Sari Yanti selesa jadi surirumah sepenuh masa
Sejak mendirikan rumahtangga dengan Mohd Eddy Casmady awal tahun ini, aktres dan pengacara kecil molek ini agak 'sepi' daripada sebarang publisiti.
Akui tuan empunya diri bernama Sari Yanti ini, memang dia sendiri memilih untuk tidak terlalu 'menonjolkan' diri jika tiada sebarang cerita untuk dikongsikan, apatah lagi dengan kesibukannya menjalani penggambaran drama.
"Sejak berkahwin, saya tidak pernah perlahankan aktiviti seni saya. Cuma saya akui, publisiti tentang saya memang agak kurang. Lagipun tiada cerita baru yang boleh dikongsi bersama media dan peminat.
"Apapun, saya bersyukur kerana tawaran masih mencurah-curah setelah saya berkahwin. Terbaru, saya akan muncul sekali lagi di dalam Kisah Kaisara musim ketiga bermula 1 Julai ini," kata Sari dalam nada ceria.
Tutur aktres berusia 25 tahun ini, dia akui amat teruja untuk kembali dengan Kisah Kaisara, apatah lagi drama bersiri itu telah banyak melonjakkan namanya di persada ini.
"Saya memang sangat selesa dengan karektor Kaisara, rasanya sudah sebati dengan jiwa saya walaupun itu merupakan watak sebagai gadis remaja yang masih bersekolah.
"Dan seperti mana musim-musim terdahulu, kali ini Kaisara masih lagi berdepan dengan pelbagai konflik. Cuma musim ini, Kaisara dilihat semakin bijak dalam sesetengah perkara," tutur anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.
Mengulas tentang perkembangan karier seninya, kata Sari, dia semakin yakin dengan prestasi lakonannya walaupun masih ada karektor impiannya yang belum berpeluang dibawakan olehnya.
"Teringin betul sebenarnya nak bawakan watak psiko...atau pun watak-watak jahat yang lain. Tetapi tak tahulah kenapa belum ada tawaran untuk karektor seperti itu, mungkin mereka rasakan saya tidak sesuai untuk bawakan watak macam tu," katanya.
Seronok jadi surirumah
Setelah enam tahun melayari bahtera rumahtangga, Sari akui hidupnya kini semakin terisi dengan tanggungjawab sebagai isteri. Malah, seboleh mungkin dia akan memastikan aktiviti seninya tidak akan 'mengganggu' tugasnya sebagai seorang isteri.
"Sekarang ini memang masa saya akan banyak dihabiskan di rumah jika tiada sebarang penggambaran. Dan saya memang akan pastikan tidak mahu terlalu sibuk dengan karier.
"Kebiasaannya, kalau saya rasa macam sudah terlalu banyak berlakon, saya akan 'berehat'. Bukan suami yang minta saya berbuat demikian, tapi memang saya sendiri yang ingin buat seperti itu.
"Lagipun, seronok sebenarnya bergelar surirumah," kata Sari yang masih menantikan tayangan filem lakonannya, Hooperz.
Ujarnya lagi, dia tidak merasakan tindakannya itu seolah-olah 'menyekat' rezeki sendiri tatkala dirinya masih menjadi perhatian ramai produser ditambah pula dengan persaingan daripada muka-muka baru.
"Saya lebih suka mengikut 'flow', tidak pernah saya fikirkan tentang persaingan. Bagi saya, jika ada rezeki, adalah. Jangan terlalu fikirkan sangat tentang hal-hal seperti ini.
"Lagipun, saya ada pendekatan tersendiri. Mana-mana tawaran yang saya dapat tidak kiralah lakonan atau pengacaraan, saya akan ambil jika dirasakan sesuai," katanya yang juga merupakan duta produk Rexona.
Ditanya pula tentang subjek 'anak', dalam nada ceria Sari berkata, rezekinya untuk menimang cahaya mata belum lagi tiba.
"Saya tidak pernah merancang bila untuk mempunyai anak. Seperti mana wanita lain, saya juga mengimpikan untuk memiliki cahaya mata. Tetapi nak buat macam mana, belum ada rezeki," ujar Sari.
- MSTAR