Sempena Muktamar Pas Ke-55: Peluang menilai keupayaan pimpinan ulama, profesional

Oleh KADIR DIKOH

Bagi ahli Pas, muktamar tahunan ke-55 kali ini amat penting terutama bagi memilih barisan kepemimpinan atasan dalam usaha parti itu mengukuhkan kedudukan dengan harapan untuk menjejak kaki ke pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Apakah Pas, dengan bantuan rakan dalam Pakatan Rakyat - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - akan berjaya berbuat demikian, yang didasari sokongan besar diterima mereka pada pilihan raya umum Mac tahun lalu?

Sebaliknya, ada juga desakan supaya Pas mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Umno untuk membentuk sebuah ‘Kerajaan Perpaduan’ pada peringkat Pusat.

Isu inilah yang turut membayangi pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden Pas sekarang kerana calon yang bertanding dikaitkan dengan usaha menubuhkan ‘Kerajaan Perpaduan’, di sebalik isu sama ada Pas perlu terus memilih golongan ulama untuk memimpin atau profesional.

Justeru, saingan antara penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa untuk merebut jawatan nombor dua bagi parti kedua terbesar orang Melayu selepas Umno itu, menarik perhatian bukan saja di kalangan ahli Pas, malah masyarakat umum.

Calon ketiga, pemimpin veteran, Mohamad Sabu, lebih dikenali sebagai Mat Sabu atau Abang Mat yang dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak serta berseorangan, dikatakan ketinggalan jauh di belakang kedua-dua calon favourite terbabit.

Nasharudin, 47, seorang ulama berkelulusan Universiti Jordan merangkap Ahli Parlimen Bachok mewakili golongan ulama dalam parti itu, manakala Husam, 50, berkelulusan ekonomi Universiti Malaya yang juga Exco kanan kerajaan Kelantan dilihat mewakili golongan profesional.

Ada pemerhati berpendapat masa depan politik Husam kemungkinan besar terjejas andainya tewas pada pemilihan kali ini, terutama hasratnya mahu mengambil alih kerusi Menteri Besar Kelantan apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat bersara.

Husam dikatakan pernah disenarai untuk jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 2004, tetapi beberapa jam sebelum majlis angkat sumpah, namanya ‘hilang’ daripada senarai, sebaliknya kekal sebagai Exco biasa tetapi beliau terus memberi khidmat cemerlang hingga berjaya melakukan pelbagai perubahan.

Bukan sedikit musuhnya dalam Pas Kelantan, terutama sejak perpindahannya dari kerusi Parlimen Kubang Kerian ke kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang pada 2004, apatah lagi kemudiannya bukan saja diberi jawatan Exco berportfolio kanan, malah mewakili Menteri Besar pada mesyuarat tertentu peringkat kebangsaan termasuk di Putrajaya.

Sebelum Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, ramai percaya Nik Aziz akan mengundur diri dan sudah cukup masa beliau ‘mendidik’ Husam dengan pelbagai amanah serta kepercayaan diletakkan pada bahu ahli ekonomi itu. Namun, ramalan itu tidak tepat dan Husam dikekalkan di barisan Exco dan tidak pun dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

Persoalan mula timbul, kenapa Nik Aziz terus kekal dan apakah Husam pada pandangannya belum ‘lengkap’ pengalaman untuk menjadi Menteri Besar. Sebenarnya, sudah lebih empat tahun hasrat untuk ‘melantik’ Husam sebagai Menteri Besar Kelantan tertangguh.

Apakah Nik Aziz menunggu keputusan pada pemilihan dalam muktamar kali ini untuk membuat keputusan? Andainya Husam tewas kepada Nasharudin, apakah masa depan politiknya di Kelantan akan turut berkubur?

Kini, semakin lantang desakan supaya pemimpin nombor satu dan dua dalam Pas diwakili golongan ulama dan membiarkan mereka yang membarisi jawatan naib presiden diwakili oleh campuran ulama dan profesional. Dalam percaturan itu, sudah pasti Husam yang kerap dikaitkan dengan kumpulan yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim nampak tersepit. Kemudian diuar-uarkan pula oleh kumpulan tertentu dalam Pas kononnya Nasharudin lebih pro kepada Umno, kerana sokongannya terhadap ‘Kerajaan Perpaduan’.

Semalam, Nasharudin berkata, beliau menyerahkan nasibnya kepada perwakilan di Muktamar Pas kali ini dalam pemilihan itu tetapi menafikan yang beliau cuba meraih sokongan perwakilan dengan membuat penafian terhadap pembabitan melalui muzakarah bersama Umno.

Namun, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Pas bersedia untuk bertemu dengan Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membincangkan apa saja perkara berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

“Berbincang dengan Umno, tidak bermaksud untuk membawa Pas menyertai Umno, kami berbincang dengan semua orang, tidak ada niat untuk masuk Umno dan BN. Sikap Pas ialah sentiasa berdialog, berbincang selaras dengan perintah ajaran Islam, bukan saja dengan Umno, saya pernah dijemput berdialog dengan Majlis Gereja Malaysia, sami Buddha, kita tidak pernah menghentikan sebarang perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas di Shah Alam.

Sebelum itu, Nasharudin menafikan yang beliau adalah perancang untuk membawa parti itu menyertai BN. Beberapa ketika sebelum ini, Nasharudin memilih jalan untuk berdiam diri daripada menjawab segala tuduhan golongan tertentu dalam Pas yang mendakwa beliau memainkan peranan utama dalam muzakarah dengan Umno.

Beliau dikatakan bersama-sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengetuai kumpulan promuzakarah untuk berunding dengan Umno. Bagaimanapun, kumpulan pro-Pakatan Rakyat atau 'Erdogan' dikatakan mahu memastikan Nasharudin gagal pada pemilihan pucuk pimpinan kali ini.

Namun, Nasharudin mengajak ahli Pas kembali kepada kaedah syura atau perbincangan dan bukannya berjuang atas kehendak sendiri. Baginya, prinsip syura berdasarkan pendapat yang paling kuat dan bukan sebaliknya.

“Imej Pas sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula. Pas bukan sekadar parti pembangkang, membantah saja semua tindakan parti kerajaan tetapi Pas kini adalah parti Islam yang bersedia mengambil alih kepemimpinan negara," katanya.

Ada yang berpendapat, Nasharuddin lebih sesuai untuk jawatan nombor dua, yang sekali gus bakal pengganti kepada Abdul Hadi sebagai presiden, kerana pendekatannya yang promuzakarah dan sederhana seperti gaya kepemimpinan Allahyarham Fadzil Noor ketika memimpin Pas dulu.

Mereka juga berpendapat, Husam terlalu condong kepada PKR dan Anwar, malah mahu menutup terus sebarang rundingan dengan Umno atau BN.

Tidak hairanlah perwakilan Pas dilihat lebih cenderung kepada gagasan kepemimpinan ulama yang dimulakan sejak 1982 yang terbukti berjaya meletakkan Pas berada pada tahap tertinggi ini dan terus mendapat kepercayaan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url