh menampung sekitar 20,000 orang sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menambah, kemudahan asas dan logistik sedia ada di Stadium Nasional memudahkan lagi proses untuk menyusun atur acara dan program sambutan kemerdekaan.

Beliau menegaskan, tiada perarakan secara besar-besaran kereta berhias, kereta kebal dan kenderaan lain seperti sebelum ini.

Namun, ujarnya, sambutan tetap menarik kerana elemen kemanusiaan akan ditonjolkan untuk menggambarkan bagaimana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat bersatu.

"Ini bersesuaian dengan tema sambutan kali ini bertemakan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, yang dapat dicapai dengan perpaduan ummah," jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan logo 1Malaysia pada 27 Jun ini di Dataran Merdeka.

Beliau berkata, enam lagu yang telah dicipta untuk menggambarkan 1Malaysia dan akan dimainkan di radio dan di televisyen untuk memberi aspirasi patriotik kepada segenap lapisan masyarakat.

Menurutnya, lagu-lagu itu juga nanti akan dinyanyikan oleh sebahagian daripada kumpulan yang membuat persembahan pada 31 Ogos nanti.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang sebulan lebih awal sebelum hari sambutan kemerdekaan terutamanya di restoran, bangunan, premis pejabat dan pada kenderaan masing-masing.

Ujar beliau, tiada sambutan Ambang Merdeka kali ini memandangkan pada malam tersebut akan dipenuhi dengan amalan solat tarawih di bulan Ramadhan.

Rais memberitahu, acara penutupan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 September.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Unknown
    Unknown Selasa, 14 Julai 2009 pada 10:50:00 PG SGT

    bro tema kemerdekaan tahun ini ape ek??..
    dorg ade ksitaw x??..

Add Comment
comment url